Haytai 'mini' Malaysia, lebih 700,000 masuk Thailand ikut Perlis

Hatyai ‘mini’ Malaysia, lebih 700,000 masuk Thailand ikut Perlis

BERADA di Hatyai seolah-olah seperti di Malaysia apabila dipenuhi pengunjung dari negara ini khususnya pada cuti hujung minggu di Hatyai, Thailand, Ahad lalu. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Hatyai di Thailand kini jadi ‘mini’ Malaysia apabila setiap cuti hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan dipenuhi pelancong dari negara ini.

Dalam tempoh lapan bulan dari Januari sehingga Ogos, seramai 703,640 pelancong memasuki Thailand melalui sempadan negeri ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 555,304 memasuki Thailand melalui sempadan Padang Besar dan 148,336 melalui Wang Kelian.

Pada hari minggu dan musim cuti persekolahan khususnya di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar sesak berikutan orang ramai mengambil kesempatan bercuti ke Thailand. Dijangka menjelang cuti Deepavali hujung minggu ini, pelancong Malaysia dan luar akan melalui ICQ Padang Besar untuk bercuti di Hatyai.

Seorang pengunjung, Hasmira Hashim, 38, berkata, dia dan keluarganya sering berkunjung ke Hatyai kerana tarikan di sana cukup menarik selain harga makanan dan hotel yang murah.

Katanya, di Hatyai khususnya pada cuti hujung minggu seolah-olah seperti berada di Malaysia kerana dipenuhi oleh rakyat dari negara ini.

Ujarnya, dalam tempoh sebulan, dia dan keluarga akan bercuti di Hatyai sekurang-kurangnya dua kali termasuk untuk membeli-belah kerana harga barangan yang murah.

“Di Hatyai makanan halal mudah dan murah selain sedap. Kebanyakan peniaga di sana juga boleh bercakap Melayu sekali gus memudahkan sebarang urusan.

“Kita mempunyai banyak pilihan apabila berada di Hatyai dari segi lokasi pelancongan menarik, kedai-kedai makan sedap selain tempat-tempat membeli belah dengan harga yang sangat murah dan berpatutan.

“Antara yang menjadi tarikan seperti pasar terapung, Asian Night Market, Hatyai Centre selain pelbagai pilihan hotel dengan harga yang agak murah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan, kehadiran pelancong ke Langkawi yang semakin merosot sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan industri kedai makan dan kereta sewa di pulau itu mengalami kerugian banyak didorong oleh tindakan orang ramai yang lebih memilih Hatyai di Thailand sebagai destinasi percutian.

Malah, faktor harga makanan dan penginapan yang lebih murah di selatan Thailand turut menarik minat pelancong antarabangsa untuk memilih lokasi itu berbanding Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir dilaporkan berkata, banyak sebenarnya tarikan ditawarkan di negara jiran itu termasuk perjalanan ke sana yang jauh lebih mudah.

Tambah Hasmira, tarikan tersebut dilihat menjadi antara sebab mengapa pengunjung memilih bercuti di Hatyai berbanding Langkawi.

“Selain itu, mungkin ramai yang sudah tidak mahu ke Langkawi disebabkan isu kekurangan trip feri dan ada yang takut apabila dimomokkan dengan harga makanan mahal,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, kebanyakkan pelancong yang bercuti ke Thailand juga pastinya akan singgah sekurang-kurangnya untuk bermalam di Perlis.

“Ia juga membantu daripada aspek kehadiran pelancong ke negeri ini. Ada yang akan bercuti di Perlis terlebih dahulu sebelum ke Thailand dan mereka yang pulang bercuti dari Thailand juga akan singgah di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan menjangka menjelang cuti Deepavali ini antara 4,000 hingga 5,000 rakyat Malaysia dan penggembara luar negara akan melalui ICQ Padang Besar untuk bercuti di selatan Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×