JANGAN marah-marah, kawal sedikit emosi.
Kata-kata atau nasihat itu barangkali boleh digunapakai jika amarah yang disalurkan tidak kena pada tempatnya.
Tetapi, jika kelakuan seseorang itu sudah dikira melampaui batasan, apalagi ia membabitkan figura seorang ibu, maka sesuatu perlu dilakukan demi mempertahankan maruah keluarga.
Terserlah sisi protektifnya terhadap orang yang disayangi, Bunga Isme terpaksa mengetepikan nilai profesionalisme sebagai seorang artis,memperjudikan sisi manisnya sebagai gadis yang tidak pernah mencipta kontroversi sebelum ini.
“Mungkin saya juga ada salahnya kerana terlalu mengikut perasaan dan emosi marah. Tetapi dari satu sudut, siapalah yang suka apabila ada orang bersikap biadab terhadap ibu kita?
“Kalau nak kecam atau lemparkan kata-kata negatif, biarlah pada saya seorang. Tak apa, tidak kisah sebab saya tahu itu semua lumrah hidup dunia hiburan.
“Tetapi bila ada yang biadab dengan ibu yang sedang cuba mempertahankan anaknya ini daripada serangan warganet atas isu yang bukan sengaja dibuat, ia menjadikan saya amat marah dan sedih,” katanya.
Begitu sekali luahan penyanyi rap berusia 21 tahun ini terhadap isu ibunya, Siti Rohani Awang, 65, yang baru-baru ini menjadi bahan cemuhan orang berakal cetek hanya gara-gara dia mempertahankan maruah anaknya daripada dipermainkan ramai.
Mengaku bukan sengaja mahu menarik perhatian ramai dengan sifat amarah yang ditonjolkan, sebaliknya kata Bunga, dia cuma berang dengan sikap segelintir pengguna media sosial yang alpa dengan frasa beradab itu sendiri.
“Tiada gunanya kalau kita mahu memberi pengajaran kepada mereka yang tiada adab dengan cara yang juga tidak beradab. Ia tidak akan memberikan kesan.
“Itu sebab kita kena bagi orang-orang seperti ini sedikit pengajaran.
“Tak ada niat untuk membuatkan orang lain turut sama menghentam sama mereka yang macam ini, tetapi sebaliknya saya harap semua pihak dapat ambil apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran. Kita semua mampu menjadi lebih baik daripada ini,” katanya.
Buli siber tak okey
Melahirkan pandangan mengenai sikap segelintir pengguna media sosial yang tidak cakna dan beretika ketika menggunakan platform ini di dunia maya, penyanyi ini hairan mengapa ada yang tegar bersikap biadab terhadap orang tua.
“Sebagai seorang ibu, mestilah dia tidak suka orang bercakap buruk tentang anaknya dan tidak ada salahnya jika ibu saya menegur tindakan segelintir warganet dalam ruangan komen tempohari.
Malah pertanyaan itu juga bukan dalam ayat yang kasar.
“Secara peribadi, saya pun ada tegur ibu supaya tidak perlu melayan komen warganet itu. Tetapi dia tidak dapat menghalang dirinya daripada bersikap protektif terhadap anaknya. Iyalah, berbalik kepada faktor nalurinya sebagai seorang ibu,” katanya.
Menurut Bunga, seharusnya setiap pengguna media sosial belajar menghormati sesiapa sahaja ketika sedang berinteraksi dan jangan bertanggungjawab dengan setiap butir kata yang dilemparkan supaya tidak terjebak dengan sengketa.
“Cuba bayangkan nanti kita sudah tua dan anak atau generasi selepas kita pula berkelakuan biadab begitu? Entah-entah kalau anak kita terbaca atau tengok kelakuan kita sebegitu pun berasa malu.
“Kita jangan menormalisasikan perbuatan buli siber atau body shamming ini sebagai satu budaya atau trend semasa. Kalau salah, ia tetap salah. Sebab itu teguran itu perlu.
“Paling utama, seseorang itu harus tahu di mana tempatnya untuk dia perlu bersuara. Bukan sewenangnya,” katanya.










