Dakwaan sektor pelancongan Langkawi merudum palsu

Dakwaan sektor pelancongan Langkawi merudum palsu

BAHARIN BAHAROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dakwaan kehadiran pelancong ke Langkawi semakin merosot sejak kebelakangan ini adalah palsu dan hanya memberi impak buruk dan umpama seperti ‘menabur pasir’ buat sektor pelancongan di pulau perangin tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, sebenarnya masih ramai pengunjung ke Pulau Langkawi berdasarkan rekod tiket feri yang terjual.

Malah, katanya, kehadiran pengunjung ke Pulau Langkawi tidak terjejas khususnya pada cuti perayaan Deepavali ini.

Katanya, berdasarkan rekod setakat ini bagi tempoh bermula 10 hingga 14 November, sebanyak 12,727 tiket feri dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi telah ditempah dan dijual kepada pengunjung yang ingin bercuti ke pulau peranginan tersebut.

“Kebiasaan hanya lima trip feri ditawarkan buat pengunjung namun menjelang musim cuti perayaan Deepavali ini, pihak operator telah menambah tiga lagi trip perjalanan sehari susulan permintaan menggalakkan.

“Jika dilihat daripada rekod, jumlah pelancong yang membeli tiket feri ini adalah amat menggalakkan dan pihak kami juga perlu menambah tiga trip sehari bagi memenuhi permintaan pengunjung pada cuti Deepavali ini.

“Jadi dakwaan pihak tertentu yang mengatakan jumlah pelancong semakin berkurang ke Langkawi adalah tidak tepat sama sekali,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, kehadiran pelancong ke Langkawi yang semakin merosot sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan industri kedai makan dan kereta sewa di pulau itu mengalami kerugian banyak didorong oleh tindakan orang ramai yang lebih memilih Hatyai di Thailand sebagai destinasi percutian.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir dilaporkan berkata, banyak sebenarnya tarikan ditawarkan di negara jiran itu termasuk perjalanan ke sana yang jauh lebih mudah.

Mengulas lanjut, Baharin berkata, pihak konsortium mengambil inisiatif menyediakan lebih banyak feri bagi menampung permintaan pelancong pada cuti panjang yang bermula hujung minggu ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Baharin berkata, kerja-kerja pengerukan alur pelayaran di perairan Kuala Perlis juga telah selesai dijalankan pada 20 Mei lalu, bagaimanapun isu tersebut kembali berlarutan empat bulan kemudian khususnya di kawasan jeti penumpang berkenaan.

Katanya, bermula sejak 20 September lalu, feri penumpang di Kuala Perlis hanya boleh berlabuh sekiranya paras air mencapai paras 1.1 meter ke atas bagi mengelakkan daripada terkandas disebabkan perairan cetek.

“Paras air untuk feri berlabuh ini juga akan dinaikkan ke 1.2 meter ke atas menjelang pada 1 Januari tahun hadapan bagi mengelakkan isu feri terkandas. Pihak kami juga telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama

Kementerian Pengangkutan bagi mencari penyelesaian berhubung isu ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×