Bonny tak pilih tugas - Utusan Malaysia

Bonny tak pilih tugas

Bonny MARTIN (duduk depan, tiga dari kanan) bersama semua anggota bomba selepas selesai melakukan latihan kawad di Balai Sungai Pinang, Jalan Kapar, Kelang di Selangor.– UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA memilih karier sebagai anggota bomba, dia bertekad melakukan tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya tanpa memilih tugasan.

Bagi Ketua Balai Bomba Sungai Pinang di Jalan Kapar, Kelang, Bonny Martin Saging Mato, setiap panggilan telefon yang diterima adalah tugasan penting dan perlu bersungguh-sungguh dalam melakukannya.

Menceritakan lanjut, beliau yang berusia 41 tahun berkata, antara tugasan pertama dan paling diingati ialah mengutip cebisan otak mangsa kemalangan jalan raya ketika bertugas di Balai Bomba Jinjang lapan tahun lalu.

“Kemalangan tersebut melibatkan kereta jenis sedan melanggar seorang lelaki yang cuba melintas jalan di ibu kota. Ketika itu, ketua operasi kes tersebut meminta saya memeriksa keadaan mangsa yang tersangkut di tayar hadapan sebelah kanan kereta itu.

“Apabila pemeriksaan dibuat, saya dapati bahagian atas kepalanya sudah koyak dan terdapat beberapa cebisan otaknya bergelimpangan di atas jalan.

“Selepas selesai siasatan, saya bersama beberapa anggota lain diminta untuk mengutip sisa otak yang bergelimpangan beberapa meter di atas jalan untuk tujuan pembersihan jalan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Bonny Martin berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah ketika mengetuai operasi banjir besar di Limbang pada 2015.

Menurutnya, ketika itu dia bertugas di Balai Bomba Zon Limbang dan memangku jawatan Ketua Zon Limbang selain menjawat jawatan pegawai penyiasat zon sama.

“Semasa bencana berlaku, saya bersama lebih 20 anggota Balai Bomba Limbang bertungkus lumus memindahkan ramai penduduk terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kami bersiap siaga 24 jam dan semua anggota termasuk saya tidak dibenarkan bercuti,” kata bapa kepada lima cahaya mata itu.

 

BONNY MARTIN SAGING MATO

Malah, katanya, paling diingati katanya, ketika operasi menyelamat, terdapat dua pesakit kronik, termasuk bayi berusia 11 bulan yang memerlukan rawatan segera di Hospital Limbang.

Namun, beberapa jalan daripada tempat mereka di Limbang ke hospital berkenaan terputus akibat aras air naik tinggi.

“Bot bomba tidak dapat melalui kawasan ini dan saya mengambil keputusan mengharungi banjir dengan beberapa anggota mendukung dua pesakit terbabit.

“Memang tidak dinafikan risiko tinggi yang diambil tetapi demi menyelamatkan mereka, kami sanggup ambil risiko ini. Kami mengharungi banjir kira-kira tujuh kilometer sebelum sampai ke ambulans, di Jalan Kerubong, Limbang yang akan membawa mangsa ke hospital berkenaan,” ujarnya.

PENGALAMAN GURU TERBAIK

Dengan pelbagai pengalaman yang diperolehinya, Bonny Martin menganggap semua itu sebagai gurunya bagi menghadapi apa-apa situasi.

Menurutnya, pekerjaan bomba bukan sekadar tugas memadamkan kebakaran atau menyelamat manusia serta haiwan.

“Malah, anggota bomba perlu berhadapan dengan pelbagai kes sekiranya khidmatnya diperlukan.

“Perasaan cekal perlu ada pada setiap anggota bagi memastikan segala tugasan yang diberikan dapat dilaksana sebaik mungkin,” ujarnya.

Justeru, dia sentiasa menguatkan semangat, meskipun terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang tinggal di Papar, Sabah.

“Saya jumpa keluarga sekali sahaja tahun lalu dan itu pun hanya lima hari, berbanding dua minggu sebelum ini.

“Namun, saya sentiasa hubungi keluarga kerana mereka adalah penguat semangat untuk terus berjuang setiap hari,” ujarnya.

 

Bonny Martin menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid pada 2019.

Mengulas lanjut, selama dua tahun menjadi ketua balai tersebut, insiden tragis antaranya tidak sempat menyelamatkan seorang wanita warga emas maut dalam kebakaran rumah di Rantau Panjang, Klang pada 2019.

Dia berkata, kelewatan jiran mangsa membuat panggilan kecemasan kepada bomba menyebabkan anggotanya tidak sempat menyelamatkan mangsa.

“Jiran mangsa mengaku lambat membuat panggilan kerana semasa kejadian, dia sedang tidur dan terjaga beberapa minit selepas kebakaran berlaku.

“Apabila pihak bomba sampai ke tempat kejadian kira-kira pukul 4 pagi, mangsa sudah rentung di dalam api yang marak membakar rumahnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×