Kawalan harga bukan penyelesaian isu keterjaminan makanan - Utusan Malaysia

Kawalan harga bukan penyelesaian isu keterjaminan makanan

WALAUPUN kawalan harga mungkin menarik sebagai penyelesaian jangka pendek, ia bukanlah strategi yang mampan untuk jangka panjang. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESELAMATAN makanan adalah agenda global. Satu faktor yang menyumbang kepada keperluan tindakan segera untuk memastikan makanan terjamin ialah kos makanan semakin meningkat. Tidak syak lagi, gangguan rantaian bekalan akibat tercetus konflik di seluruh dunia banyak menyumbang kepada kenaikan harga.

Kebimbangan yang lebih besar ialah adakah ia tersedia dan mampu dibeli makanan itu sendiri? Bagi Malaysia, terlalu bergantung kepada import menjadi kebimbangan kita, apatah lagi bil import makanan melonjak yang menimbulkan lebih tekanan kepada ekonomi.

Kita telah bertahun-tahun menggunakan kawalan harga untuk mengurangkan kesan harga makanan yang tinggi ke atas penduduk. Kawalan harga walaupun berniat baik, secara amnya bukanlah cara paling berkesan untuk mencapai keselamatan makanan.

Pengumuman dalam Belanjawan 2024 untuk menghentikan kawalan harga ayam dan telur secara berperingkat dilihat sebagai petanda positif untuk pengeluaran tempatan. Ahli ekonomi bersetuju kawalan harga boleh mewujudkan herotan pasaran. Apabila harga ditetapkan di bawah keseimbangan pasaran, pengeluar hilang semangat kerana margin yang rendah.

Dan ini boleh menyebabkan kekurangan bekalan apabila pengguna membeli lebih banyak disebabkan oleh harga lebih rendah. Ketidakseimbangan ini boleh mengganggu rantaian bekalan dan membawa kepada ketidakcekapan.

Kawalan harga boleh mengurangkan insentif untuk petani menghasilkan lebih banyak makanan. Apabila mereka tidak dapat memperoleh harga pasaran yang adil untuk produk, mereka mungkin mengurangkan pengeluaran atau beralih kepada tanaman lain yang lebih menguntungkan. Ini seterusnya boleh menyebabkan berkurangan keseluruhan pengeluaran makanan.

Malah dalam sesetengah kes, kawalan harga boleh membawa tumpuan kepada kuantiti berbanding kualiti. Pengeluar mungkin mengurangkan kos dan berkompromi dengan standard keselamatan dan kualiti untuk mengekalkan keuntungan apabila harga dikekang. Ini tidak baik untuk kesihatan dan pemakanan.

Bukan rahsia lagi bahawa kawalan harga juga boleh membawa kepada pasaran gelap atau perdagangan haram produk tertentu.

Apabila harga secara ‘buatan’ rendah, pasaran selari dengan harga lebih tinggi boleh muncul yang boleh memburukkan lagi isu rantaian bekalan dan menghalang usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan makanan.

Kawalan harga tidak menangani punca utama keadaan tidak terjamin makanan seperti cabaran logistik, kerugian selepas tuaian dan infrastruktur yang lemah. Isu struktur ini perlu ditangani secara berasingan untuk meningkatkan keselamatan makanan.

JANGKA PENDEK
Kawalan harga boleh menyebabkan salah pengagihan sumber. Apabila kerajaan campur tangan dalam pasaran untuk menetapkan harga, ia mungkin mengalihkan sumber yang boleh digunakan dengan lebih baik dalam sektor lain seperti infrastruktur pertanian atau penambahbaikan teknologi.

Kawalan harga selalunya memberikan kelegaan jangka pendek tetapi tidak menangani kebimbangan keselamatan makanan jangka panjang. Keselamatan makanan yang mampan memerlukan pelaburan dalam pertanian, penyelidikan, infrastruktur dan pendidikan.

Melaksanakan dan menguatkuasakan kawalan harga boleh mewujudkan cabaran dari segi pentadbiran. Ia memerlukan sumber kerajaan yang besar dan boleh terdedah kepada rasuah.

Selain itu, peserta pasaran mungkin bertindak balas terhadap kawalan harga dengan mengurangkan pelaburan, inovasi atau pengeluaran. Ini boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap bekalan makanan.

Kawalan harga juga mungkin tidak mengambil kira dinamik pasaran global. Harga makanan sering dipengaruhi oleh faktor antarabangsa seperti cuaca, dasar perdagangan dan permintaan global. Kawalan harga tempatan mungkin tidak berkesan melindungi pengguna daripada pengaruh global ini.

Daripada bergantung semata-mata pada kawalan harga, pendekatan yang lebih komprehensif untuk mencapai keselamatan makanan harus merangkumi langkah seperti menyokong petani dengan infrastruktur, teknologi dan latihan bagi meningkatkan pengeluaran dan kecekapan.

Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan pasaran cekap dan telus yang membolehkan penawaran dan permintaan menentukan harga.

Melaksanakan jaringan keselamatan sosial bersasar memberikan bantuan kepada mereka yang paling memerlukan, bukannya cuba mengawal harga untuk semua orang juga merupakan satu pilihan.

Selain itu, kita boleh menggalakkan pengeluaran makanan yang pelbagai dan amalan pertanian mampan, apatah lagi melaksanakan strategi pengurusan risiko untuk menangani kesan faktor luaran terhadap harga makanan.

Langkah lain termasuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan hasil dan daya tahan tanaman dan menambah baik pengangkutan, penyimpanan dan infrastruktur pengedaran untuk mengurangkan kerugian selepas tuaian dan meningkatkan ketersediaan makanan.

Walaupun kawalan harga mungkin menarik sebagai penyelesaian jangka pendek, ia bukanlah strategi yang mampan untuk mencapai keselamatan makanan dalam jangka panjang.

Gabungan dasar berorientasikan pasaran dan campur tangan bersasar secara amnya lebih berkesan dalam menangani punca utama keadaan tidak terjamin makanan. Malah, kawalan harga menghalang keselamatan makanan. – UTUSAN

PROFESOR Datuk Dr. Ahmad Ibrahim ialah Ahli Pusat Tan Sri Omar untuk Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di UCSI University. Pandangan yang dikemukakan adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×