Syarikat bumiputera tidak akan dibiar rugi - Utusan Malaysia

Syarikat bumiputera tidak akan dibiar rugi

Anwar Ibrahim melancarkan Unit Tambahan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di Connexion Conference and Event Centre di ibu negara semalam. – utusan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan membiarkan pengulangan tabiat merugikan dalam mana-mana agensi atau syarikat khususnya membabitkan pegangan bumiputera seperti yang berlaku sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak pengurusan harus bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam mana-mana organisasi tersebut.

Menurut beliau, tindakan ke­ras akan dikenakan terhadap pengurusan kerana pihak-pihak tersebut disifatkan sebagai mengkhianati amanah yang sangat diharapkan oleh golo­ngan bumiputera.

“Sebelum ini saya tekankan bahawa kerajaan tidak boleh mengizinkan pengulangan ta­biat yang merugikan. Kita membentuk agensi atau syarikat bumiputera yang penting kadangkala ada berita baik, diurus dengan baik dan kalau lihat dalam kerangka dasar ekonomi baharu dari segi mobiliti sosial anak-anak yang tidak mempunyai peluang dapat meningkat menjadi golongan profesional yang membanggakan.

“Tetapi dari sudut pengurusan perniagaan haruslah ada anjakan, satu pihak kita berikan kesempatan hanya kepada beberapa orang terpilih memperkayakan mereka tapi tidak ada agenda khas mereka mengagihkan kekayaan itu kepada syarikat bumiputera lain.

MERUGIKAN

“Satu pihak lain pengurusan amat bobrok (korup) sehingga merosak dan merugikan. Pengalaman ini menyakitkan,” kata beliau pada Majlis Pelancaran Unit Tambahan Skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) di sini semalam

Anwar berkata, Felda antara syarikat yang memerlukan suntikan kerajaan sehingga melibatkan RM8.3 bilion kerana pengurusannya leceh dan tatakelola yang lemah.

“Paling terakhir kita ada lagi melibatkan syarikat yang memerlukan suntikan RM2.7 bilion sehingga RM23 bilion daripada kerajaan untuk menyelamatkan daripada terlepas dari tangan bumiputera.

“Sebelumnya kita dengar Tabung Haji walaupun pengurusan sekarang lebih baik tetapi masih tertanggung kerana semua aset rugi terpaksa ditubuh SPV (Syarikat Bertujuan Khas) untuk dipindahkan sementara ke Kementerian Kewangan,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, perkara seumpama itu tidak boleh diizinkan berterusan malah pengurusannya harus bertanggungjawab sepenuhnya jika berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dengan tindakan keras akan diambil terhadap mereka.

“Justeru hari ini saya ingin menyatakan penghargaan kerana sekurang-kurangnya satu badan di antara lain termasuk PNB (Permodalan Nasional Berhad) dan beberapa lain lagi tetapi yang membanggakan kita.

“Tidak semua pengurusan atau profesional yang diamanahkan untuk menjaga kepentingan bumiputera itu mencatat rekod yang menghiraukan. Di dalam kes ini saya ucap tahniah kepada pengurusan PHB (Pelaburan Hartanah Berhad) kerana dapat pertahankan bukan sahaja keberuntungan tetapi pengurusan yang dapat dibanggakan,” katanya.

KEUTAMAAN

Oleh itu, kata Anwar, nilai dan integriti adalah keutamaan untuk semua pihak yang terbabit kerana apabila diberi amanah, ia perlu dilaksanakan dengan baik.

Menurut beliau, tahap kecekapan yang hebat dan cemerlang perlu dilihat dalam semua agensi kerajaan terutamanya yang berkaitan menjaga amanah bumiputera.

“Di luar sana, konflik dan naratif tentang bumiputera. Ada disenangi dan ada yang tidak disenangi serta menjadi bahan kempen seolah-olah ini usaha menyelamatkan kepentingan Melayu.

“Namun seringkali mereka yang membicarakan soal kepen­tingan dan menyelamatkan Melayu ini adalah orang yang paling khianat, merosakkan serta mengambil keuntungan besar. Sebab itu daripada anjakan dasar, kita tegas dan keras dalam soal ini,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Anwar melancarkan penambahan RM1 bilion unit AHB untuk ditawarkan bagi langganan umum.

AHB merupakan sebuah unit amanah patuh syariah berlandaskan hartanah yang pertama di Malaysia.
Unit itu disokong dengan hartanah-hatanah komersial utama yang disewakan dan menikmati aliran pendapatan sewaan secara tetap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×