JARANG seorang Perdana Menteri berani bersemuka dengan wartawan atau ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk berhujah isu kontroversi seperti keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi pada 4 September lalu.
Bagaimanapun, tidak begitu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan ruang ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, Selasa lepas untuk membuat penjelasan mengenainya disebabkan banyak permintaan daripada ahli-ahli Parlimen ke atas isu ini.
Anwar berkata, walaupun Jabatan Peguam Negara dan beliau sendiri telah beberapa kali membuat penjelasan mengenainya sebelum ini tetapi sesetengah pihak masih tidak berpuas hati kerana mereka menyatakan bahawa ini adalah satu hal baharu. Seolah-olah Perdana Menteri campur tangan dalam pembuatan keputusan itu sedangkan beliau tidak berbuat begitu.
Berhadapan dengan sindiran dan serangan, Perdana Menteri menyebut Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin yang merupakan Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) dari Mac 2020 hingga Ogos 2021, “Boleh gelak kerana you (PN) buat perkara itu, masa pentadbiran you (PN) buat kerja itu.”
Dewan riuh bila Radzi dan ahli-ahli Parlimen PN lain berulang-ulang kali mendesak Anwar menarik balik apa yang didakwa sebagai sangkaan jahat terhadap Radzi.
Banyak masa terbuang dengan jerit pekik ahli-ahli Parlimen PN yang dibalas oleh sesetengah ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) lain, walaupun setelah penjelasan dibuat oleh Anwar bahawa kenyataan itu merujuk kepada tindakan Peguam Negara sewaktu kerajaan PN memberi DNAA atau kes lepas dan bebas (DAA) dalam beberapa kes dan bukan merujuk kepada Radzi secara peribadi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah mengambil tindakan betul dengan memberi ruang kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersuara bagi pihak pembangkang dan meminta Perdana Menteri memberi penjelasan dan mengarahkan Radzi keluar dewan setelah berterus-terusan mengganggu sesi penggulungan Perdana Menteri.
Adalah fakta yang tidak boleh dipersoalkan bahawa pemberian DNAA atau DAA sentiasa berlaku mengikut budi bicara Peguam Negara kerana mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.
Pada zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 Mei 2020 memberi DNAA kepada anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz daripada lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.25 bilion yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan beberapa representasi yang difailkan Riza terhadap pertuduhan dihadapinya.
KOMEN SARKASTIK
Pada 9 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi DAA kepada bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman daripada 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan konsesi balak di Sabah.
Sebanyak 30 daripadanya adalah rasuah membabitkan suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah AS$50.1 juta manakala 16 pengubahan wang haram.
Pada 22 September 2020, Mahkamah Sesyen Shah Alam memberi DNAA kepada bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharuddin Mat Isa, daripada 16 pertuduhan pecah amanah berkaitan dakwaan menerima RM321,273.80 gaji secara tidak jujur ketika menjadi pengerusi Yayasan Nassar antara 2015 dan 2018 susulan satu representasi yang difailkannya.
Pada 7 Disember 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi DNAA kepada Ahli Parlimen Putrajaya merangkap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada pertuduhan menerima wang tunai RM1 juta daripada ahli perniagaan, Tan Eng Boon yang telah mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat dan didenda RM1.5 juta.
Komen sarkastik Tun Dr. Mahathir Mohamad ke atas sistem keadilan negara ekoran pemberian DNAA ini juga tidak wajar kerana di waktu beliau menjadi Perdana Menteri dalam kerajaan PH, banyak sekali pemberian DAA yang lebih besar impaknya daripada DNAA berlaku di mana hampir setiap bulan ada sahaja kes-kes sebegitu.
Antaranya, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 Jun 2018 memberi DAA kepada Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa daripada pertuduhan memuat naik poster palsu memaparkan foto Najib dan Mahkamah Sesyen Ipoh pada 27 Julai 2018 memberi DAA kepada Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su daripada pertuduhan menganjurkan perhimpunan haram.
Pemberian DAA kepada mereka yang dituduh menghasut juga amat banyak. Antaranya kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pada 27 Julai 2018; Sivarasa, N. Surendran dan kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar pada 30 Julai 2018; Eric Paulsen dan S. Arutchelvan pada 15 Ogos 2018 dan Datuk Tamrin Abdul Ghafar pada 29 Ogos 2018.
Mahkamah Sesyen Kuching pada 17 Disember 2018 memberi DAA kepada Ahli dan bekas Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen dan Julian Tan daripada pertuduhan melibatkan diri dalam demonstrasi haram manakala Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 3 September 2018 memberi DAA kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng daripada pertuduhan rasuah.
Ringkasnya seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, kes DNAA ini bukan satu yang terkecuali. – UTUSAN
DR. Zainudin Omar ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar & Kerja Sosial, Universiti Utara Malaysia (UUM).











