Tiada persefahaman hanya alasan klise bercerai

Tiada persefahaman hanya alasan klise bercerai

PERBEZAAN pandangan suami isteri harus diberikan penekanan serius menerusi kursus perkahwinan agar mencapai kestabilan, keharmonian dan kasih sayang dalam berumahtangga. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA persefahaman merupakan antara alasan klise dibangkitkan oleh pasangan bagi permohonan perceraian di mahkamah syariah seluruh negara. Bagaimanapun, apabila penelitian mendalam dilakukan terhadap tiada persefahaman tersebut, sebenarnya terdapat 10 faktor utama yang mendasari alasan berkenaan.

Lima punca utama disebabkan faktor kewangan, ditinggalkan pasangan/tinggal berasingan, kemahiran interpersonal, penderaan dan seksual. Lima penyumbang lain pula adalah faktor luaran, ketidakadilan dalam berpoligami, agama, kesihatan dan perkahwinan bawah umur.

SYIQAQ DALAM ISLAM

Perseteruan antara suami isteri atau disebut sebagai syiqaq dan langkah menanganinya dinyatakan menerusi ayat 35, surah al-Nisa’: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (untuk mendamaikan mereka), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua-dua (suami isteri itu) berpakat baik.”

Di Wilayah Persekutuan, Seksyen 48 Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 menyatakan syiqaq sebagai perkelahian yang sentiasa berlaku antara pihak-pihak dalam sesebuah perkahwinan. Menurut Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani menerusi kitabnya, Adab al-Ikhtilaf fi alIslam, syiqaq merupakan hasil terburuk daripada perbezaan pandangan (ikhtilaf).

Sungguhpun ikhtilaf merupakan norma dalam kehidupan bermasyarakat dan berkeluarga, namun perbezaan tersebut perlu didasari kepada dalil/hujah/fakta yang sahih di mana hasilnya kelak menjurus kepada kebenaran. Jika tiada salah satu prasyarat tersebut, perbezaan pandangan berkenaan akan hanyut membawa ke arah perselisihan (khilaf) yang hanya sekadar menurut hawa nafsu dan keegoan. Malah, sekiranya khilaf tersebut menjadi semakin agresif dengan upaya untuk mempertahankan pandangan masing-masing serta menundukkan pandangan pihak lain, maka ia menjadi perdebatan (al-jadal).

Dalam bahasa mudahnya, al-jadal merupakan perundingan dengan cara bertengkar dan saling menyalahkan. Parahnya apabila perdebatan ini tidak dikawal, maka permusuhan antara pihak-pihak terlibat menjadi semakin tegang dan berlarutan.

Masing-masing lebih mengutamakan kemenangan berbanding mencari kebenaran, dengan kemuncaknya seolah-olah mustahil suatu persefahaman akan diperoleh. Dalam situasi ini, barulah ia dinamakan sebagai syiqaq yang merupakan pertelingkahan secara berterusan antara pihak terlibat dengan matlamatnya untuk saling mengalahkan pihak lain.

Kesimpulannya, syiqaq merupakan hasil daripada perbezaan pendapat yang dimulai dengan ikhtilaf, perselisihan pandangan (khilaf) dan perdebatan (al-jadal).

ADAB

Sebenarnya tidak semua ikhtilaf membawa kerosakan. Malah dalam situasi tertentu, perbezaan boleh membawa kepada kemaslahatan sekiranya disadur dengan akhlak dan etika yang baik. Justeru, suami isteri yang bertelingkah perlu memelihara adab serta diganding bersama komunikasi baik dalam melayari perbezaan tersebut agar perbincangan tidak mudah tersasar.

Oleh kerana syiqaq sememangnya melibatkan perseteruan dan keinginan untuk sentiasa menang, maka Allah SWT menerusi ayat 35, surah al-Nisa’ memerintahkan agar tiga hakam (orang tengah) dilantik bagi mewakili suami dan isteri kerana kebiasaannya pasangan berkenaan sudah mulai hilang adab ketika berinteraksi.

Justeru, hakam yang dilantik hendaklah memiliki kriteria dihormati, mampu mengembalikan pihak-pihak kepada tanggungjawab masing-masing, berusaha mencari titik perdamaian, mengelakkan komunikasi meleret, memberikan saranan, menyelesaikan konflik dan meminimumkan penderitaan.

Betapa pentingnya peranan hakam sehinggakan Kaedah 4 dan 8, Kaedah-Kaedah Hakam 2014 Negeri Selangor memperuntukkan seseorang hakam hendaklah saudara karib, beragama Islam, lelaki, berakal dan baligh (mukalaf), adil dan amanah serta mempunyai pengetahuan asas dalam hal ehwal kekeluargaan dan hukum syarak. Kriteria hakam ini amat signifikan kerana mereka diberikan tanggungjawab lebih besar sehinggalah sebagai pemutus terhadap kesinambungan sebuah perkahwinan.

Selain itu, peranan hakam juga penting bagi mengelak penyalahgunaan proses mahkamah. Sebagai contoh, menurut kajian yang saya jalankan terhadap 669 kes pembubaran perkahwinan merangkumi 446 kes permohonan perceraian dan 223 kes taklik di Selangor, mendapati 250 kes (37%) daripada keseluruhan kes ditarik balik, dibuang dan ditolak.

Antara alasan kerana kegagalan plaintif menghadiri prosiding, plaintif memfailkan kes baharu, pasangan berdamai, kesilapan prosiding dan lain-lain. Justeru, disebabkan tingginya kadar kes berkenaan, maka sewajarnya pasangan yang bertikai mendapatkan bantuan orang tengah seperti ahli keluarga atau kaunselor terlebih dahulu sebelum memfailkan kes di mahkamah. Langkah ini juga dapat mempercepatkan penyelesaian kes lainnya kerana para hakim tidak lagi ‘diganggu’ oleh kes tidak bermerit yang boleh diselesaikan secara baik.

Ramai tidak menyedari kewujudan hakam bagi pihak suami juga secara tidak langsung merupakan penyelamat bagi isteri, terutama apabila suami dengan sengaja enggan menghadirkan diri ke mahkamah atau berniat jahat untuk tidak menceraikan isterinya. Menurut rekod, terdapat suami sengaja gagal dan cuai menjalankan tanggungjawab, namun dalam masa sama membiarkan isteri terseksa terpojok dalam rumah tangga tidak berfungsi.

Buktinya, berdasarkan kajian saya jalankan mendapati daripada 168 kes yang melalui prosiding bersama Jawatankuasa Pendamai (JKP), hukum keluarga dan hakam panel, hanya 47 kes (28%) talak dilafazkan oleh suami sedangkan 121 kes (72%) lagi dilafazkan oleh hakam panel.

Sungguhpun hanya terdapat tujuh negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang, Johor dan Kedah, manakala Melaka dalam proses pewartaan bagi mewujudkan kaedah-kaedah hakam, namun ia tidak menjejaskan pengaplikasian peranan hakam di enam negeri lain. Ini kerana pengamalannya dikuatkuasakan menerusi Seksyen 47 dan 48 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam negeri masing-masing.

Walaupun begitu, disarankan proses bersama JKP dan hakam ini ditambah baik dari semasa ke semasa agar matlamat utama bagi mencapai kestabilan, keharmonian dan kasih sayang dalam berumahtangga dapat terus dipertahankan.

Malah diharapkan juga adab perbezaan pandangan dalam berumahtangga diberikan penekanan serius menerusi kursus perkahwinan agar setiap pasangan yang memasuki alam perkahwinan terbuka terhadap pandangan berlainan, berkemampuan mengawal emosi, berhujah atas fakta sahih, berlapang dada menerima kebenaran dan seterusnya menjadikan perbezaan ini sebagai medium untuk membina dan bukannya membinasakan keluarga. – UTUSAN

Dr. Roziana Mat Amin ialah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×