PENAMPANG: “Makanan Sabah cukup enak tapi saya masih baru berkenal-kenalan makanan Sabah,” titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa mengunjungi Kampung Kebudayaan Koisaan (KCV) di KDCA semalam.
Seri Paduka bertitah demikian semasa disapa oleh pengamal media semasa majlis santapan pagi dan lawatan ke KCV.
Keunikan dan keenakan makanan tradisional Sabah menarik perhatian Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berangkat tiba di KDCA pada pukul 9.30 pagi.
Semasa kunjungan ke KCV, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong berpeluang menikmati makanan tradisional Sabah seperti hinava (kerabu peria), hinompuka (pais ikan), linopot (nasi berbungkus daun), jeruk bambangan, ambuyat (sagu) dan naggiu (bubur sagu).
Tunku Azizah turut pamerkan kemahiran memasak dengan memasak makanan tradisional Sabah iaitu ikan bosou di Rumah Tradisi Dusun Tatana, Kuala Penyu.
Juruacara May Salitah Kiob, 35, yang menerangkan mengenai makanan tradisional di Rumah Kebudayaan Penampang itu memaklumkan Tunku Azizah amat menyukai naggiu atau bubur sagu.
“Semasa menikmati naggiu, Tuanku Azizah memberitahu rasa bubur itu seperti bubur caca dan linopot pula dikatakan seperti otak-otak. Malah, baginda juga turut membungkus naggiu,” katanya.
Selain menikmati hidangan makanan tradisonal, baginda berdua bersama anakanda-anakanda iaitu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana turut menyertai aktiviti sukan tradisional seperti menyumpit dan melastik.
Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut dengan paluan kulintangan dengan alunan lagu Joget Pahang yang dipersembahkan oleh kumpulan Seni Warisan di Rumah Tradisi Bisaya Beaufort.
Selepas kunjungan ke KDCA Penampang, rombongan konvoi Kembara Kenali Borneo yang disertai 25 kenderaan itu meneruskan pengembaraan ke Sindumin, Sipitang sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak.
Program Kembara Kenali Borneo berlangsung pada 3 hingga 13 September bermula di Tawau dan berakhir di Teluk Melano, Sarawak melibatkan perjalanan sejauh 2,149 kilometer dengan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo.
Di Sabah, Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong itu melakukan persinggahan ke lapan daerah. – UTUSAN










