7 Oktober ini akan berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai membabitkan tiga calon, iaitu Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dari Barisan Nasional (BN); Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat dari Perikatan Nasional (PN); dan Haslihelmy DM Zulhasli, calon Bebas yang menggunakan simbol kereta.
Setelah gagal menukar kerajaan Pusat melalui pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos lalu, kini ada pihak berteori bahawa kemenangan PN di Pelangai akan mendorong berlakunya perubahan dalam kerajaan negeri Pahang menerusi pembelotan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN kerana ketiadaan undang-undang antilompat parti di negeri itu.
Setelah kematian Datuk Seri Johari Harun, sekarang ini kerajaan negeri dibentuk oleh 16 ADUN BN dengan sokongan lapan ADUN Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Menteri Besar. PN pula memiliki 17 kerusi diketuai Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Ketua Pembangkang.
Jika PN menang di Pelangai, maka ia akan memiliki 18 kerusi dan memerlukan hanya empat ADUN BN melompat untuk membolehkan kerajaan negeri baharu di bawah PN dibentuk. Dalam politik, tiada yang mustahil untuk berlaku tetapi pengamatan di lapangan menunjukkan PN akan kalah di Pelangai sekali gus memadamkan usaha menukar kerajaan negeri.
Bukan itu sahaja, kemenangan BN di Pelangai dengan dokongan kuat PH termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun berkempen di sana kelmarin, juga akan mengukuhkan kedudukan PH-BN dan serentak itu melenyapkan saki-baki cakap-cakap mengenai kemungkinan akan tetap berlakunya usaha untuk menukar kerajaan Pusat.
Ada cakap-cakap kononnya Haslihelmy selaku bekas ahli UMNO akan mampu menarik undi protes yang besar dari UMNO tetapi faktanya tidak begitu. Rata-rata pengundi di Pelangai tidak terpengaruh dengan apa-apa agenda politik besar yang ada di peringkat nasional, sebaliknya mereka hanya tertumpu dengan isu-isu di peringkat tempatan di Pelangai dan Pahang.
Mereka terhutang budi dan berpuas hati dengan khidmat lapan penggal ADUN BN Pelangai sebelum ini yang juga bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob, dan khidmat seketika Johari yang mengganti Adnan. Adnan juga kekal setia dengan UMNO serta turut berkempen untuk Amizar memastikan pengikut beliau yang ramai mengundi BN.
Dengan komposisi pengundi Melayu seramai 74.3 peratus, tiga daripada sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) adalah Felda Chemomoi, Felda Sungai Kemasul dan Felda Sungai Kemahal, serta pengundi Cina (18.4%) dan India (7.3%), majoritinya berada di Telemong, Manchis, Sungai Gapoi dan Sungai Perdak, kejayaan calon BN sudah pasti berada dalam tangan.
Yang menjadi pertanyaan sekarang hanyalah berapakah jumlah majoriti sebenar yang akan dimenangi oleh calon BN? Tetapi dengan saingan sengit PN di mana hampir semua pemimpin tertinggi Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan turun padang, majoriti sekitar 2,000 undi menyamai majoriti Adnan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), iaitu 2,312 undi sudah memadai.
Pengundi Pelangai tidak akan mudah tertipu dengan ceramah pemimpin Pas mengenai kejayaan pemerintahannya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sedangkan mereka tahu keempat-empat negeri itu jauh lebih mundur daripada Pahang dalam hampir semua segi, khasnya dalam bidang ekonomi, pembangunan dan infrastruktur. Sebab itu ceramah Pas tidak mendapat sambutan.
Usaha PN mahu menjatuhkan kerajaan perpaduan boleh diibaratkan seperti cubaan Team B UMNO yang kemudiannya bertukar menjadi Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) menggulingkan kerajaan BN pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sekitar 1988 dan 1989 setelah tidak berpuas hati dengan kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Musa Hitam dalam pemilihan UMNO 1987.
Mereka bermula garang dengan Tan Sri Shahrir Abdul Samad selaku bekas Menteri Kabinet yang meletakkan jawatan dan bertanding atas tiket Bebas menang besar dengan majoriti 12,613 undi dalam PRK Johor Bahru pada 26 Ogos 1988 mengalahkan calon BN, Masud Abdul Rahman. Ini cuba diteruskan dalam PRK Parit Raja pada 20 Oktober 1988 tetapi malangnya calon Bebas mereka, Hamdan Yahya kalah dengan majoriti 413 undi kepada calon BN, Mohd. Yasin Kamari.
Kekalahan ini menjadi lebih teruk dalam tiga PRK seterusnya. Dalam PRK Ampang Jaya pada 28 Januari 1989, Datuk Harun Idris kalah dengan majoriti 4,250 undi kepada calon BN, Datuk Ong Tee Kiat. Dalam PRK Tambatan pada 5 Ogos 1989, Jaafar Onn kalah dengan majoriti 1,075 undi kepada calon BN, Abdul Kadir Anuar. Dalam PRK Kijal pada 1 Ogos 1990, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kalah dengan majoriti 1,689 undi kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Said.
Kekalahan demi kekalahan akhirnya menggagalkan hasrat Semangat 46 dan terbukti dalam PRU8 dan PRU9), parti ini tidak ke mana sehingga dibubarkan pada 1996. Begitulah juga usaha PN sekarang yang mulanya memuncak dalam PRN di enam negeri tetapi setakat mampu mengekalkan status quo di tiga negeri sahaja dan mula menurun dalam PRK Pulai dan PRK Simpang Jeram bila calon mereka kalah.
Dengan jangkaan kekalahan PN di Pelangai, semangat untuk menggulingkan kerajaan perpaduan akan mati sendiri. Kerajaan perpaduan pula dengan jangkaan rombakan Kabinet untuk memantapkan jentera pentadbirannya dan pembentangan Bajet 2024 pada 13 Oktober akan mara dengan lebih yakin ke hadapan bagi meneruskan pemerintahan sehingga ke akhir penggal. – UTUSAN
Mohammad Jabbar Tariq Alizul Pakar ialah pegawai di Institut Kajian Strategik & Komuniti (IKSK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan pengkaji politik.










