DIGITAL Nasional Berhad (DNB) ialah syarikat bertujuan khas (SPV) dimiliki Kementerian Kewangan dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. DNB ditubuhkan pada awal Mac 2021 untuk memacu pembangunan infrastruktur 5G di negara ini. Ia menawarkan 5G sebagai perkhidmatan rangkaian borong kepada syarikat telekomunikasi lain.
Kerajaan melantik Ericsson sebagai penyedia peralatan rangkaian tunggal dengan kos RM4 bilion serta membina infrastruktur dianggarkan RM11 bilion. DNB juga merancang menggunakan 5G di bandar dan daerah utama di Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Sabah pada 2022 dengan matlamat mencapai 80 peratus liputan penduduk di seluruh negara menjelang 2024.
Langkah kerajaan untuk beralih daripada dasar rangkaian borong tunggal (SWN) kepada dwirangkaian (DWN) menimbulkan keraguan dan dikritik hebat, lebih-lebih lagi apabila hampir kesemua syarikat pengendali telekomunikasi (MNO) negara telah memberi komitmen untuk turut serta dalam pemilikan ekuiti DNB.
Sejak pengumuman awal pada 7 Disember 2022, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dilihat sering flip-flop dan berdolak-dalik mengenai pelaksanaan 5G.
Terpampang dalam media pada 16 April lalu, kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bahawa hanya DNB akan melaksanakan 5G tetapi apa yang dibincangkan ialah keperluan untuk DNB diuruskan dengan lebih telus dan terangkum supaya mencapai penyertaan penuh oleh MNO.
Namun pada 3 Mei, Fahmi mengumumkan pula kerajaan akan memperkenalkan rangkaian kedua 5G melalui satu entiti baharu diwujudkan menggunakan model DWN. Dan dalam Sidang Kemuncak Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Malaysia 2023 yang ditaja oleh Huawei pada 27 September, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri berkata, peralihan ke dasar DWN bertujuan memberikan peluang kepada Huawei melibatkan diri dengan lebih efektif serta untuk mengimbangkan teknologi Barat dan Timur.
Begitupun, sekiranya DNB merupakan satu monopoli keuntungan dan kerajaan sebagai pemiliknya mendapat segala keuntungan, maka apa rasionalnya pelaksanaan rangkaian kedua dibuat dan mengapa Huawei yang mendapat manfaat secara terus daripadanya? Dakwaan DNB telah dibentuk bagi monopoli keuntungan juga tidak benar kerana pemilik syarikat DNB adalah kerajaan serta MNO. Tujuan asal DNB diwujudkan pun bagi memastikan kadar internet 5G lebih berpatutan dan mampu milik serta pelaksanaan 5G yang lebih menyeluruh termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
KOMENTAR LEMAH
Dr. Ong Kian Ming (bekas ahli Parlimen) dalam satu kenyataan pada 9 Oktober berkata, siasatan penuh mengenai tata kelola kontrak rangkaian 5G sedia ada yang diberikan kepada Ericsson melalui DNB mendapati kontrak itu diberikan secara telus melalui proses pembidaan kompetitif. Tetapi sebaliknya pemberian kontrak rangkaian 5G kedua secara rundingan terus kepada Huawei akan menyebabkan reputasi kerajaan tercalar.
Kenyataan Kian Ming ini dijawab oleh komentar lemah Fahmi bahawa kenyataan Anwar mengenai Huawei akan memecahkan monopoli DNB terhadap rangkaian 5G hanya dalam konteks majlis penutup Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023. Fahmi tidak menafikan Huawei akan diberikan kontrak itu tetapi hanya menyatakan jika ada mana-mana pihak mahu membuat bidaan, KKD tiada masalah untuk memberi ruang.
Apatah lagi bila semalam Anwar sendiri dilapor menyebut dalam majalah Time, “The government had chosen Huawei.” Keputusan berkenaan pelaksanaan model dwirangkaian 5G perlu disemak semula kerana ia akan meningkatkan kos kepada pengguna. DNB telah mengumumkan bahawa dengan model pemborong tunggal 5G, MNO akan dicaj sehingga RM30,000 per GBps (Gigabait per saat) setiap bulan, bersamaan 13 sen per GB bagi kadar sewaan 5G. Sekiranya mengandaikan kadar langganan bulanan sebanyak 1,000 GBps, MNO akan menanggung kos sehingga RM360 juta setahun bagi menawarkan perkhidmatan 5G kepada pengguna.
Bagaimanapun, sebuah firma perunding telekomunikasi di United Kingdom, Plum, turut mengingatkan bahawa pelaksanaan 5G melalui pelbagai rangkaian akan memerlukan lebih banyak stesen pangkalan 5G sehingga enam kali ganda daripada model pemborong tunggal. Ini bermakna kos kepada pengguna dianggarkan dapat dijimatkan sehingga 60 peratus lebih rendah.
Model dwirangkaian dipacu MNO akan turut menimbulkan situasi duopoli yang hanya akan menguntungkan kedua-dua entiti 5G dan rakyat terpaksa menanggung kos lebih tinggi.
Setakat 31 Ogos lalu, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk di negara ini mencecah 68.8 peratus dan dijangka mencapai 80 peratus menjelang hujung tahun ini, paling lewat mungkin Januari (tahun hadapan) jika semua berjalan lancar. Oleh itu, keputusan kerajaan untuk beralih kepada model dwirangkaian mengundang kemusykilan pelbagai pihak.
Seperti disebut oleh Kian Ming, tiada kes kuat untuk rangkaian kedua 5G kerana DNB telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik di mana syarikat analitik mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu negara mempunyai kelajuan 5G terpantas di dunia. Tanya beliau, “If both the speed and coverage of the existing 5G network are more than sufficient, is there a need then for a second network?”
Banyak maklumat berlegar bahawa kerajaan akan tetap menganugerahkan kontrak rangkaian 5G kedua kepada Huawei. Keputusan ini jika tetap berlaku di sebalik kewujudan banyak amaran termasuk dari Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat mengenai risiko penyertaan Huawei terhadap keselamatan negara dan pelaburan asing menyebabkan data-data sensitif dalam negara terdedah dan menjejaskan hubungan strategik sedia ada dengan rakan sekutu lain, menimbulkan keraguan, apakah ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya?
Perubahan dasar secara flip-flop tidak bagus kerana ia akan menjadikan pelabur asing kurang berminat dengan dasar ekonomi dan kestabilan perniagaan di negara ini. Sekiranya tidak dikawal dan diurus dengan betul, DNB akan dilihat sebagai pembaziran dana rakyat berjumlah RM16 bilion di mana hutangnya terpaksa ditanggung oleh rakyat sendiri. Malah, DNB berpotensi menjadi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekiranya ia tidak diurus menggunakan tata kelola baik. – UTUSAN
PENULIS ialah seorang pembangun perisian bebas.










