Pangkalan data beras mampu kesan bekalan ‘hilang’?

Pangkalan data beras mampu kesan bekalan ‘hilang’?

PENGALAMAN kekurangan beras tempatan baru-baru ini boleh dijadikan suatu gerakan baharu mencari penyelesaian melalui kerjasama pelbagai pihak. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, ada perbincangan tentang kembalikan semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia. Apa ada pada nama? Yang penting adalah program pendidikan tinggi berkaitan pertanian boleh didapati di UPM.

Nama Universiti Pertanian Malaysia ditukar kepada Universiti Putra Malaysia pada 1997 ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Semasa itu Malaysia sedang bergerak ke arah negara maju melalui Wawasan 2020 dengan mengembangkan teknologi maklumat serta sains dan teknologi.

Kalau dikaji, sejarah UPM bermula daripada Sekolah Pertanian pada 1931 dan dinaik taraf kepada Kolej Pertanian (1947) sebelum menjadi sebuah universiti popular dalam bidang pertanian. Bidang pertanian terus berkembang dan UPM melangkah maju menggemblengkan semua fakulti yang ada bagi menampakkan pertanian tidak sahaja melihat kepada tanah, air dan tumbuhan tetapi melibatkan kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, kesihatan, alam sekitar serta teknologi maklumat di samping pendidikan pertanian. Perkembangan ini terpaksa dilakukan demi menghadapi persaingan dunia dalam bidang pertanian, makanan dan alam sekitar yang berkait rapat.

UPM terus berkembang dalam bidang pertanian melibatkan hampir semua fakulti menyumbang kepada fokus utamanya daripada sawah padi, kejuruteraan, komputer sains dan teknologi maklumat, sains dan teknologi makanan, kesihatan dan lain-lain. Malah UPM menyediakan program asas, separa ikhtisas dan peringkat tinggi bagi menyediakan graduan dalam pertanian bermula daripada program matrikulasi/asasi pertanian, diploma pertanian, diploma perikanan dan beberapa lagi program berkaitan di UPM Kampus Bintulu.

Graduan UPM dari pelbagai bidang dalam rantaian tenaga sumber manusia berkaitan pertanian dihasilkan. Graduan boleh menyumbang dalam pelbagai bidang pertanian dan makanan daripada ladang hinggalah makanan berkualiti dan sihat.

Bagi memahami lebih mendalam tentang program berkaitan pertanian yang ditawarkan oleh UPM, bolehlah lawati laman sesawang UPM.

Pertanian adalah satu bidang yang penting dan diperlukan sepanjang zaman demi keterjaminan makanan, kesihatan dan kesejahteraan kehidupan manusia. Fahaman tentang pertanian mestilah disesuaikan dengan zaman, teknologi, keluasan tanah, cabaran sumber manusia dan gaya hidup masa hadapan. Perkembangan bidang pertanian di UPM seharusnya disambut oleh institusi penyelidikan, pengurusan dan pelaksanaan dalam ladang dan industri berkaitan makanan.

Kerjasama antara agensi pertanian memang sudah ada sejak lama dahulu dan sentiasa berhubungan antara satu dengan lain melalui kerjasama penyelidikan, latihan industri dan pengembangan secara langsung atau melalui seminar atau persidangan di mana mereka boleh berkongsi pengalaman. Graduan UPM yang berada di agensi pertanian seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan juga sentiasa berhubung dengan UPM melalui pelbagai media dan kaedah.

SDG

MADA pernah melaksanakan tanaman padi lima musim dalam dua tahun dengan teknologi lama. Mungkin dengan dasar dan teknologi baharu, pelaksanaan lima musim padi dalam dua tahun boleh dilakukan untuk hasil yang lebih baik. Kajian di institusi penyelidikan berkaitan padi dan beras di negara ini tentu sudah ada benih padi baik, baja sesuai dengan keadaan tanah tempatan dan pengurusan air yang baik. Hasil kajian ini mesti ditengahkan secara jujur dan bangga akan produk tempatan.

Di negara maju, kerjasama antara industri dan universiti sangat rapat melibatkan dana besar dan kurang bergantung kepada kerajaan. Kemajuan teknologi akan lebih cepat apabila pihak industri terus bekerjasama dengan universiti untuk jangka panjang. Kalau lihat kepada perkara baharu seperti Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 misalnya, di negara maju banyak perkara berlaku kerjasama antara industri dan universiti dalam menjayakan secara efektif dan bersepadu SDG 1-17 yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sejauh mana kerajaan terkejut tentang bekalan beras baru-baru ini mungkin boleh diselidik dengan terperinci. Kenapa dikatakan negara tidak cukup beras dan dengan cepat nampak ada penyelesaian. Mungkin sistem pengurusan data beras negara tidak mantap? Satu sistem yang mantap mesti diadakan agar mudah tindakan diambil sekiranya berlaku krisis makanan.

Apa yang perlu ialah penyelarasan di peringkat sesuai bagi memahami keperluan untuk dirujuk atau mendapatkan maklumat tepat. Satu sistem pengurusan maklumat atau data mesti lebih cekap tentang sumber kepakaran dan isu sedang atau akan dihadapi. Banyak masalah berlaku disebabkan tidak diselaraskan dengan baik dan tidak mempunyai sistem pengurusan maklumat terkini dan cekap.

Pengalaman kekurangan beras tempatan baru-baru ini boleh dijadikan suatu gerakan baharu mencari penyelesaian melalui kerjasama agensi kerajaan, institusi penyelidikan, universiti dan pihak industri. Pakar semua bidang berkaitan boleh digerakkan untuk membina satu sistem yang mudah dirujuk dalam menguruskan krisis jika berlaku. UPM masih relevan dalam pertanian. – UTUSAN

PROFESOR DR. AHMAD ISMAIL ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×