ANTARA tugas utama Institut Agro Usahawan (IGROW) yang saya terajui adalah memastikan usahawan yang dilahirkan akan terus berdaya tahan, berdaya maju dan berdaya saing. Selain memantau graduan kami, IGROW turut mewujudkan komuniti sekuriti makanan di seluruh negara.
Begitulah tugas saya lebih 15 tahun bersama graduan dan komuniti yang kami cetuskan. Sepanjang tempoh tersebut, saya sentiasa diberi maklumat dan maklum balas secara langsung terutama di peringkat lapangan secara individu dan kolektif. Hasilnya, saya sudah pasti mendapat gambaran sebenar tentang isu-isu berkaitan aktiviti usahawan tani di seluruh negara. Dapatan kami juga boleh dibandingkan dengan cerita-cerita pihak lain yang terbabit sama ada di peringkat kerajaan, industri mahupun masyarakat sebagai pengguna.
Tidak keterlaluan untuk saya katakan, sering kali juga berlaku cerita di atas sangat enak berbanding keperitan dialami di lapangan, iaitu akar umbi melibatkan petani sendiri.
Akhirnya, pada saat negara dan dunia sedang kecoh dengan masalah sekuriti makanan, kenaikan harga barang dan tekanan kos hidup yang semakin membebankan, saya mengesan pelbagai rungutan serius tentang hilangnya motivasi dalam kalangan usahawan tani yang perlu ditangani segera oleh semua pihak sebelum negara berhadapan krisis makanan lebih serius.
Tanda-tanda motivasi petani yang semakin hilang ini saya rasai apabila melihat banyak kebun yang selama ini dianggap steady, tiba-tiba mengecil saiznya atau tutup terus. Begitu juga banyak laman sosial ikon-ikon hebat pertanian sudah jarang dikemaskini berita pengeluaran mereka. Jika masih hidup pun, golongan petani ini tidak lagi berkebun tetapi bertumpu kepada menjadi perunding atau pembekal input pertanian sahaja.
Kemuncaknya, apabila saya dijemput menyelesaikan beberapa kes pekebun ladang kontrak termasuk melibatkan kerjasama dengan maahad tahfiz di beberapa negeri, ada yang cabut lari begitu sahaja kebelakangan ini.
Setelah mengadakan siri perbincangan dengan semua wakil komuniti strategik kami mengikut zon di seluruh negara, maka timbullah isu majoriti petani terutama melibatkan tanaman makanan/sayuran jangka pendek yang sudah hilang motivasi untuk meneruskan usaha kerana dua cabaran besar tahun ini, iaitu kejatuhan harga sayuran berpanjangan dan kesan bencana alam (pemanasan global) mengakibatkan mereka kerugian besar sehingga tiada lagi modal untuk meneruskan usaha.
Saya berjumpa dengan sahabat saya, tauke sayur berbangsa Cina dari Cameron Highlands yang melaporkan dia kerugian lebih RM500,000 dalam tempoh lima tahun sejak 2018 dengan membuat pelaburan kepada anak saudaranya sendiri yang mengusahakan tanaman sayuran di Sungai Siput, Perak. Oleh kerana anak saudaranya adalah graduan universiti, dia mulanya mengagumi semangatnya mahu tinggal di kampung dan menjadi tauke sayur. Namun, kelemahan sistem pertanian dan pasaran di negara ini kebelakangan ini menyebabkan mereka rugi, sehinggalah anak saudaranya berhijrah ke Australia untuk menjadi usahawan tani di sana pula.
Kata sahabat saya itu, masalah pengusaha sayur ini berlaku kepada semua kaum termasuk Cina. Cuma katanya, ramai juga pengusaha sayur Cina terpaksa meminjam daripada along untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. Ramai kecundang tahun ini dan lari ke luar negara kerana dicari along. Hal ini katanya pernah diperjuangkan mereka pada Mac hingga Jun tahun ini yang turut diketengahkan media apabila sayur Cameron Hinghlands juga kecundang.
PULIH
Pada dasarnya, masalah motivasi dihadapi usahawan tani ini bukanlah perkara baharu tetapi krisis dihadapi kali ini lebih memberi tekanan perasaan kerana tahun ini mereka berhadapan kejatuhan dan manipulasi harga tanaman yang menjunam teruk dan mengambil masa lama untuk pulih. Harga tinggi dan menguntungkan hanyalah sekejap. Selain itu, kesan bencana alam atau perubahan iklim turut menjejaskan kualiti dan kuantiti tanaman, malah meningkatkan kos pengeluaran. Harga input pertanian dan penternakan seolah-olah tidak terkawal sehingga kenaikan berlaku sepanjang masa.
Jika sebelum ini mereka boleh bertahan dan mampu meneruskannya tetapi kini sudah hampir mengangkat tangan sepenuhnya. Masalah paling utama sekarang ialah ketiadaan lagi modal pusingan untuk meneruskan kerja. Bagi yang masih kuat semangat, pelbagai kerja terpaksa dilakukan termasuk menjaja sendiri di pasar, mencari alternatif lain sekadar cukup untuk menampung kos perbelanjaan keluarga.
Kebanyakan petani mengatakan keterujaan untuk mengusahakan pertanian berskala besar seperti dahulu sudah tiada lagi. Malah, kalau boleh membiayai kos bulanan keluarga pun dianggap sudah cukup baik.
Situasi cabaran melampau yang ada sekarang bukan sahaja melemahkan semangat mereka, bahkan menakutkan generasi baharu untuk menceburi bidang ini.
Ketika lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ke Parlimen Pasir Salak pada Jumaat lalu, saya cuba untuk membawa beliau melawat dan mendengar sendiri keluhan wakil-wakil usahawan tani ini. Sayang sekali, sebahagian masa menteri terpaksa melayan kerenah orang parti dan orang politik.
Mujur Setiausaha Politik beliau, Yuhaizad Abdullah memilih untuk mendengar taklimat dan melawat kami di Pulau Tiga, Kampung Gajah. Harapan terakhir kepada Yuhaizad untuk menyampaikan kepada Menteri agar bertindak segera.
Dalam krisis sedang dihadapi sekarang, para petani mencadangkan kepada kerajaan supaya mengambil langkah segera untuk menyediakan insentif dan inisiatif bagi menyokong mereka yang kian rebah:
Wujudkan skim pusingan modal mudah kepada petani yang terbukti tulen dan sudah berpengalaman; pastikan bank memberikan penangguhan sementara bayaran berbentuk moratorium kepada petani sehingga ke suatu tempoh wajar; menyediakan skim insentif dan inisiatif seperti subsidi input, baja yang konsisten seperti penanam padi (bukan bermusim); dan menyelaraskan sistem data dan maklumat jadual serta permintaan pasaran semua petani. Jika perlu diwajibkan pendaftaran.
Cadangan lain, melebarkan pasaran ke peringkat antarabangsa jika pasaran dalam negara sudah tepu; menghentikan permit import (AP) yang menjadi saingan murah kepada pengeluaran tempatan; menangani ancaman kartel melalui kaedah komuniti komersial baharu; dan menyediakan pegawai dan aktivis yang menjadi kaunselor untuk memotivasikan petani.
Ini bukanlah mustahil untuk dilakukan kerana banyak negara termasuk jiran kita, Thailand sedang melakukan usaha di atas disebabkan ancaman sekuriti makanan walaupun pertanian mereka dianggap jauh lebih hebat daripada Malaysia.
Saya faham dan amat bersimpati dengan tekanan motivasi dihadapi petani sekarang kerana saya sendiri berurusan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Sumber Manusia dalam pembangunan latihan kemahiran pertanian. Sudah tiga tahun bertendang teranjang antara kementerian. Sampai kini, habuk pun tiada.
Krisis makanan kita ibarat jatuh ditimpa tangga. Jangan biarkan depresi ini berterusan hingga perut membuat keputusan berbanding akal fikiran. Bertindaklah segera! Kami sudah beritahu awal! – UTUSAN
PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW).










