“KATAKAN tidak kepada keganasan.” Inilah kata-kata yang sering diungkapkan oleh ibu bapa kami. Sejak kecil saya diajar untuk membenci keganasan. Saya tidak minta dibelikan pistol, senapang atau pedang mainan kerana bagi saya itulah lambang keganasan. Begitu juga mainan ala light saber walaupun saya meminati filem Star Wars.
Ibu bapa kami sedaya-upaya menyemai nilai-nilai murni dalam diri saya dan kakak-kakak secara holistik. Keseluruhan alat permainan kami bercorak pendidikan sama ada permainan komputer mahupun buku bacaan. Pada usia itu juga, kami tidak dibenarkan menonton cerita yang mempunyai unsur keganasan.
Saya masih ingat kali pertama menonton laporan tentang peperangan dalam siaran berita di televisyen. Saya bertanya pelbagai soalan kepada ibu untuk mencari jawapan, kenapa manusia sanggup mencederakan orang lain? Saya marah kerana ada orang dewasa yang bukan setakat gagal membela nasib kanak-kanak tetapi menyebabkan kanak-kanak menderita. Pilu melihat kanak-kanak yang cedera membuatkan saya bertekad mahu menghentikan keganasan khususnya ke atas kanak-kanak seusia saya.
Berusia lima tahun pada ketika itu, saya sudah dapat memahami penderitaan kanak-kanak mangsa perang dan keganasan. Saya mula menulis tentang isu ini di blog. Saya menekankan bahawa peperangan tidak membawa apa-apa kebaikan dan harus dihentikan. Ia cuma menyebabkan penderitaan, mengorbankan nyawa manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Malah segala-gala yang ada akan musnah begitu sahaja.
Oleh kerana itu, muzik video lagu Earth Song nyanyian Michael Jackson amat bermakna kepada saya. Bayangkan perasaan saya pada usia itu apabila melihat deretan kanak-kanak pelbagai warna kulit mara bersama-sama membawa mesej keamanan dan akhirnya berjaya menghentikan peperangan. Itulah hasrat dan impian saya. Jika orang dewasa sudah tidak dapat berfikir dengan waras, maka kami kanak-kanak harus membawa obor keamanan.
Kami beruntung kerana ibu bapa mempunyai masa untuk kami. Mereka juga tidak memperkecilkan daya imaginasi dan impian kami. Malah mereka sentiasa menghargai niat baik kami serta menyuntik semangat agar kami bersikap positif dan cuba berbuat sesuatu ke arah kebaikan.
Ego, sifat tamak, rakus serta mementingkan diri sendiri boleh melenyapkan sifat-sifat manusiawi dalam diri kita. Ada dalam kalangan kita seolah-olah tidak sedar bahawa kita tidak boleh hidup sendirian di bumi ini. Justeru, jangan sampai kita menindas orang lain. Dunia akan aman jika manusia boleh bertolak ansur dan hormat-menghormati sesama sendiri.
API
Saya tertanya-tanya, mengapa seluruh warga dunia tidak dapat hidup secara harmoni bersama-sama? Adakah terlalu sukar untuk kita duduk semeja dan berusaha mencari jalan terbaik demi keamanan sejagat? Apa yang menyedihkan ketika peperangan ialah mereka yang menderita kebanyakannya merupakan mangsa tidak berdosa dan tidak terbabit langsung dalam peperangan.
Di mana-mana sahaja keganasan mesti dihentikan. Jangan kita semaikan perasaan benci dan dendam dalam diri kanak-kanak. Api jika dilawan dengan api, tidak mungkin akan padam. Kanak-kanak harus diberi penerangan dan kesedaran, bukannya replika senjata atau senjata permainan untuk mereka banggakan. Kalau nak berperang sekalipun, takkan anak-anak itu mahu diletakkan di barisan hadapan?
Amat menyedihkan apabila isu-isu begini pun mahu dipolitikkan. Apa nak jadi kepada negara jika para pemimpinnya hanya tahu berpolitik? Semua yang berlaku di dunia ini mahu dijadikan agenda politik. Maka fitnah ditabur sesedap rasa, permainan persepsi berulang sehingga menimbulkan polemik. Adakah ini contoh yang mahu mereka tunjukkan kepada anak muda? Adakah cara ini akan menyemarakkan rasa kemanusiaan dalam diri kanak-kanak?
Keganasan bukan hanya berlaku ketika peperangan. Maka, janganlah kita menutup mata dan memekakkan telinga apabila ada yang memerlukan pertolongan. Baca sahaja kes-kes dilaporkan di akhbar. Ada mendera kanak-kanak, membunuh anak atau ibu bapa sendiri dan pelbagai perkara yang sukar kita percaya sanggup dilakukan ke atas orang lain.
Hari ini, kes-kes keganasan begitu kerap berlaku. Ada yang laporkan dan ada juga yang tidak. Kadangkala kita lebih menghargai wang ringgit berbanding nyawa orang lain. Bagi yang berebut kuasa, keadaannya menjadi lebih parah. Ada yang sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapai impian mereka walaupun sedar cara itu salah.
Ramai mangsa yang memerlukan pertolongan kita. Ambil tahulah nasib jiran tetangga dan tunaikanlah tanggungjawab masing-masing terhadap tanggungan kita. Di mana sahaja pun mereka berada, yang lapar tetap berasa lapar. Maka hulurkanlah bantuan setakat termampu atau carilah jalan untuk membantu mereka. Jangan sampai kita pura-pura tidak nampak gajah di depan mata.
Begitu juga mangsa penderaan emosional yang tidak kurang menderita. Penderaan secara senyap dengan tiada kesan fizikal amat berbahaya. Lebih-lebih lagi jika si pelaku mempunyai taraf kedudukan tinggi pada mata masyarakat. Harapkan pagar, pagar makan padi. Kita sering membiarkan mangsa-mangsa ini menderita atas alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang.
Keganasan bukanlah tanda keberanian atau sikap yang bijaksana. Mengambil kesempatan dan menindas orang lain dengan menggunakan kuasa yang ada pada si pelaku juga satu bentuk keganasan. Matlamat tidak menghalalkan cara. Jangan sampai kita bersultan di mata, beraja di hati. – UTUSAN
PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










