Tiba masa PH kotakan janji-janji kempen

Tiba masa PH kotakan janji-janji kempen

KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2022 adalah berdasarkan sokongan keseluruhan sebanyak 37.99 peratus, satu kadar penerimaan yang dikira agak tidak memadai. UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMLAH undi perolehan Pakatan Harapan (PH), dahulunya Pakatan Rakyat (PR) makin merosot dalam empat pilihan raya umum (PRU) yang lepas. Perolehan undi pada 2008 ialah 47.99 peratus, kemudian meningkat kepada 50.88 peratus (2013). Namun, peratusan jatuh kepada 48.31 pada 2018. Pada PRU 2022, perolehan undi meluncur lagi menjadi 37.99 peratus.

PH kehilangan banyak undi, khususnya undi Melayu dalam PRU15. Berbanding Pas dan UMNO, sokongan pengundi Melayu terhadap PH sememangnya lemah. Penyokong-penyokong tegar gerakan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang asal tidak ramai berkekalan.

PH menghadapi dua kali gelombang kehilangan undi Melayu sejak 2008.

Pertama, pada 2018. Pada PRU tahun itu, Pas meninggalkan PR dan bertanding solo. Akan tetapi, impak peninggalan Pas tidak begitu dirasai. Kekosongan itu diisi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang baharu menyertai gagasan PR. Sumber undi dari Pas diganti pula dengan undi dari Bersatu.

Kedua, dalam PRU 2022. Bersatu memutuskan hubungan dengan PH dan membentuk gagasan politik baharu. Perkembangan ini membawa impak amat besar kepada PH. Undi Melayu perolehan PH banyak terhakis. Faktor itu mengakibatkan undi perolehan PH menggelongsor sebanyak 10.32 peratus berbanding 2018.

Pada PRU 2022, undi-undi Melayu dibuang kepada Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk oleh Pas dan Bersatu. Pada keseluruhan, PN meraih 30.08 peratus jumlah undi.

Perolehan undi Melayu oleh PN boleh dibahagi kepada empat, iaitu penyokong tegar Pas, penyokong PN, migrasi undi dari UMNO kepada PN (kali ini, perolehan undi UMNO jatuh 4.26 peratus berbanding 2018 dan sokongan ditawan PN dalam kalangan pengundi baharu.

Dalam PRU 2022, kemenangan PKR merosot kepada 31 kerusi (termasuk kerusi Parlimen Batu). Yang kalah itu semuanya kerusi kawasan Melayu. Parti Amanah Negara (Amanah) yang dahulunya menang 11 kerusi, kali ini tinggal lapan. Kalau dicampurkan kemenangan baharu di kerusi Alor Gajah (Melaka) dan Sri Gading (Johor), Amanah masih kekurangan lima kerusi di kawasan pengundi Melayu.

Tindakan Pas bertanding sendiri 155 kerusi Parlimen pada PRU 2018 dilihat sebagai percubaan menguji ‘suhu air.’ Dalam keadaan hampir tiada sokongan pengundi bukan Melayu, Pas masih berjaya memenangi 18 kerusi berbanding 21 kerusi semasa mereka bergabung dengan PR pada 2013. Kemenangan itu mencerminkan kewibawaan dan potensi Pas, dan menyakinkan parti itu untuk membuat perancangan serta persiapan lebih awal bagi PRU seterusnya.

Sesungguhnya, dari awal lagi Pas mengatur strategi menggerakkan gelombang hijau, cuma perancangan secara senyap-senyap oleh Pas dan Bersatu gagal dikesan UMNO. Hal ini kerana UMNO pada masa itu terlalu sibuk melaksanakan propaganda untuk menonjolkan pucuk pimpinan atasan.

UBAT PENAWAR

Tambahan kerusi Parlimen dimenangi Pas dan Bersatu masing-masing 25 dan 18 pada 2018. PH tewas banyak kerusi. PKR hilang 17 kerusi, Amanah tewas tiga kerusi. UMNO pula kecundang 28 kerusi. Kalau tidak mengambil kira kekalahan PH di Sabah dan Sarawak, kerusi-kerusi PH dan UMNO yang kalah semuanya ditawan oleh PN.

PN menyapu semua kerusi Parlimen Perlis, Kelantan dan Terengganu. Di Kedah, PN hanya kalah tipis satu kerusi di Sungai Petani. PN memperoleh kemenangan amat cemerlang di negeri-negeri lain – Perak (10 kerusi), Pulau Pinang (3i), Selangor (6), Pahang (7), Melaka (3) dan Johor (2).

Secara objektif, kini PH tidak mungkin menundukkan PN melalui sokongan pengundi bukan Melayu. Dengan tiada tunjangan daripada masyarakat Melayu, PH kehilangan pangkalan teguh dimenangi mereka sejak PRU 2008 termasuk Permatang Pauh (Pulau Pinang), Pokok Sena (Kedah), Parit Buntar (Perak), Indera Mahkota dan Kuantan (Pahang), Kapar dan Kuala Langat (Selangor).

UMNO juga hilang banyak kerusi tradisi akibat kehilangan sokongan pengundi Melayu termasuk Parlimen Gua Musang yang lapan kali diraih Tengku Razaleigh Hamzah, Tasek Gelugor dan Kepala Batas (Pulau Pinang); Gerik, Parit, Pasir Salak, Kuala Kangsar dan Padang Rengas (Perak); Jerantut, Kuala Krau, Maran dan Rompin (Pahang); Tanjong Karang dan Sabak Bernam (Selangor); Masjid Tanah dan Jasin (Melaka); Mersing (Johor).

Keputusan PRK menunjukkan PN tetap memegang Kelantan, Terengganu dan Kedah dengan ketat di samping menembusi kekuasaan PH-UMNO di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Sehingga kemenangan PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, barulah PH dapat menarik nafas lega.

Kini, sementara mendapat alternatif lebih baik, PH terpaksa menerima hakikat mereka kekurangan undi Melayu yang secukupnya. Secara umum, kemenangan PH dalam PRU 2022 adalah berdasarkan sokongan keseluruhan sebanyak 37.99 peratus, satu kadar penerimaan yang dikira agak tidak memadai.

PH kini memang menghadapi kesukaran untuk mengumpulkan sokongan undi Melayu secukupnya atas daya sendiri dalam waktu terdekat. Oleh demikian, jalan keluar paling mudah ialah bekerjasama erat dengan UMNO.

Walaupun kerjasama politik bersama dalam kerajaan perpaduan kelihatan terus menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, namun kalau tidak berdaya memantapkan langkah-langkah kerjasama, apa gunanya menghabiskan lebih banyak masa untuk melakar penggemblengan tenaga jangka panjang?

Kini, UMNO juga bermati-matian mencari ubat penawar untuk meneruskan kelangsungan politik. Kalau mereka bertukar haluan untuk berganding bahu dengan PN, ruang hidup politik jangka panjang mungkin menguncup dan menjadi lagi sukar.

Kesimpulannya, tanpa sokongan padu pengundi Melayu, PH bukan sahaja sukar sekali untuk memperluas empayar politiknya, malah perlu sentiasa berhadapan serangan-serangan politik daripada PN. PH patut memfokuskan kerja-kerja reformasi dan pembaharuan secara bersungguh-sungguh. Janji-janji PH kepada rakyat semasa berkempen juga perlu dikotakan.-UTUSAN

Dr. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×