Ada pihak mahu Bersatu berpecah, lemah

Ada pihak mahu Bersatu berpecah, lemah

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpecah kepada dua ‘kem’ antara Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibuat oleh pihak luar kerana mahu melihat parti itu berpecah dan lemah.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, hakikatnya, sokongan terhadap Presiden masih utuh, di sebalik dakwaan Muhyiddin dan Hamzah masing-masing mahu menjadi dominan dalam menuju ke pemilihan parti tidak lama lagi.

Katanya, dua ‘kem’ yang disebut itu tidak wujud kerana semua pemimpin dalam Bersatu memainkan peranan masing-masing di peringkat cawangan, bahagian dan kepimpinan tertinggi parti.

“Sejujurnya, walaupun hubungan kami (secara amnya) tidaklah seratus-peratus sempurna, tetapi, saya meraikan apa juga perbezaan pandangan. Tapi dari hal sokongan kepada Presiden, semua kepimpinan tidak berbelah bagi menyatakan sokongan secara terbuka.

“Ribuan cawangan dan bahagian pimpinan negeri semua bernaung di bawah majlis pimpinan tertinggi. Baru-baru ini dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi jelas dilihat sokongan yang padu kepada kepada Muhyiddin.

“Atas sebab itu kami percaya Muhyiddinlah yang mampu menarik sokongan orang Melayu. Jadi, saya tidak nampak ada mana-mana ‘kem’ kerana masing-masing ada peranan yang harus dijalankan.

“Kalaulah ada sumber dalam dari atau luar Bersatu yang menyatakan perbezaan pandangan, inilah golongan yang perlu dimusuhi kerana mencari jalan untuk mengadu domba,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas berhubung dua kem terbentuk antara Muhyiddin dan Hamzah ketika tempoh berkempen pilihan raya, Ahmad Faizal tidak menganggapnya sebagai isu besar sehingga mengiyakan spekulasi berpecah itu.

“Saya rasa kalau jemput semua pemimpin utama dalam satu program yang sama macam berkempen, rugilah majlis nanti sebab semua pemimpin hadir sedangkan mereka boleh hadir ke program berlainan atas matlamat kempen yang sama. Kecualilah semasa grand finale.

“Jadi, kita buat ceramah berkelompok yang mana setiap seorang pemimpin ini akan berpecah mengikut kawasan yang disasarkan,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, pemilihan kepemimpinan Bersatu dijangka sengit dan tegang ketika parti itu didakwa berpecah kepada dua kem antara Muhyiddin dan Hamzah.

Sumber memberitahu, kedua-duanya saling bersaing untuk menjadi dominan. Bagaimanapun, rata-rata mahu supaya Hamzah menerajui Bersatu berbanding Muhyiddin yang dianggap lemah dalam kalangan akar umbi.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) iaitu gabungan politik pembangkang terbesar, dan terbentuk rentetan kemelut politik Malaysia serta rampasan kuasa kerajaan Persekutuan pada 2020.

Di Dewan Rakyat, Hamzah sebaliknya adalah ketua pembangkang bagi mewakili PN.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut menafikan dakwaan bahawa Hamzah tidak mengetahui dan terlibat dalam sebarang keputusan pemilihan calon-calon pilihan raya kerana pemimpin itu turut berada di dalam jawatan kuasa pemilihan calon sebelum ini.

“Saya selaku pengerusi jawatan kuasa perbincangan kerusi sendiri. Hamzah juga berada di dalamnya. Sudah pasti beliau tahu apa jua perkara berkaitan calon-calon Bersatu. Malah pemimpin-pemimpin lain juga ada,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×