BELANJAWAN 2024 menyaksikan industri sukan tempatan memperoleh peruntukan keseluruhan RM184 juta. Jumlah tersebut adalah lebih rendah berbanding tahun ini, iaitu RM399 juta, agak menyedihkan di saat ingin mencapai sasaran atlet pertama kit memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris, tahun hadapan.
Sukan bukan sekadar aktiviti rekreasi atau hiburan semata-mata, ia adalah unsur penting dalam pembangunan sebuah negara. Sejak zaman kuno, sukan menjadi tonggak dalam mewujudkan masyarakat sihat, aktif dan maju. Keberkesanan sukan dalam menyokong pembangunan negara menggambarkan betapa pentingnya peranannya dalam konteks sosial, ekonomi dan budaya.
Pencapaian cemerlang dalam sukan boleh membawa manfaat besar kepada negara termasuk meningkatkan imej di mata dunia, meningkatkan pendapatan pelancongan dan mengukuhkan identiti negara. Tidak ketinggalan, kepentingan sukan dapat dilihat dari aspek kesihatan, pendidikan dan sosial.
Jika dilihat negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) menyediakan dana dan sokongan kewangan kepada pelbagai program dan inisiatif sukan. Ini termasuk pembinaan dan penyelenggaraan stadium, pengiktirafan bakat serta program untuk kanak-kanak dan remaja.
BELAJAR DARIPADA NEGARA MAJU
Atlet pecut negara, Mohd. Azeem Fahmi misalnya, turut mendapat manfaat pelaburan sukan apabila ditawarkan biasiswa sukan untuk menjalani latihan profesional sekali gus menyambung pengajian di bawah kendalian Universiti Auburn, Alabama. Peluang ini turut membolehkan Azeem Fahmi mencari slot untuk beraksi dalam Kejohanan Trek dan Padang Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) divisyen satu yang menyaksikan persaingan dengan atlet berlari di bawah 10 saat.
Sebilangan besar pelaburan dalam sukan AS bertitik tolak daripada penglibatan menyeluruh sektor swasta. Syarikat korporat dan agensi perniagaan begitu aktif menghulurkan penajaan bagi menyokong pasukan, liga sukan dan atlet melalui kontrak penajaan mencecah nilai berbilion ringgit.
Tidak ketinggalan, sekolah dan universiti di AS melabur dalam sukan dengan membina dan mengekalkan kemudahan latihan dan persaingan berkualiti tinggi termasuk gaji jurulatih dan sokongan pasukan seperti khidmat kaunseling, fisioterapi dan urutan sukan.
Harus diakui juga, liga sukan profesional di AS merupakan entiti perniagaan yang sangat besar dan pelaburan dalam liga-liga ini mencatatkan jumlah tinggi. Dokumentari David Beckham ditayangkan di Netflix merupakan bukti nyata pelaburan dalam sukan bukanlah sekadar omongan kosong semata.
Justeru, sudah tiba masanya pelaburan lebih besar dilaksanakan di Malaysia sekiranya kita ingin melihat atlet negara mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan atlet dari negara lain di dunia.
Usah kita bandingkan dengan AS yang mungkin berada pada tahap berbeza, cukup sekadar meletakkan kita dalam kelompok Asia Tenggara dan Asia. Pencapaian diraih dalam Sukan Asia baru-baru ini, iaitu 32 pingat keseluruhan sememangnya mencapai sasaran ditetapkan. Namun, adakah ia yang terbaik dalam kelompok Asia Tenggara mahupun Asia?
Kita berada pada kedudukan ke-14 di belakang Thailand yang menghuni tangga kelapan dengan 58 pingat keseluruhan manakala Indonesia di tangga ke-13 dengan 36 pingat keseluruhan. Kedudukan ini terlalu jauh jika ingin dibandingkan dengan tiga kuasa besar Asia, iaitu China, Korea dan Jepun.
PENTINGNYA TEKNOLOGI & PENYELIDIKAN SUKAN
Dalam perkembangan sukan, terdapat beberapa elemen utama perlu diberi perhatian oleh kerajaan agar mencapai prestasi tinggi dan menyamai negara-negara maju yang menggabungkan teknologi dan penyelidikan dalam sektor sukan mereka. Kunci kejayaan dalam mencapai kemajuan sukan adalah integrasi teknologi dan penyelidikan dalam pelbagai aspek. Ini termasuk pemantauan prestasi atlit melalui teknologi, analisis data dan penyelidikan saintifik untuk meningkatkan latihan dan diet atlet. Dengan teknologi dan penyelidikan yang berkembang pesat, negara boleh memanfaatkannya untuk menghasilkan atlet lebih baik dan mencapai kecemerlangan dalam sukan.
Analisis prestasi atlet menggunakan sensor dan teknologi video sebagai pemantauan untuk merakam data semasa latihan dan pertandingan sangat penting bagi membantu jurulatih dan atlet menilai dan meningkatkan prestasi mereka, pada masa sama menganalisis strategi lawan.
Selain itu, pemantauan kesihatan atlet merupakan aspek penting dalam kejayaan sukan seperti peralatan pemantauan denyutan jantung, tidur, pemakanan dan kecederaan membantu menjaga kesihatan atlet, mengurangkan risiko cedera dan memaksimumkan prestasi mereka.
Dalam aspek lain, penggunaan reka bentuk dan percetakan tiga dimensi (3D) juga amat diperlukan khususnya untuk menghasilkan peralatan sukan lebih cekap seperti kasut sukan yang disesuaikan dengan anatomi kaki atlet.
Tidak ketinggalan, sistem kawalan kualiti udara turut membantu menilai tahap pencemaran udara dan memastikan keselamatan atlet dan penonton, manakala elemen kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk mengoptimalkan strategi pertandingan dan latihan serta meramal prestasi atlet.
Turut perlu diberikan perhatian ialah teknologi anti-doping, khusus untuk mengesan unsur yang melanggar peraturan dan menjaga kejujuran dalam sukan.
PRASARANA & PEMBANGUNAN AKAR UMBI
Prasarana baik memberi atlet akses kepada kemudahan berkualiti yang sesuai dengan latihan dan pertandingan. Dengan prasarana bersaiz antarabangsa, negara boleh menjadi tuan rumah kepada pertandingan dan kejohanan antarabangsa yang akan membawa faedah kepada pertumbuhan ekonomi dan pengiktirafan kepada negara dan pada masa sama memajukan lagi sektor pelancongan sukan negara.
Penyediaan prasarana yang lengkap juga dapat mencipta wadah pembangunan bakat terutama di peringkat akar umbi untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu. Kanak-kanak dan remaja mendapat peluang untuk berkembang dalam sukan bersesuaian.
Kesimpulannya, pembangunan teknologi, prasarana dan pencarian bakat baharu adalah tiga elemen penting yang perlu diberi perhatian dalam rencana pembangunan sukan negara dan merupakan langkah penting dalam mencapai prestasi sejajar dengan negara-negara maju.
Pastinya ia memerlukan komitmen dan pelaburan daripada kerajaan, swasta dan agensi sukan tempatan.
Sebagai bekas atlet, saya percaya, pelaburan dan sokongan berterusan dalam tiga aspek ini akan membolehkan negara bergerak ke hadapan dalam dunia sukan dan mencapai prestasi lebih cemerlang. Teruslah menyokong industri sukan dan marilah kita bersama-sama mewujudkan sebuah negara cemerlang melalui semangat sukan yang menghubungkan kita sebagai satu. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan atlet Sukan Olimpik 2004.










