FASAL (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Peguam Negara dalam hal pendakwaan, iaitu untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan (selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera).
Kuasa budi bicara Peguam Negara tersebut yang tidak boleh dipersoalkan merupakan prinsip undang-undang mantap (trite law) telah diputuskan secara konsisten dalam kes-kes mahkamah tertinggi di negara ini seperti dalam kes-kes Long bin Samat lwn. PP (1974) 2 MLJ 152, Johnson Tan Han Seng lwn. PP (1977) 2 MLJ 66; PP lwn. Zainuddin & Anor (1986) 2 MLJ 100; dan Karpal Singh & Anor lwn. PP (1991) 2 MLJ 544.
Rakyat perlu yakin dengan pelaksanaan kuasa budi bicara oleh Peguam Negara kerana beliau pakar undang-undang dalam kalangan profesional yang tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya tetapi hanya setelah mengambil kira keadilan kepada semua pihak dan demi pentadbiran keadilan itu sendiri.
Rakyat tidak perlu meragui Peguam Negara yang sentiasa bertindak berdasarkan prinsip rule of law. Ini kerana Peguam Negara merupakan pihak yang mempunyai kedudukan paling baik dalam membuat apa-apa keputusan berkenaan sesuatu pertuduhan berdasarkan pelbagai faktor. Antara lainnya kerana hanya Peguam Negara mempunyai akses kepada laporan-laporan daripada agensi penyiasatan serta representasi-representasi yang dikemukakan.
Justeru, tidak wajar untuk mana-mana pihak membuat tuduhan tidak berasas malah menarik Peguam Negara ke dalam kancah politik untuk kepentingan masing-masing. Ini kerana prinsip asas Peguam Negara adalah bertindak tanpa gentar atau manfaat – The Attorney General serves as the custodian of prosecutorial authority and the guardian of public interest, acting without fear or favour.
Selain Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan (yang merangkumi kuasa untuk memberhentikan pendakwaan), subseksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) juga memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara (Pendakwa Raya) untuk memberhentikan sesuatu pertuduhan pada mana-mana peringkat sebelum penghakiman diberikan.
Peruntukan undang-undang yang disebut di atas jelas menunjukkan Peguam Negara boleh memberhentikan pertuduhan di mana-mana peringkat selagi penghakiman belum diberikan oleh mahkamah dan ini termasuk juga di peringkat selepas kes prima facie telah dibuktikan.
Seperti dimaklumi, pada 4 September lalu dalam kes melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pihak pendakwaan telah memohon agar prosiding kes berkenaan diberhentikan dan tertuduh diberikan perintah untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (discharge not amounting to an acquittal) atau DNAA. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pihak pendakwaan setelah mempertimbangkan 11 alasan dikemukakan dan hujahan dikemukakan peguam bela tertuduh.
Dalam kes ini dan juga kes-kes lain, Peguam Negara tidak secara mudahnya memberikan persetujuan untuk memohon DNAA apabila menerima sesuatu representasi. Ini kerana Peguam Negara selaku the custodian of prosecutorial authority and guardian of public interest perlu menimbangkan banyak perkara dalam memutuskan untuk memohon DNAA atau apa-apa tindakan lain bergantung kepada fakta kes di hadapan beliau pada satu-satu masa.
Ini bukanlah kali pertama suatu pertuduhan itu diberhentikan selepas kes prima facie dibuktikan. Terdapat duluan (precedent) sebelum ini apabila kes pihak pendakwaan telah diberhentikan setelah kes prima facie berjaya dibuktikan ke atas tertuduh dan tertuduh diperintah membela diri di mahkamah.
PEMBUNUHAN KIM JONG NAM
Antaranya kes Pendakwa Raya lwn. Siti Aisyah & Doan Thi Huong (kes pembunuhan Kim Jong Nam) di mana dalam kes tersebut, tertuduh bernama Siti Aisyah diberikan perintah DNAA oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2019 setelah permohonan memberhentikan kes ke atas beliau dibuat oleh pihak pendakwaan.
DNAA merupakan satu terma undang-undang yang digunapakai bagi kes-kes jenayah yang memberi erti bahawa tertuduh tidak dibebaskan sepenuhnya dan boleh dituduh kembali di mahkamah. Permohonan DNAA ini adalah sesuatu perkara lazim dalam proses pendakwaan.
Pihak pendakwaan akan memohon DNAA dalam beberapa situasi antara lain seperti berikut:
Ada representasi daripada peguam pihak tertuduh yang memerlukan siasatan lanjut termasuklah apabila ia melibatkan faktor-faktor kemanusiaan seperti tertuduh mengalami sakit sangat kronik yang disokong dengan laporan perubatan (contohnya dalam kes PP lwn. Dato’ Abu Samah bin Abdul Wahab dalam mana tertuduh didiagnos mempunyai kanser tahap 4); atau
Semasa perbicaraan terdapatnya keterangan baharu yang memerlukan pertimbangan serius oleh pihak pendakwaan seperti dalam kes PP lwn. Tan Sri Shahrir bin Ab Samad.
Bagaimanapun, sekiranya tertuduh memohon untuk perintah lepas dan bebas, pihak pendakwaan lazimnya akan membantah/menentang.
Berdasarkan kes-kes tersebut, jelas ini bukanlah kali pertama Peguam Negara menggunakan kuasa budi bicara untuk memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan kes di mahkamah.
Dalam kes melibatkan Ahmad Zahid, isu pendakwaan terpilih telah dibangkitkan dalam representasi dikemukakan oleh beliau, maka wajarlah dakwaan ini disiasat untuk memberi keadilan kepadanya.
Oleh itu, kuasa budi bicara Peguam Negara di bawah Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana hal demikian akan mengakibatkan sukar untuk Peguam Negara melaksanakan tugasnya sebagai Pendakwa Raya.
Walau apa pun, kita perlu yakin dengan latar belakang kukuh hasil daripada pengalaman luas beliau dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan, apa-apa keputusan yang telah atau akan dibuat oleh Peguam Negara adalah bebas daripada pengaruh dan tekanan politik. – UTUSAN
PENULIS ialah lulusan ijazah undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM).










