Usah jadikan minggu suai kenal sekadar taklimat isi borang

Usah jadikan minggu suai kenal sekadar taklimat isi borang

Kementerian Pengajian Tinggi beri jaminan yuran pengajian tidak akan dinaikkan bagi elak membebankan pelajar.. – FACEBOOK UNIVERSITI MALAYSIA SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN universiti awam menerima mahasiswa baharu mulai awal bulan ini. Bermulalah minggu suai kenal kepada mahasiswa baharu. Satu dunia baharu yang berbeza daripada sebelumnya, iaitu dari alam sekolah kepada alam kampus. Berubah daripada pelajar kepada mahasiswa. Berubah daripada alam bilik darjah kepada dewan kuliah dan tutorial. Daripada berhadapan dengan guru kepada perbincangan dan kuliah oleh pensyarah dan profesor. Ini adalah antara nama dan istilah baharu bagi individu bernama mahasiswa.

Adakah minggu suai kenal yang dijalankan universiti berjaya menerapkan nilai-nilai baharu kepada mahasiswa baharu? Berlakukah penerapan nilai dan falsafah asas pengajian tinggi kepada individu yang baharu memasuki alam kampus? Atau hanya sekadar memenuhi tradisi minggu suai kenal rutin biasa perlu dilakukan pada setiap tahun kepada mahasiswa yang baharu masuk?

Tidak lebih daripada itu. Taklimat demi taklimat dilakukan tentang pelbagai perkara bakal dilakukan oleh mahasiswa baharu. Daripada taklimat-taklimat pakaian kemas, memenuhi borang biasiswa, kokurikulum, bagaimana mendaftar kursus dan seumpamanya yang diperjelaskan oleh penceramah satu persatu. Taklimat diberikan seolah-olah sama sebelumnya yang dilakukan di sekolah menengah.

Adakah ini suatu yang wajar dilakukan di peringkat universiti kepada mereka bernama mahasiswa? Tidak cukupkah menyediakan maklumat berkaitan dalam bentuk bertulis dan diterokai oleh mahasiswa baharu?

Bukankah mereka individu yang bernama mahasiswa?

Akhirnya dalam tempoh masa satu minggu itu dipenuhi oleh pelbagai taklimat dan penerangan peraturan-peraturan tertentu. Minggu suai kenal diakhiri dengan majlis angkat sumpah menandakan mereka sah sebagai mahasiswa di universiti berkenaan. Adakah ini sebenarnya matlamat dan tujuan minggu suai kenal sebenarnya di universiti?

Melihat semula pengalaman minggu suai kenal dalam 1970-an dan 1980-an adalah berbeza. Tokoh-tokoh besar dan profesor ternama dalam universiti itu akan menyampaikan ceramah yang cukup bertenaga dan benar-benar berkesan membina diri. Dapat dirasakan kita berada dalam alam baharu bernama kampus universiti yang jauh berbeza dari alam lama bernama sekolah. Di alam baharu ini kita bukan hanya menghafal fakta semata-mata tetapi memahaminya, menggali asal usulnya dan falsafah di sebaliknya dengan lebih mendalam.

FILOSOF

Pensyarah dan profesor bukan lagi bersifat guru yang hanya menyampaikan ilmu asas perlu difahami dan dihafal tanpa menggali lebih dalam. Pensyarah dan profesor adalah insan akademik yang masih dalam perjalanan menuju tingkat kematangan ilmu lebih tinggi. Apa disampaikannya boleh didebat dan perbincangan lebih mendalam tanpa noktah akhir yang mutlak. Profesor juga adalah individu akademik sedang mencari dan meneroka belum bernoktah. Yang berbeza hanya mereka itu berada dalam keadaan lebih ke hadapan dalam banyak hal tetapi tidak berada pada tahap kesempurnaan dan lengkap sepenuhnya.

Falsafahnya, universiti adalah tempat penerokaan ilmu tanpa batas. Para pensyarah dan profesor menyerah diri mereka kepada ilmu akademik dengan penerokaan tidak berkesudahan. Tidak ada matlamat lain bagi para pensyarah dan profesor di universiti yang sebenar selain menambah, meneroka ilmu dalam bidangnya. Jauh sekali untuk menjadi kaya raya kerana bidang akademik bukan jalannya kalau mahu jadi kaya.

Akademik adalah tempat pencarian ilmu dan mencari hakikat kebenaran. Meneroka ilmu dan memahami pada hakikat falsafah dan makrifatnya. Bagi seorang Islam, semua ini bagi mengenal diri, alam dan merapatkan hubungan dengan pencipta, Allah Azzawajalla.

Adakah asas falsafah pendidikan tinggi ini terjelma dalam minggu suai kenal universiti? Sampaikah matlamat di akhir minggu suai kenal bahawa setiap mahasiswa baharu kenal erti diri dan mampu menyesuaikan diri sebagai anggota kampus? Atau masih lagi dengan amalan lama sebagai pelajar sekolah menengah?

Sesetengah universiti masih menggunakan istilah pelajar kepada mahasiswa yang tidak sepatutnya berlaku. Mahasiswa dan pelajar adalah suatu yang berbeza makna sebenarnya. Oleh kerana kedangkalan pemahaman istilah dan makna yang lebih filosof maknanya, maka masih ada universiti memanggil mahasiswanya sebagai pelajar. Bahasa Inggeris tidak ada perkataan khusus sebagaimana bahasa Melayu – murid, pelajar dan mahasiswa.

Minggu suai kenal sepatutnya dijadikan satu tempoh masa pemahaman peralihan daripada ‘sekolah dan pelajar’ kepada ‘universiti dan mahasiswa’ dan bukan hanya sekadar amalan tradisi semata-mata. Falsafah besar yang dalam maknanya dan peranannya tentang apa itu universiti dan mahasiswa perlu diterapkan dari peringkat awal memasuki kampus.

Para pentadbir universiti perlu benar-benar mengatur perjalanan minggu suai kenal penuh teliti dengan agenda yang benar-benar membawa kesan besar kepada para mahasiswa baharu. Biarlah dengan berakhirnya minggu suai kenal itu terbina satu asas kukuh akan makna mahasiswa dan universiti.

Biarlah jelas bagi mereka apa pegangan dan falsafah asas sebagai seorang mahasiswa yang perlu dilakukan seterusnya. Akan terbinanya semangat baharu sebagai mahasiswa dalam membina diri yang lebih sedar dalam menjadi insan akademis bertakwa – hamba yang lebih hampir kepada penciptanya dengan penerokaan ilmu lebih mendalam. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×