JOHOR BAHRU: Ahli dan penyokong UMNO sudah lali dengan kenyataan-kenyataan negatif bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap parti itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hal itu kerana kenyataan dikeluarkan Dr. Mahathir penuh dengan perasaan dendam dan kebencian.
Menurut beliau, ahli dan penyokong UMNO kini hanya melihat negarawan itu sebagai bahan sejarah dalam arena politik tanah air.
“Saya harap pada masa akan datang, sejarah dan peninggalan Dr. Mahathir akan dijadikan iktibar. Iktibar tentang seorang Maharaja Besar Politik Malaysia yang kejar kemasyhuran namun di akhir hayatnya pergi dengan penuh keadaan tidak menyenangkan.
“Sayang sekali, kalaulah Mahathir jadi seperti Perdana Menteri lain yang berehat selepas bersara dan terus disanjung sebagai tokoh negara. Tapi Mahathir pilih untuk berakhir dengan cara berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Nur Jazlan yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Pulai turut memberitahu, Dr. Mahathir merupakan bekas Presiden UMNO yang paling kejam dalam sejarah parti tersebut.
“Dia yang bertanggungjawab bunuh UMNO lama dan dia juga yang lahirkan UMNO baru, kemudian UMNO baru itu juga dia nak bunuh gara-gara dendam kepada Datuk Seri Najib Razak dan kini Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Selepas berjaya tumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, dia masih belum puas dengan matlamat terakhirnya iaitu untuk kuburkan UMNO,” ujarnya.
Tambah Nur Jazlan, Dr. Mahathir hampir menyumbang kepada kekalahan beliau pada tahun 2013 apabila dalam satu program dianjurkan di Parlimen Pulai ketika itu, Dr. Mahathir bertindak mengkritik Lim Kit Siang yang bertanding di Parlimen Gelang Patah ketika itu.
“Akibat serangan melampau Mahathir kepada Kit Siang menimbulkan kemarahan pengundi Cina di Parlimen Pulai hingga saya hampir tewas kepada arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub pada PRU tahun 2013 itu.
“Pengkhianatan Mahathir kepada UMNO telah beri kesan dengan kekalahan saya dan seluruh Kerajaan BN kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dulu. Tetapi saya pasti doa saya dan ahli UMNO seluruh negara untuk Mahathir semoga dia insaf dan selamat di akhirat, insya-Allah akan beri ketenangan kepada beliau di alam barzakh,” jelasnya. – UTUSAN











