KLANG: Timbunan sampah haram sisa industri masih belum dipindah menyebabkan lebih 300,000 penduduk di sekitar Kapar, Meru dan Jeram berdepan ancaman terhidu gas bahan kimia berbahaya.
Lebih buruk, kebakaran berlaku hampir setiap hari dipercayai dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mencari besi buruk di sebalik timbunannya yang terdiri daripada plastik, tembaga dan pelbagai sisa lain.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk di Kampung Sungai Serdang, Rohkim @ Rahim Iska, sisa industri yang dibuang secara haram itu akan terus dibakar oleh pencari-pencari besi buruk selagi ia tidak dipindahkan.
Katanya, banyak laporan sudah dibuat kepada pelbagai jabatan dan agensi pihak berkuasa, namun tiada tindakan susulan diambil sehinggalah ia berterusan terbakar dan mengeluarkan gas berbahaya.
“Saya yakin, kebakaran tersebut sebahagian kecil sahaja berpunca daripada cuaca panas selebihnya yang berlaku setiap hari adalah disebabkan oleh terdapat pencerobohan daripada individu yang tidak bertanggungjawab.
“Malah, saya sendiri nampak mereka lari lintang pukang ketika saya datang ke sana untuk meninjau. Mereka masuk melalui Bukit Kerayong kerana laluan dari Jalan Klang – Sabak Bernam sudah pun ditutup,” katanya ketika dihubungi.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 10 meter tinggi timbunan cebisan plastik dan besi dari sisa industri dan domestik terbiar ‘menggunung’ di tapak pelupusan sampah haram atas tanah seluas kira-kira 2.2 hektar.
Tapak tersebut terletak berhampiran dengan berhampiran Kampung Suara, Kampung Tambak Jawa dan Kampung Sungai Serdang.
Meskipun pelbagai aduan kepada pihak berkuasa dan pendedahan dilakukan oleh pelbagai akhbar, sisa tersebut masih lagi dibiarkan di situ dan sudah pun berlarutan sejak 2011 sehingga kerap berlaku kebakaran dan menyebabkan pelepasan gas kimia berbahaya yang mengancam kesihatan penduduk.
Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera terhadap isu tersebut dan memindahkan sampah berkenaan ke tempat yang sepatutnya.
“Saya dapati, pencari-pencari besi buruk datang pada lewat petang untuk mengelak daripada dikesan oleh penduduk atau pekerja ladang melalui ‘laluan tikus’ dari Bukit Kerayong,” katanya.
Katanya lagi, penduduk kampung juga menggesa pihak berkuasa mendedahkan rakaman video daripada kamera litar tertutup yang yang dipasang dekat tiang pencawang elektrik bagi melihat situasi sebenar berlaku di kawasan terbabit.
“Dahulu kita gesa mereka pasang kamera CCTV, namun bila dipasang mereka enggan dedahkan rakaman video kepada penduduk. Apa yang hendak disorokkan kalau kawasan berkenaan jadi tapak pelupusan sampah haram?” soalnya. – UTUSAN










