IPOH: Datuk Azhar Azizan Harun dilihat gagal melaksanakan peranannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang faham peranan Parlimen.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, sebaliknya Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said dilihat lebih ke depan menerusi caranya mengendali prosiding.
Menurutnya, tindakan Azalina mengutus surat keras kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun baru-baru ini mengenai kekeliruan dengan tindakan kerajaan menggantung persidangan Parlimen menunjukkan Azalina lebih layak menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Parlimen yang berotonomi memerlukan Speaker yang faham peranan Parlimen. Setakat ini Azhar gagal melaksanakan peranan itu sebaliknya Azalina lebih ke depan.
“Cara dia mengendali prosiding dan paling terbaharu surat keras beliau kepada Peguam Negara menunjukkan dia lebih layak jadi Speaker. Speaker perlu bebas dan ada pendirian, bukan wakil kerajaan. Dalam hal ini, kita sudah tunjukkan di Perak, ertinya ia boleh berlaku,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Abdul Aziz yang juga Ketua Pembangkang Perak berkata, sehubungan itu mungkin elok jika ahli parlimen membuat pendirian sama ada mereka masih mahukan Azhar Azizan sebagai Speaker atau sebaliknya.
“Ini hak mereka, kalau majoriti ahli parlimen mahu Azhar disingkirkan, tiada siapa boleh sekat, itu jelas. Perdana Menteri tidak ada kuasa menentukan siapa Speaker,” katanya.
Abdul Aziz berkata, Azhar Azizan berada pada kedudukan sekarang sebenarnya kerana majoriti ahli parlimen mahu beliau sebagai Speaker, bukan kerana kuasa Perdana Menteri.
“Bila-bila masa Speaker boleh disingkirkan. Pakatan Harapan (PH) boleh atur strategi untuk itu dan UMNO patut bantu. Ahmad Zahid (Presiden UMNO) sendiri sudah kata usul undi percaya perlu dikemukakan di parlimen,” katanya.
Mengenai surat Azalina kepada AG, Aziz Bari berkata, surat itu mungkin ada signal atau isyarat namun tidak pasti sama ada Azalina mewakili jawatannya atau itu pandangan peribadinya sendiri.
“Yang pasti Azalina lebih ‘jantan’ kerana berani berkata begitu,” katanya.
Baru-baru ini, Azalina menerusi sepucuk surat kepada AG bersuara mengenai kekeliruan dengan tindakan kerajaan menggantung persidangan parlimen yang mana Peguam Negara Harun sepatutnya bertindak untuk mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
Dalam surat berkenaan, Azalina mempersoalkan sebab utama parlimen digantung sedangkan masih ada beberapa jalan penyelesaian yang boleh dilakukan bagi memastikan persidangan parlimen dapat diteruskan.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mengisytiharkan Darurat bermula 11 Januari lalu dan proklamasi itu sekali gus telah menyebabkan persidangan Parlimen digantung sehingga tamat tempoh Darurat yang dikatakan akan berakhir pada 1 Ogos tahun ini.
Walaupun begitu, ramai pemimpin mempersoal keperluan menggantung persidangan Parlimen sedangkan kebanyakan sektor ekonomi yang lain tetap diteruskan. -UTUSAN ONLINE











