Cadangan wajib klinik papar harga ubat tidak praktikal -Perdim

Cadangan wajib klinik papar harga ubat tidak praktikal -Perdim

BOI SAIDI ABD. RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) menyifatkan cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) mewajibkan klinik perubatan umum atau swasta memaparkan harga ubat-ubatan di katalog, papan penyata dan secara dalam talian untuk semakan sebagai tidak praktikal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi Abd. Razak berkata, pada ketika ini, klinik umum mengamalkan sistem hibrid sesuai persetujuan perbincangan sebelum ini bersama Menteri Kesihatan.

Jelasnya, menerusi sistem tersebut, pesakit boleh meminta preskripsi untuk membolehkan mereka membeli ubat di farmasi atau mengambil dan membeli ubat di klinik tempat mereka dirawat.

Beliau berkata, amalan majoriti klinik umum di negara ini akan membekalkan pesakit dengan bil di akhir pembelian ubat-ubatan dan ada juga klinik menulis harga setiap ubat dalam bil.

“Perdim keberatan cadangan ini dilaksanakan kerana harga ubat-ubatan tidak sama dari pengedar. Harga ubat-ubatan kadang-kadang berbeza mengikut jumlah belian dari klinik.

“Kedua, klinik-klinik di bandar dan luar bandar memiliki harga ubat-ubatan dengan nilai yang berbeza. Kelaziman klinik akan menaikan harga ubat 20 hingga 30 peratus dari harga asal mengikut lokasi klinik berada.

“Ketiga, paparan harga ubat seolah olah melanggar akta iklan ubat,” katanya di sini semalam.

Beliau mengulas cadangan KKM untuk mewajibkan klinik umum atau swasta memaparkan harga ubat-ubatan di klinik menerusi katalog, papan penyata dan secara dalam talian.

Difahamkan, cadangan tersebut dibuat kementerian supaya orang awam boleh mendapatkan maklumat terperinci harga ubat-ubatan di klinik berkaitan.

Mengulas lanjut, Boi Saidi berkata, secara dasarnya, sistem hibrid merupakan pilihan terbaik untuk klinik-klinik umum di negara ini.

Beliau dalam pada itu berkata, berdasarkan statistik, golongan B40 dan M40 secara majoritinya memilih berubat ke klinik-klinik umum swasta.

Jadi, menurutnya, memaparkan harga ubat-ubatan di klinik-klinik umum atau swasta tidak akan menyelesaikan masalah harga ubat di negara ini.

“Kerajaan menerusi KKM seharusnya mencari mekanisme untuk menyeragamkan harga ubat-ubatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×