Keterjaminan makanan: KPKM, 17 agensi dipersoal

Keterjaminan makanan: KPKM, 17 agensi dipersoal

PADI diproses menjadi beras sebelum dijual ke kilang di Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan terus dipersoal berhubung isu keterjaminan makanan negara apabila berdepan masalah kekurangan bekalan beras sebagai makanan asasi tahap sara diri (SSL) biarpun negara sudah mencapai kemerdekaan 66 tahun lalu.

Masalah itu semakin membimbangkan susulan beberapa negara pembekal beras seperti India, Vietnam dan Thailand mengehadkan eksport sedangkan Malaysia bergantung kepada import makanan yang menelan kos sehingga RM64 bilion setahun.

Situasi itu diluahkan seorang peladang dari Perak kepada Utusan Malaysia yang mempersoal peranan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang mempunyai 17 jabatan dan agensi di bawahnya menguruskan bekalan makanan.

Menurut Ghulam Sarver Mobarak Ali, sebelum ini negara juga berdepan dengan kekurangan bekalan ayam dan telur yang masih berlarutan dan Malaysia sudah terbiasa mengambil jalan singkat dengan menambah jumlah import makanan setiap kali menghadapi masalah itu.

“Mesyuarat, persidangan, dia­log dan bermacam-macam kem­pen serta program diadakan berkaitan pertanian, namun import makanan negara terus meningkat sehingga RM64 bilion setahun.

“Adakah jabatan dan agensi­nya bergerak ke arah tatakelola cemerlang abad ke-21 atau berpuas hati dengan melancarkan dasar-dasar pertanian itu dan ini tetapi keadaan tidak juga banyak berubah,” soalnya.

Ghulam berkata, penduduk Malaysia tidak sampai 40 juta jika dikira sekali dengan beberapa juta pekerja asing.

Sedangkan katanya, India dengan 1.4 bilion penduduk boleh pula mengeksport beras ke serata dunia, begitu juga Vietnam yang mempunyai penduduk hampir 100 juta tidak mengalami kekurangan beras.

Malah Jepun mampu meningkatkan eksport beras dari 4,516 tan pada 2014 kepada 28,926 tan pada 2022 iaitu meningkat 600 peratus dalam masa lapan tahun.

Pada masa sama, negara kecil seperti Taiwan dan Belanda mampu mengeksport barang pertanian hampir ke seluruh dunia.

Malaysia katanya, mempunyai institusi pertanian seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), lebih 600 saintis, tokoh dan penyelidik terkemuka yang melahirkan banyak idea besar untuk mengubah landskap pertanian negara, namun masih gagal memastikan pendapatan petani ditingkatkan.

“Seperti biasa apabila berlaku krisis seperti kekurangan beras bermacam-macam kenyataan dikeluarkan oleh KPKM seperti syor mendapatkan kerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri memperuntukkan tanah bagi tujuan pertanian,” katanya.

Soal beliau, mengapakah Malaysia dilabel negara yang gagal mengurus makanan walaupun mempunyai keluasan 330,000 kilometer persegi dan dikelilingi pantai laut 4,675 kilometer?

“Sikap menafikan wujud kelemahan dan kekurangan pada semua peringkat di KPKM bukan sahaja merugikan kementerian itu melakukan reformasi tetapi menggagalkan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang berjaya menjaga sekuriti makanan.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×