PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi fokus kepada keberkesanan kos dalam menjalankan perniagaan yang menarik dan kondusif kepada pelabur-pelabur asing supaya mereka tidak lari ke negara ASEAN yang lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pelabur asing biasanya akan mengambil kira kos yang akan dikenakan terhadap mereka jika membuat pelaburan di negara luar.
Menurutnya, semakin rendah bagi kos perniagaan yang dikenakan termasuk upah pekerja, sewa bagi utiliti, logistik dan persekitaran yang sesuai, ia akan meningkatkan pelaburan asing di negara ini.
“Walaupun negara ini terpaksa bertanding dengan negara-negara jiran ASEAN dalam menyediakan persekitaran yang boleh memberikan kos bagi menjalankan perniagaan yang rendah, kerajaan perlu berhati-hati untuk tidak terlalu meletakkan kos yang terlalu rendah.
“Kos menjalankan perniagaan yang paling rendah diukur berasaskan pada efektif kos dengan mengambil kira produktiviti pekerja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara-negara ASEAN harus mengutamakan kepentingan untuk mempelbagaikan strategi perdagangan dan pelaburan di rantau asia tenggara pada masa akan datang.
Rantau ASEAN kekal sebagai destinasi terunggul bagi pelaburan antarabangsa kerana berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 peratus tahun lalu.
Dalam pada itu, kata Barjoyai, perancangan negara dalam memperkasakan gaji yang lebih progresif kepada pekerja juga akan mempengaruhi pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini.
“Sebelum ini, pekerja asing mendapat gaji yang agak rendah berbanding pekerja tempatan, tetapi apabila gaji minimum diperkenalkan, hakikatnya pekerja asing turut dibayar gaji sama tinggi dengan pekerja tempatan.
“Namun begitu, Malaysia masih boleh mengatur strategi menarik pelabur asing kerana dalam masa yang sama, negara ini masih berupaya untuk membawa pekerja asing bagi mengisi tenaga pekerja dalam industri-industri negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya kerajaan dapat mempertingkatkan sektor perkhidmatan berikutan 60 peratus daripada pendapatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disumbang daripada sektor tersebut.
“Sektor perkhidmatan tersebut termasuk dalam sektor pelancongan pendidikan, pelancongan kesihatan dan pelancongan perniagaan,” jelasnya. – UTUSAN











