ALOR SETAR: ‘Kehilangan’ beras tempatan di pasaran ketika ini didakwa tidak mustahil berpunca daripada ketamakan kilang-kilang besar yang cuba memonopoli industri berkenaan bagi meraih keuntungan berlipat kali ganda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia, Mohamad Termizi Yop berkata, antaranya mungkin pengilang-pengilang besar sedang ‘menahan’ stok masing-masing, bagi mendesak kerajaan menaikkan harga beras tempatan seperti beras import.
Bagaimanapun, beliau memuji ketegasan kerajaan yang mengekalkan harga beras serendah RM2.60 sekilogram iaitu terendah di rantau ini.
“Kilang-kilang besar ini sanggup beli padi pada harga lebih tinggi daripada petani dengan bantuan broker.
“Jika kerajaan tawarkan harga RM1,200 untuk setiap tan, kilang-kilang menawarkan harga lebih tinggi selain membayar upah broker untuk mempengaruhi petani menjual padi kepada mereka.
BERSAING
“Tindakan mereka ini ‘membunuh’ kilang-kilang kecil terutamanya diusahakan orang Melayu kerana tidak dapat bersaing untuk membeli stok padi. Namun dalam masa sama, kilang-kilang besar juga perlu tampung kos tinggi bagi memonopoli pembelian padi itu,” katanya ketika dihubungi.
Oleh itu, kata Mohamad Termizi, cara terbaik menampung kos itu dengan mendesak kerajaan menaikkan harga beras tempatan.
“Maka apabila harga beras import meningkat akibat faktor global, mereka anggap inilah masa terbaik untuk desak kerajaan naikkan harga beras tempatan dan disebabkan itu mungkin ada antara mereka bertindak mengurangkan pengeluaran sebagai taktik mendesak kerajaan berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata, masalah itu diyakini dapat diselesaikan sedikit masa lagi berdasarkan langkah intervensi kerajaan selain persetujuan dinyatakan pengilang kepada pihak kementerian sebelum ini untuk menambah 20 peratus kuota bagi meningkatkan bekalan beras.
“Kerajaan perlu bertegas tidak tunduk kepada desakan kerana subsidi sudah cukup banyak untuk mengekalkan harga beras iaitu mencecah 60 peratus. Subsidi itu pula bukannya diperoleh pesawah sebaliknya dapat terus kepada kilang dan disebabkan itu, tiada sebab untuk kerajaan tunduk kepada desakan pengilang-pengilang besar ” katanya.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan bagi memastikan beras tempatan tidak dimanipulasi sebagai beras import atau disorok.- UTUSAN










