GAGASAN Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu platform menjadikan Malaysia sebuah negara membangun, sejahtera, berdaya saing serta harmoni dengan rakyat berbilang kaum dan agama.
Hari ini, ketika kita sedang menuju ke arah status negara maju, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan bangsa tanpa meninggalkan nilai dan kemanusiaan.
Ke arah itu, penanda aras keenam dalam Ekonomi Madani ditujukan untuk memperkasakan Malaysia pada kedudukan ke-25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) dalam tempoh 10 tahun akan datang dan pemerkasaan usaha membanteras rasuah ini dilihat seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-16, iaitu mewujudkan masyarakat aman dan inklusif demi pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina institusi berkesan, bertanggungjawab dan inklusif pada semua peringkat.
Yang pasti, usaha meningkatkan CPI negara bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata kerana semua pihak harus mengambil peranan masing-masing untuk meningkatkan imej serta persepsi dalam dan luar ke atas negara terutama aspek berkaitan integriti, tata kelola dan pencegahan rasuah.
Matlamat tersebut mungkin dilihat sukar oleh sesetengah pihak, namun tidak mustahil untuk dicapai. Ia pasti dapat direalisasikan sekiranya usaha bersepadu, terancang, bersungguh-sungguh dan berterusan dilaksanakan oleh semua pihak sama ada di peringkat perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun masyarakat umum melalui pembudayaan integriti dan pengukuhan tata kelola yang baik dalam semua urusan.
Di samping langkah-langkah pentadbiran serta kempen-kempen pencegahan terus dilaksanakan, inisiatif berbentuk reformasi undang-undang juga hendaklah diperkasakan bagi memastikan jenayah rasuah terhapus sehingga ke akar umbi dan tidak menjadi amalan atau budaya dalam kehidupan.
Misalnya, pengenalan peruntukan liabiliti korporat dalam Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, iaitu kesalahan oleh organisasi komersial merupakan satu penambahbaikan bagi mengekang jenayah di sektor swasta.
Peruntukan tersebut mula berkuat kuasa 1 Jun 2020. SPRM dilihat tidak berhenti setakat itu sahaja. Terdapat usaha terbaharu untuk memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah di sektor tersebut dengan memperkenalkan Perjanjian Penangguhan Pendakwaan yang banyak digunakan oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.
Umum mengetahui, SPRM menggunakan pendekatan serampang tiga mata dalam membanteras jenayah rasuah, iaitu melalui tindakan operasi, pencegahan dan pendidikan antirasuah. Namun, satu peranan penting yang jarang diketahui oleh masyarakat adalah aspek pengurusan dan penggalakan integriti sama ada di sektor awam atau swasta. Aspek ini merupakan salah satu matlamat utama terkandung dalam Akta SPRM 2009.
CEIO
Peranan pengurusan integriti tersebut dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) yang merupakan antara bahagian baharu dalam SPRM. Ditubuhkan pada 1 Jun 2013, BPIA berperanan memperkukuhkan institusi dan menggalakkan pembudayaan integriti khususnya di perkhidmatan awam dan GLC.
Peranan ini diperincikan melalui pengenalan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (2022) Ceraian S.P. 1.2.1 berhubung Penubuhan Unit Integriti (UI) di semua agensi awam dan Arahan Perdana Menteri No. 1 Tahun 2018 Siri 1 Bil. 1 mengenai penubuhan Unit Integriti dan Governans (IGU) GLC, syarikat-syarikat yang dimiliki oleh kementerian dan agensi kerajaan termasuk di bawah kerajaan negeri.
Sehingga 31 Ogos lalu, rekod BPIA menunjukkan sejumlah 522 agensi awam menubuhkan UI masing-masing manakala 632 IGU di peringkat GLC. Bagi agensi awam dan GLC yang tidak berupaya menubuhkan UI atau IGU disebabkan kekangan perjawatan, saiz organisasi kecil atau penubuhan UI atau IGU di organisasi induk sahaja, majoriti dalam kalangan mereka melantik Pegawai Perhubungan Integriti yang melaksanakan sebahagian daripada fungsi teras ditetapkan.
Pada masa sama, BPIA turut bertanggungjawab menguruskan penempatan pegawai kanan SPRM yang berwibawa sebagai Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di UI dan IGU organisasi luar yang berperanan membantu pelaksanaan dan pengurusan fungsi terasnya dengan lancar dan teratur serta dalam masa sama bertindak sebagai pegawai agensi penguatkuasaan bagi memberi perlindungan selaras Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Penempatan mereka yang terlatih ini secara langsung dapat membantu organisasi berkaitan untuk mencegah rasuah, salah laku dan penyelewengan dengan lebih baik dan berkesan di samping memantapkan pengurusan integriti serta tata kelola di organisasi terbabit.
Sehingga 2 Oktober lalu, seramai 77 pegawai SPRM ditempatkan secara kader dan pinjaman di organisasi luar. Daripada jumlah tersebut, 36 pegawai SPRM ditempatkan di kementerian, 27 di jabatan, satu di pihak berkuasa tempatan (PBT), lima di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), satu di badan berkanun manakala tujuh lagi di GLC.
Namun, penubuhannya semata-mata tidak akan memberikan impak jangka panjang yang dihasratkan dalam membangunkan Malaysia Madani tanpa komitmen kepimpinan berterusan. Pihak terbabit perlu bekerjasama dengan SPRM melaksanakan inisiatif pencegahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di organisasi masing-masing.
Salah satu contoh komitmen kepimpinan yang dapat dilihat adalah penganjuran Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 oleh kerajaan negeri Sabah dengan kerjasama SPRM bermula 16 hingga 18 Oktober ini. Penganjuran KITA dihasratkan untuk menjadi agenda tahunan yang diharap menjadi kebanggaan dan sumbangan Sabah dalam memperkasa agenda integriti dalam kalangan penjawat awam serta swasta.
Konvensyen yang julung-julung kali diadakan melibatkan UI ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila sesi perkongsian ilmu berkaitan aktiviti pencegahan rasuah termasuk segala bentuk penyampaian maklumat berkaitan rasuah serta integriti memberi manfaat kepada semua kumpulan sasaran yang terdiri daripada penjawat awam. – UTUSAN
Datuk Nor Azmi Karim ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










