Miliki kanabis: Yasin diarah bela diri

Miliki kanabis: Yasin diarah bela diri

yasin
MUHAMMAD YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pakar perunding psikiatri memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam, penyanyi dan kompo­ser, Muhammad Yasin Sulaiman tidak waras dari segi perubatan dan undang-undang kerana mengalami bipolar disorder dan hyperthyroidism.

Dr. Ian Lloyd Anthony berkata, Muhammad Yasin dalam keadaan tidak waras menyebabkannya tidak mengetahui perbuatan menanam pokok kanabis di kediamannya merupakan satu kesalahan dan melanggar undang-undang.

Pakar Perunding Forensik Psikiatri, Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak itu berkata, hasil pemerhatian selama dua bulan mendapati tertuduh mula mengalami gejaja penyakit berulang kira-kira tiga bulan sebelum penanaman kanabis itu.

Menurut saksi pembelaan tersebut, pesakit itu turut mengalami gejala-gejala penyakit mania seperti terlalu gembira, banyak bercakap, bertenaga tinggi selain mempunyai buah fikiran yang mencurah-curah.

“Gejala-gejala itu semakin memuncak apabila tertuduh secara tiba-tiba mempunyai idea menanam pokok kanabis dan bercadang untuk mengusahakannya secara perubatan.

“Tertuduh merasakan dirinya hebat (grandiose) dan bertanggungjawab mencari rawatan mujarab untuk penyakit kronik termasuk penyakitnya sendiri.

“Bagaimanapun, tertuduh ti­dak langsung mempunyai pe­ngetahuan mahupun kemahiran untuk memproses dan mengekstrak komponen kanabis untuk menghasilkan produk perubatan,’’ ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Ariff Azami Hussein.

Pakar psikiatri itu memberi keterangan pada prosiding bela diri Muhammad Yasin yang menghadapi tiga pertuduhan dadah.

Terdahulu, Hakim Faiz Dziyauddin memerintahkan pe­nyanyi nasyid dan komposer itu membela diri selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Muhammad Yasin bagaima­napun memilih untuk berdiam diri daripada kandang tertuduh selepas jurubahasa mahkamah menjelaskan tiga pilihan untuk membela diri.

Perbicaraan bersambung 17 Oktober ini dengan menyambung keterangan pakar berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Muhammad Yasin, 48, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Pertuduhan kedua, Muhammad Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Muhammad Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carbo­xylic acid di IPD Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×