ALOR SETAR: Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) komited dalam membantu pelajar dari Palestin yang berhadapan detik sukar ekoran peperangan di negara tersebut ketika ini.
Menurut Naib Canselor yang juga Presiden AIU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abd. Aziz Tajuddin, setakat ini AIU menawarkan bantuan dan biasiswa kepada 14 pelajar Palestin termasuk yang berasal dari Gaza.
Katanya, AIU sudah lama memberi perhatian kepada Palestin sejak sebelum peperangan terbaharu sebulan lalu kerana selari dengan konsep Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary membina universiti itu iaitu membantu pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan seperti di Palestin.
“Kita bagi perhatian dan tempat khusus kepada mereka sejak tiga tahun lepas termasuk biasiswa dan kita minta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara itu bantu. Buat masa ini, kami ada tujuh pelajar perempuan dan tujuh pelajar lelaki Palestin.
“Usaha membantu Palestin bukan setakat tawarkan belajar di sini tetapi kadang-kadang cara mereka keluar dari Palestin pun kita bagi perhatian kerana nak keluar dari negara itu pun susah,” katanya ketika ditemui d kampus AIU di sini, semalam.
AIU kini menempatkan seramai 1,126 pelajar dari 60 negara yang ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary.
Tambah beliau, di sebalik peperangan Palestin dan rejim Zionis sejak 7 Oktober lalu, AIU tetap menawarkan sembilan lagi biasiswa kepada pelajar cemerlang dari bumi bergolak itu untuk meneruskan pengajian bagi sesi pengambilan terbaharu bermula Oktober lepas.
“Mereka menyatakan mahu datang ke sini namun situasi yang berlaku sekarang tidak mengizinkan mereka untuk keluar dari Palestin. Dulu semasa bukan perang pun sukar untuk mereka keluar dari Gaza. Mereka terpaksa menyeludup ke Mesir dan kadang kala kita terpaksa beli tiket dari Mesir untuk mereka datang ke sini.
“Jadi itulah perkara yang AIU buat lebih daripada tawarkan mereka biasiswa sahaja kerana selalu kita tak bayar kos tiket dan dokumen perjalanan tetapi untuk pelajar Palestin kita bantu. Kini pelajar baharu masih terperangkap di Gaza, jadi kita tengok macam mana kerana kita sedia beri kelonggaran kepada mereka untuk lewatkan pendaftaran,” katanya.
Beliau menambah, AIU turut berusaha menyediakan sokongan dari segi psikologi kepada pelajar berkenaan bagi mengelak kesan trauma dalam kalangan mereka kerana dikhuatiri menjejaskan pengajian.
“Tidak dinafikan mereka terjejas dari segi emosi tetapi semangat juang mereka kuat. Mereka tak mahu menjauhi negara sendiri, malah ingin bersama berjuang untuk Palestin. Tetapi kita selalu menjelaskan bahawa mereka mempunyai peranan kelak untuk membangunkan semula Palestin.
“AIU adakan banyak program dan aktiviti supaya masa mereka terisi malah kita juga ada pensyarah dari Palestin yang memantau pelajar ini,” katanya. – UTUSAN










