JOHOR BAHRU: Nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru mengesan kejadian tumpahan minyak di Selat Tebrau, di sini semasa mereka menangkap ikan, kelmarin berhampiran dermaga Malaysian Marine Heavy Engineering (MMHE).
Seorang nelayan, Alimann Jamat, 49, berkata, dia ternampak tompokan minyak yang besar semasa menaiki bot untuk ke tengah laut bagi menjala ikan kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Saya berpatah balik ke pengkalan kerana bimbang enjin dan pukat saya rosak akibat terkena minyak serta memaklumkan masalah tumpahan minyak itu kepada ketua kampung dan nelayan yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas membuat aduan tentang tompokan minyak itu kepada MMHE, pihak pengurusannya mengarahkan tindakan segera diambil bagi mencegah tompokan minyak merebak ke pesisiran pantai dan kawasan ternakan kupang.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad, 59, turut membuat laporan kepada polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran tersebut.
“Masalah tumpahan minyak memberi risiko kepada para nelayan di sini kerana laut adalah hasil pendapatan mereka.
“Kalau laut tercemar dengan minyak, sudah tentu boleh merosakkan hidupan marin di kawasan menangkap ikan terutama bagi nelayan pantai,” katanya sambil berharap pihak MMHE dan JAS mengesan punca tumpahan minyak tersebut.
Menurut Daud, pihak MMHE telah memasang perangkap minyak bagi mengelak tumpahan tersebut hanyut ke kawasan pantai.
Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat sisa minyak yang mula mencemari pesisiran pantai di Kampung Kuala Masai.
Seorang lagi nelayan, Rahim Md. Salleh, 58, memuji tindakan pantas pihak MMHE memasang perangkap minyak supaya tidak merebak ke kawasan yang lebih luas.
Dia berharap tindakan segera dapat diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan pendapatan kira-kira 300 nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru dan sekitarnya. – UTUSAN











