Henti aktiviti luar darjah jika IPU lebih 101

Henti aktiviti luar darjah jika IPU lebih 101

Sekolah diarah hentikan aktiviti luar darjah jika bacaan indeks pencemaran udara melebihi 101. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sekolah-sekolah diarah menghentikan semua aktiviti luar bilik darjah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 101.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu adalah selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terpakai kepada semua dan mesti dipatuhi bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini.

“Maknanya, kalau Indeks Pencemaran Udara (IPU) lebih daripada 100, maka tiada aktiviti luar boleh dilaksanakan dan ikut garis panduan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah Kuantan (UnIPSAS) di sini semalam.

Menurut Fadlina lagi,  sekolah hanya akan ditutup ekoran masalah jerebu jika ada cadangan atau nasihat daripada KKM.

“Kita akan bergantung kepada nasihat KKM dari semasa ke semasa berkaitan dengan cadangan atau nasihat seperti menutup (sekolah) atau memakai pelitup muka.

“Kita memang ada garis panduan kita dan kita kekal dengan garis panduan tersebut. Kita juga minta semua sekolah supaya mematuhi garis panduan tersebut,” katanya

Minggu lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi amaran Malaysia mungkin berdepan masalah jerebu rentas sempadan dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, situasi itu dijangka berlaku susulan ramalan cuaca lebih kering ekoran fenomena El Nino yang berterusan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Malaysia pernah mengalami kejadian jerebu teruk hingga kerajaan terpaksa mengumum­kan darurat.

Antaranya pada 1997 apabila IPU di Sarawak melebihi paras bahaya susulan kebakaran hutan dan kawasan perladangan di Sumatera dan Kalimantan Indonesia.

Selain itu, pada Ogos 2005, darurat alam sekitar sekali lagi diisytiharkan membabitkan Kuala Selangor dan Pelabuhan Klang apabila masing-masing mencatatkan bacaan IPU melebihi tahap kecemasan 521 dan 529.

Pada 2013 pula, sekurang-kurangnya enam negara di Asia Tenggara terjejas susulan krisis jerebu rentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran di Sumatera dan Kalimantan Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina memaklumkan isu kekurangan guru dialami ketika ini adalah bersifat sementara.

Beliau berkata, usaha bagi mengatasi masalah itu sudah dilakukan melalui pengambilan secara one-off selain proses pengambilan secara kontrak untuk jawatan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×