Rakyat Palestin perlu dibela, diberi keadilan

Rakyat Palestin perlu dibela, diberi keadilan

RAKYAT Malaysia harus mengetepikan perbezaan fahaman politik dan agama dengan tampil menyalurkan bantuan dalam usaha menyelamatkan nilai kemanusiaan yang dijangka terkubur dalam konflik Israel-Palestin. –UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN Program Minggu Solidariti Palestin di sekolah seperti diarahkan Kementerian Pendidikan bukan sahaja menimbulkan reaksi bercampur-campur malah menarik minat orang ramai terhadap konflik yang tercetus antara Palestin dan Israel. Persoalannya, apa kaitan Malaysia dengan isu peperangan ini?

Perihal Israel dan Palestin adalah sesuatu yang bermula sejak prasejarah menelusuri zaman Bible sehingga zaman moden. Kisah Israel berhubung kait dengan kaum Yahudi yang digelar sebagai kaum Bani Israel dalam al-Quran, terutamanya dalam surah-surah Al- Madaniyah.

Jumlah penduduk Israel pada hari ini adalah seramai 9.7 juta. Sebahagian besar penduduknya terdiri daripada kaum Yahudi (74.5 peratus), kaum Arab (17.7 peratus) dan lain-lain kaum (4.6 peratus). Agama Judais agama kaum Yahudi, manakala Islam dan Kristian juga diamalkan oleh sebahagian warga Israel. Kini jumlah penduduk Palestin di dunia mencecah 14.5 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun hanya 5.5 juta warga Palestin yang tinggal di Wilayah Palestin. Sebahagian besar rakyatnya mengamalkan agama Islam dengan Mazhab Sunni.

Sejarah moden menunjukkan bahawa kaum keturunan Yahudi hidup berpindah-randah dari tempat asal mereka ke seluruh dunia, terutamanya ke Amerika Syarikat (AS) ,United Kingdom (UK), Eropah, Timur Tengah secara amnya dan ke negara Poland, Jerman, Mesir, negara-negara Arab dan sekitarnya secara khususnya. Dunia masih ingat peristiwa Holocaust di mana hampir 6 juta orang Yahudi iaitu hampir dua per tiga jumlah orang Yahudi di Eropah, ditembak mati serta mati disebabkan gas racun angkara rejim Nazi kepimpinan Hitler, yang menakluki Poland antara tahun 1941 dan 1945.

Susulan terjatuhnya Empayar Islam Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama, Palestin yang ditadbir oleh kuasa Uthmaniyah ditawan oleh kuasa pihak Bersekutu yang meliputi Rusia, Perancis, UK, Kanada, Itali dan AS. Tamatnya perang, wilayah Palestin dipertanggungjawabkan kepada pentadbiran United Kingdom (Colonial Mandate) mulai 1917 hingga 1948.

Dalam pada itu, perlu diingat bahawa kuasa British dalam usaha meraih sokongan komuniti Jewish (Yahudi) untuk bersama mereka dalam Perang, pernah berjanji kepada kaum Yahudi pada 1917 bahawa Empayar British akan menubuhkan negara Israel dikawasan Palestin yang pernah dikuasai oleh Empayar Ottoman.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang meneliti status Palestin meluluskan dan menerima pakai resolusi 181 (Partition Resolution) 1947 untuk membahagikan Palestin yang ditadbir oleh pentadbiran kuasa British kepada dua negara iaitu sebuah negara bagi orang Yahudi dan sebuah negara lagi bagi orang Arab. Akan tetapi, Pelan PBB bagi membahagikan Palestin itu tidak dapat dilaksanakan.

Meskipun pada asalnya, PBB membuat keputusan bahawa status Palestin hendaklah diputuskan oleh rakyat Palestin sendiri melalui referendum apabila British berundur dari Palestin. Kuasa British pula melayan desakan dan tuntutan komuniti Yahudi untuk menubuhkan sebuah negara Israel di Tanah Palestin.

David-Ben-Gurion, seorang pemimpin kaum Yahudi yang berpengaruh dalam Empayar British, mengisytiharkan penubuhan negara Israel secara bersendirian pada 1948. Susulan pengisytiharan itu, kaum Yahudi yang menetap di seluruh negara sebagai kaum diaspora telah meninggalkan tempat tinggal mereka di negara masing-masing dan bermigrasi secara beramai-ramai ke Israel dan menetap tetap di negara Israel yang baharu ditubuhkan.

TAKLUK
Seterusnya pada 1967, Israel menyerang Palestin dan menakluki beberapa kawasan hak milik Palestin. Negara-negara Arab pula berpakat bersatu dan menahan Palestin daripada serangan dan pencerobohan tentera Israel. Namun, perang 1967 yang berlaku selama enam hari itu diakhiri dengan kekalahan teruk kepada pihak negara-negara Arab dan pihak Israel menakluki kawasan hak milik Palestin.

Majlis Keselamatan PBB Resolusi 242 (1967) membuat ketetapan agar Israel berundur daripada tanah yang ditakluknya di Palestin.

Kini, Palestin ditadbir oleh kerajaan yang diterajui Palestinian National Authority (PNA) yang dikuasai parti Fatah. Namun, Wilayah Jalur Gaza dikuasai oleh Kumpulan Hamas sejak 1967 dan Wilayah Tebing Barat pula oleh Kumpulan Fatah. Perlu diingat bahawa hubungan antara kumpulan Fatah dan Hamas masih renggang dan tidak sehaluan dalam mengurus politik dalam negara. Namun, Palestin menyertai PBB sebagai non-member state sejak 2012. Palestin juga diiktiraf oleh 138 negara di dunia malah mendapat bantuan kewangan daripada Amerika Syarikat (AS) dan European Union hampir US$1 bilion.

Konflik dan peperangan antara Israel dan Palestin didapati tidak kesudahan. Israel mendakwa pihak pejuang Hamas yang menyerang Israel secara tiba-tiba dengan melancarkan peluru roket dari Semenanjung Gaza. Sebaliknya, pihak Palestin pula mendakwa tentera Israel yang melancarkan operasi ketenteraan menentang pejuang Hamas yang membunuh beratus-ratus orang awam Palestin yang tidak berdosa.

Apa pun, Malaysia selaku sebuah negara yang prihatin terhadap kemanusiaan, bersedia membela kaum tertindas, dizalimi dan dianiaya. Lebih-lebih lagi Malaysia sebagai sebuah negara yang menganggotai PBB tetap akan memastikan rakyat Palestin diberikan peluang untuk menuntut keadilan dalam konteks kemanusiaan.

Kerajaan Malaysia dilaporkan menyalurkan bantuan RM100 juta bantuan kemanusiaan kepada Palestin sebagai tabung kemanusiaan dan perubatan untuk rakyat Gaza.

Sehubungan ini, rakyat Malaysia harus mengetepikan perbezaan fahaman politik dan agama dengan tampil ke depan untuk menyalurkan bantuan dalam usaha menyelamatkan nilai kemanusiaan yang dijangka akan terkubur dalam konflik Israel-Palestin yang tidak berkesudahan ini. Kaum India di Malaysia bersama kerajaan kepimpinan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu rakyat Palestin.-UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini