PETALING JAYA: Kerajaan meluluskan kuota tambahan sebanyak 112,260 kampit 20 kilogram (kg) benih padi sah (BPS) bagi menangani masalah bekalan yang dihadapi pesawah terutama di Kedah dan Perlis.
Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, kuota tambahan BPS itu diedarkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta pesawah di Kedah dan Perlis bermula Jumaat lalu.
Kata beliau, sebelum ini kerajaan turut mengeluarkan surat arahan penjualan BPS secara terus kepada PPK dan pesawah yang mana ia berkuat kuasa 11 Oktober lalu bertujuan memastikan bekalan mencukupi untuk musim penanaman.
”Kerajaan memantau dan mengawal ketat proses kelulusan ladang dan makmal terhadap 12 pengeluar benih padi sah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum BPS ini dijual kepada pesawah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas laporan akhbar ini pada 10 November lalu berhubung isu pesawah terutama di Perlis dan Kedah mungkin tidak dapat menanam padi musim ini berikutan isu kelewatan dan ketiadaan bekalan benih yang masih belum ada tanda-tanda untuk selesai.
Foong Hin berkata, selain memastikan bekalan BPS mencukupi, kementeriannya juga memantau harga supaya ia dijual pada kadar berpatutan.
Katanya, penetapan harga maksimum jualan BPS bagi setiap kampit 20kg adalah RM40 di pintu kilang syarikat pengeluar dan RM45 bagi harga runcit.
”Penetapan harga ini dibuat melalui Perintah Tetap Ketua Pengarah bilangan 6/2023 bagi mengelakkan manipulasi harga BPS di lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak.
”Penjualan BPS yang dipakejkan bersama racun khusus bagi varieti padi CL220 sebelum ini hendaklah dijual secara berasingan. Harga BPS bagi varieti CL220 adalah pada harga maksimum RM40 di pintu gudang syarikat pengeluar dan RM45 di peringkat runcit,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan turut melakukan risikan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan ketetapan harga tersebut dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak.
“Task Force OP BPS telah dilancarkan di peringat zon Utara khusus di negeri Kedah dan Perlis bermula 7 November 2023. Setakat ini 20 lesen kebenaran runcit telah dibatalkan kerana menjual BPS melebihi harga kawalan yang ditetapkan,” jelasnya.
Untuk rekod, keperluan BPS ketika ini adalah sebanyak 72,000 tan metrik atau 3.6 juta kampit setahun. – UTUSAN










