Kos sara hidup meningkat, kadar kelahiran menurun

Kos sara hidup meningkat, kadar kelahiran menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peningkatan kos sara hidup mendorong pasa­ngan mengamalkan perancangan keluar­ga sekali gus menyebabkan bilangan kelahiran menurun yang dikhuatiri menjejaskan matlamat mencapai dasar kependudukan 70 juta di negara ini.

Dengan unjuran pertumbuhan kependudukan perlahan sekitar dua peratus setahun, dasar berkenaan menyifatkan dua komponen utama mengenai kependudukan iaitu kadar kesuburan dan kadar kasar kelahiran perlu dipertingkatkan dengan sewajarnya.

Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk 70 juta berdasarkan saiz negara ke­rana ia menyediakan satu asas permintaan dan pasaran bagi keluaran industri tempatan, mewujudkan persaingan dalam pasaran dan meninggikan daya serta mutu pengeluaran eksport bagi meningkatkan ekonomi dan sosial sesebuah negara.

Jumlah penduduk ketika ini 33.4 juta berbanding 32.7 juta pada 2022 dengan pertumbuhan kecil 0.7 peratus disebabkan peningkatan bilangan bukan warganegara daripada 2.5 juta (2022) kepada 3.0 juta (2023).

Penduduk warganegara ha­nya meningkat daripada 30.2 juta pada 2022 kepada 30.4 juta pada 2023.

Kadar kesuburan (TFR) di negara ini pula menurun di bawah paras 2.0 anak bagi setiap perempuan berumur 15 hingga 49 tahun dalam tempoh lapan tahun sejak 2016, dengan kadar terbaharu 1.6 iaitu terendah sejak lima dekad yang lalu, apabila 4.9 anak bagi setiap perempuan direkodkan pada 1970.

Malah, bilangan warga emas ketika ini 3.6 juta orang mewa­kili 11 peratus keseluruhan penduduk, meningkat kepada 7.3 peratus pada 2022 berbanding 7.0 peratus (2021) dan dijangka mencapai kira-kira 15.3 peratus penduduk berusia melebihi 60 tahun pada 2030.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Prof. Madya Dr. Halimatus Sakdiah Minhat berkata, peningkatan kos sara hidup antara penyumbang penurunan populasi di negara ini.

Katanya, ia juga dipengaruhi oleh peningkatan peluang pendidikan kepada wanita, urbani­sasi, peningkatan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan dan kerjaya yang stabil.

“Jadi, strategi yang perlu dipertimbangkan adalah menawarkan insentif lebih berpatutan dan boleh diakses oleh keluarga muda seperti bantuan pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan untuk keluarga besar.

“Kurangkan tekanan ekonomi dengan tangani isu se­perti hutang pinjaman pelajar, kos penjagaan kesihatan dan ketidakstabilan pekerjaan. Te­kanan ekonomi boleh menyebabkan penangguhan atau melepaskan hasrat menjadi ibu bapa,” kata­nya ketika dihubungi.

Selain itu, katanya, faktor utama kepada penurunan kadar kesuburan dan kelahiran adalah akses kepada perancangan keluarga dan ia memberi implikasi kepada peningkatan nisbah warga emas kepada golongan bekerja, impak ekonomi dan sosial ekoran peningkatan kos terutamanya dalam kesihatan.

“Antara perkara yang dilaksanakan di negara maju adalah polisi mesra keluarga seperti cuti ibu bapa bergaji, penjagaan anak bersubsidi, pengaturan kerja fleksibel, insentif kewangan, pelepasan cukai atau bayaran tunai kepada keluarga kerana mempunyai anak.

“Ini termasuk akses perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti termasuk penjagaan pranatal dan selepas bersalin, rawatan kemandulan, sokongan untuk kehamilan berisiko tinggi serta menggalakkan kesaksamaan jantina di tempat kerja dan rumah serta memperkenalkan cuti untuk datuk dan nenek apabila anak bersalin atau mendapat cucu,” katanya.

Dalam pada itu, pakar sakit tuan, Dr. Ismail Tambi berkata, keadaan ekonomi yang semakin menekan menjadikan ramai pasangan yang berkahwin merancang waktu yang difikirkan sesuai untuk mempunyai anak.

“Kita sendiri sedar, nak ada anak memang makan kos. Kos nak bersalin, susu, lampin dan pengasuh. Ini kita belum sentuh lagi bab pendidikan.

“Terdapat juga kajian yang membuktikan virus Covid-19 menyebabkan kematian sel kerosakan pada sperma untuk lelaki manakala bagi wanita pula, virus ini menyerang kilang telur. Banyak juga yang saya terima daripada pesakit, mereka mengadu jadi cepat penat dan tidak bertenaga untuk ‘bersama’ walaupun sudah sembuh daripada Covid-19,” katanya.

Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Sanggang, Temerloh, Pahang, Dr. Muhammad Aliff Md. Zaki menyifatkan, tabiat merokok juga antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar kesuburan rakyat Malaysia menjadi semakin rendah.

Katanya, tabiat kuat merokok terutama kepada lelaki boleh mengganggu penghasilan sperma yang berkualiti.

“Kalau bercakap mengenai kesuburan, ramai yang akan menyalahkan wanita, tapi bila pergi buat pemeriksaan di klinik atau hospital, rupanya-rupanya si suami, banyak bentuk pelik-pelik sperma ini disebabkan rokok.

“Banyak program untuk berhenti merokok di klinik kesihatan yang perokok boleh rujuk untuk dapatkan khidmat nasihat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×