PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang terkandas di Semenanjung Gaza, Nurul Ain Haron melahirkan kekesalannya terhadap sikap tidak sensitif segelintir individu yang menghubunginya semata-mata mahu mendengar bedilan bom rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Ain, 37, kecewa dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang langsung tidak sensitif terhadap nasib penduduk Gaza yang hampir setiap minit ‘dihujani’ bedilan bom sekali gus meletakkan nyawa mereka ‘bagai di hujung tanduk’ setiap hari.
Dalam nada sebak, beliau berkata, perkara tersebut tidak boleh dibuat main kerana pada bila-bila masa, bedilan bom itu boleh meragut nyawa penduduk Gaza.
“Saya tak minta banyak, tapi tolonglah sensitif sikit dengan perkara ini (serangan rejim Zionis), ini bukan perkara main-main. Ada yang telefon sebab mahu dengar (bunyi) bom. Adakah itu doa untuk kami dibom?
“Astaghfirullahalazim, nikmatilah tidur yang lena, keadaan yang tenang bukannya telefon untuk minta dengar bom. Kamu tak rasa apa yang kami rasa… kami hadap, bersyukurlah negara kita masih aman,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Kata Nurul Ain, keadaan di Semenanjung Gaza makin tegang kerana rejim Zionis tidak pernah henti melakukan serangan roket setiap masa.
“Saya tak faham dengan orang macam ini, bukan semua, tapi segelintir… tolonglah sensitif sikit. Keadaan di sini sangat tegang.
“Tadi pun (semalam) nak keluar beli barang bantuan ada (bedilan) bom di kawasan berhampiran. Jadi, saya dan suami terpaksa patah balik ke rumah. Nak keluar agihkan bantuan pun takut-takut,” katanya.
Bagaimanapun, Nurul Ain berkata, dia dan suaminya mengambil keputusan keluar juga menyampaikan bantuan apabila abang iparnya memaklumkan terdapat beberapa keluarga di sekitar kediaman mereka di Khan Younis sudah terputus bekalan makanan.
Nurul Ain yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur berkahwin dengan rakyat Palestin iaitu Mohamed Adan Shaat, 33, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya yang sudah sembilan tahun tidak pulang bertemu keluarga.
Ini juga adalah kali pertama Nurul Ain bersua muka dengan keluarga mentuanya selepas enam tahun melangsungkan pernikahan memandangkan pergerakan untuk keluar masuk ke Gaza bukanlah suatu yang mudah termasuklah kepada rakyat Palestin sendiri.
Kedua-dua pasangan yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadualkan meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya, namun, mereka kini terkandas di Khan Younis susulan peperangan antara pejuang Hamas dengan tentera zionis. – UTUSAN










