Sekolah uzur: Pelajar buta tinggal bersesak di dapur

Sekolah uzur: Pelajar buta tinggal bersesak di dapur

AHMAD FATANI (kiri) menunjukkan bumbung asrama perempuan yang rosak dan memerlukan proses pembaikan segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOMBOK: Sebak dan sedih melihat keadaan asrama pelajar perempuan di Sekolah Yayasan Pelita Harapan di sini yang terpaksa tinggal bersesak di bahagian dapur selepas ia rosak akibat dimakan anai-anai dan digegar gempa bumi pada 2018.

Bayangkan 12 pelajar cacat penglihatan itu terpaksa menghuni ruangan dapur tersebut yang bukan sahaja untuk memasak dan tidur, malah di situlah mereka mengulang kaji pelajaran.

Menyedari mereka sangat memerlukan bilik asrama yang lebih selesa dan selamat, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan pasar raya Econsave berganding bahu mengutip dana khas bagi membaik pulih asrama untuk mereka.

Pengerusi MyCare Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, anak-anak istimewa itu terpaksa tinggal di bahagian dapur selepas bangunan asrama tersebut yang mempunyai tiga bilik tidak lagi selamat untuk diduduki serta perlu dikosongkan.

“Menerusi tinjauan, kita dapati kerosakan yang berlaku sangat teruk. Kayu dan siling selain tingkap sudah rosak manakala sistem pendawaian elektrik termasuk kemudahan seperti katil dan tilam perlu ditukar baharu.

“Anggaran untuk kos baik pulih kira-kira RM50,000. Seramai 70 pelajar lelaki dan perempuan buta yang berusia tujuh hingga 20 tahun tinggal di sini dengan 36 orang menghuni di asrama dan daripada jumlah itu 12 pelajar perempuan tinggal di dapur berkenaan,” katanya yang mengetuai Misi Bantuan Pasca Gempa Bumi Lombok di Lombok, di sini.

Yang hadir Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam dan Presiden Kelab Majestic Motor Group (MG), Zulkarnain Ishak.

Rozi berkata, pihaknya dengan kerjasama Econsave dan sebuah NGO tempatan, Das Berbagi akan mencari jalan untuk mengutip dana secepat mungkin bagi membaik pulih asrama berkenaan.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Ahmad Fatani, 49, berkata, pihaknya bimbang asrama tersebut berisiko runtuh pada bila-bila masa dan strukturnya bertambah teruk.

“Asrama ini rosak semasa dilanda gempa bumi dan tidak lagi digunakan sehingga kayu pada bahagian siling rosak dimakan anai-anai. Keadaan bertambah teruk apabila gempa bumi kecil berlaku kira-kira tiga minggu lalu.

“Kita hanya mengharapkan bantuan Allah, saya harap dapat mengetuk pintu hati (rakyat Malaysia) untuk berbuat kebaikan,” katanya.

Menurutnya, sekolah itu yang beroperasi sejak 1985 dan untuk pelajar buta paling tua di Mataram mempunyai pelajar daripada pelbagai latar belakang agama.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) iaitu CIMB Islamik Bank 8602 135 592 atau boleh juga berbuay demikian menerusi pautan https://mycare.qrd.by/infaqjumaatjhr.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×