BERMULA 12 September lalu, kerajaan membenarkan 1,020 banduan yang dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara seumur hidup memfailkan permohonan untuk menyemak semula hukuman berkenaan dalam tempoh 90 hari di Mahkamah Persekutuan.
Ketika ini Jabatan Penjara sedang memfailkan notis usul dan afidavit sokongan untuk permohonan semakan kepada mahkamah berdasarkan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).
Ia merupakan satu berita baik buat 491 banduan warganegara dan 415 banduan warga asing yang sedang berdepan hukuman mati mandatori serta 82 banduan rakyat Malaysia dan 32 lagi banduan warga asing yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup.
Usaha kerajaan perpaduan memansuhkan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat ini bertujuan menghormati hak untuk hidup setiap individu di samping memastikan keadilan bagi semua pihak. Ini selari dengan prinsip asas yang ingin diberikan penekanan kerajaan di sebalik setiap hukuman di negara ini adalah pemulihan (rehabilitation) banduan agar mereka dapat kembali dan menjadi individu yang dapat berkhidmat kepada keluarga, masyarakat dan negara.
Bagi ahli kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid, Akta 847 ini memberikan nafas dan harapan baharu kepada banduan akhir serta yang telah dijatuhkan hukuman seumur hidup. Malah beliau berpendapat, langkah ini juga memberikan harapan kepada ahli-ahli keluarga supaya dapat disatukan dengan banduan semula.
“Ini menunjukkan usaha dan komitmen kerajaan dalam menegakkan keadilan dan melindungi hak asasi manusia sejagat selaras dengan Artikel 3 Deklarasi Hak Asasi Manusia dan Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Haezreena Begum, peranan institusi penjara, peguam serta Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) juga amat penting dalam mendapatkan semakan semula terhadap hukuman mati atau penjara seumur hidup yang telah dikenakan terhadap banduan.
Memandangkan institusi penjara diberikan tanggungjawab untuk memfailkan notis permohonan dan afidavit sokongan untuk semakan hukuman, adalah penting agar mereka diberikan taklimat serta tenaga pekerja mencukupi bagi membolehkan tindakan memfailkan permohonan dalam tempoh 90 hari.
“Perbicaraan semakan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup bukanlah perbicaraan baharu atau perbicaraan semula melibatkan saksi-saksi tetapi perbicaraan untuk menilai sama ada hukuman yang telah dijatuhkan boleh dipinda atau dikekalkan.
“Tempoh 90 hari yang diberikan untuk memfailkan notis usul dan afidavit sokongan di Mahkamah Persekutuan haruslah dilakukan secepat mungkin supaya kes banduan tersebut dapat diberikan tarikh bicara awal.
“Namun begitu, semakan hukuman ini bukan satu jaminan bahawa hukuman mati atau penjara seumur hidup ini akan digantikan atau dikurangkan. Mahkamah masih boleh menolak permohonan semakan dan mengekalkan hukuman sedia ada. Bagaimanapun, banduan masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan,” jelasnya.
Katanya lagi, walaupun hukuman mati atau penjara seumur hidup telah diberikan setelah melalui proses perbicaraan, namun banduan masih berhak untuk mendapatkan semakan dan mahkamah harus mendengar setiap permohonan berdasarkan merit serta keterangan yang diberikan di dalam afidavit sokongan merangkumi faktor seperti umur, tahap kesihatan, tempoh pemenjaraan, kelakuan semasa dipenjarakan dan pertimbangan lain.
“Semoga langkah seperti ni dapat memberikan peluang kedua kepada banduan untuk insaf dan berbakti kepada masyarakat,” ujarnya.
STIGMA
Dengan langkah murni ini, pastinya banduan mengharapkan peluang kedua untuk kembali kepada masyarakat. Sehubungan itu, masyarakat perlu menolak stigma negatif terhadap bekas banduan sebaliknya memupuk aura positif untuk memberi mereka peluang menjalani kehidupan seterusnya.
Benar, ia terpulang kepada banduan itu untuk berubah tetapi sikap masyarakat yang memandang serong kepada usaha mereka untuk kembali ke jalan benar mungkin akan menyukarkan lagi atau terus menutup usaha mereka untuk menjadi insan lebih baik. Ada ketikanya sikap masyarakat yang terlalu negatif terhadap mereka menyebabkan bekas banduan kembali ke tabiat lama. Justeru, sokongan masyarakat dan penerimaan ahli keluarga sangat penting untuk golongan ini terus istiqamah membawa perubahan ke arah kebaikan.
Jangan kita dengan mudah menjatuhkan hukuman. Janganlah kita menyukarkan proses pemulihan sedangkan mereka sudah pun menerima hukuman sebagai pembalasan terhadap jenayah yang dilakukan.
PELUANG KERJA
Untuk memastikan kita terus adil terhadap golongan ini, maka kerajaan dan swasta tidak lagi boleh bersikap pilih bulu dengan menghalang bekas banduan daripada menyumbang tenaga, kebijaksanaan mahupun bakti dalam sektor pekerjaan. Ini sekali gus langkah tepat untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.
Diharap lebih banyak majikan tampil bagi memberi peluang kedua kepada golongan ini untuk meneruskan kehidupan baharu selepas menjalani hukuman.
Bahkan, Program Penempatan Semula (PPS) Jabatan Penjara untuk bekas banduan perlu ditambah baik dengan menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat bersama-sama membantu kerajaan dan agensi-agensinya dengan menempatkan serta memulihkan mereka yang tersalah langkah untuk kembali dalam masyarakat.
Diharapkan dengan usaha kerajaan ini dapat minimumkan peratusan bekas banduan kembali ke tirai besi kerana melakukan kesalahan berulang. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











