DALAM lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1 Ogos lalu, Naib Canselornya, Profesor Dr. Mohd. Foad Sakdan menyatakan hasrat pihaknya untuk mengangkat Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe) menjadi Pusat Kajian Kes Nasional (PKKN) bagi mengurus penulisan dan penyebaran hasil kajian kes bukan sahaja di negara ini malah di peringkat Asia Tenggara dan dunia.
Cadangan ini penting kerana kajian kes mengenai kemajuan atau kejatuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat utama dalam negara ini akan menjadi sumber rujukan bukan sahaja dalam kalangan pelajar bidang pengurusan dan perniagaan, malah pemain industri dalam dan luar negara.
Di luar negara sudah banyak kajian kes, antaranya kejatuhan syarikat telekomunikasi dunia seperti Nokia dan kemunculan iPhone Apple serta Samsung dalam radar perebutan pasaran menjadi rujukan utama kepada pelajar peringkat sarjana muda dan pascasiswazah.
Kajian kes pengajaran sangat sesuai kerana pelajar dapat menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran berfikir dalam menyelesaikan situasi dunia sebenar. Elemen kemahiran insani (soft skill) seperti pemikiran aras tinggi, kreativiti, kerja berpasukan, kepimpinan dan kemahiran penyelesaian masalah dapat diterapkan dalam diri pelajar.
Melalui kaedah pengajaran menggunakan dialog sokratik yang diamalkan di universiti tersohor dunia, kajian kes menjadi bahan utama membuka cakerawala pemikiran pelajar.
Matlamat penubuhan PKKN adalah agar ia dapat bertindak sebagai rumah penjelasan (clearing house) bagi kajian-kajian kes di Malaysia, ASEAN dan Asia Pasifik standing pusat-pusat pengurusan kajian kes bertaraf antarabangsa lain seperti di Harvard Business School (Amerika Syarikat), The Case Centre (United Kingdom), Ivey Business School (Kanada), ICFAI Business School (India) dan Thompson Centre for Business Case Study (Hong Kong).
Menurut Pengarah IMBRe, Profesor Madya Dr. Zarifah Abdullah, IMBRe sendiri menunjukkan pencapaian yang baik di mana melalui daya usahanya, penggunaan kajian kes pengajaran dalam kalangan pelajar mencecah 9,648 orang sejak 2016 hasil daripada 172 kes yang telah berjaya dihasilkan dan diguna pakai pelajar dan pensyarah UUM, Universiti Teknologi Mara Johor, Kolej Universiti Islam Selangor, Kolej Komuniti Langkawi, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Pahang, Open University Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.
Cadangan ini ternyata mendapat sambutan baik Mohamed Khaled yang menyebut UUM perlu membuktikan dalam jangka masa pendek untuk menunjukkan kajian kes dihasilkan dapat memanfaatkan sejumlah besar pelajar di dalam dan luar negara serta pemain industri sambil menegaskan kolaborasi dengan universiti awam dan pemain industri sangat penting dalam kerangka Ekonomi Madani.
Mohamed Khaled turut menekankan peranan universiti bukan sekadar melahirkan modal insan dan penyelidikan berkualiti, tetapi juga menyumbang dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan dibangunkan termasuk menggiatkan program pemindahan ilmu kepada masyarakat yang mampu meningkatkan status keupayaan dan sosioekonomi rakyat selaras tuntutan kerangka Ekonomi Madani.
TENAGA KERJA MAHIR
Serentak itu, beliau menggesa UUM untuk terkehadapan dalam menangani pelbagai cabaran dihadapi oleh pihak industri masa kini, antaranya isu kelayakan pengiktirafan Alam Sekitar, Sosial dan Tata Kelola (ESG) dan kekurangan tenaga kerja mahir.
Selainnya, UUM turut diminta membangunkan sebuah kursus pengurusan yang boleh dijadikan silibus kepada Kolej Komuniti dalam melahirkan generasi usahawan yang mahir dengan selok-belok pentadbiran organisasi.
UUM wajar berbangga kerana diberikan pengiktirafan dan tanggungjawab besar oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk merealisasikan perkara-perkara ini. Sehubungan itu, selain mengaktifkan segera PKKN selaras hasrat Mohamed Khaled, UUM juga akan menggiatkan program pemindahan ilmu kepada masyarakat, memperkenalkan program pendidikan berkaitan pembangunan dan piawaian ESG serta membangunkan kursus pengurusan yang dicadangkan tersebut.
Sesungguhnya dalam usia 40 tahun menjelang 16 Februari 2024, UUM yang mula beroperasi di kampus sementara di Tanah Merah, Jitra pada 16 Februari 1984 telah meningkat maju dan menabur banyak jasa kepada Kedah dan negara.
Bermula dengan hanya 338 pelajar sarjana muda pada 1984, bilangannya bertambah menjadi 12,350 bagi peringkat sarjana muda dan 193 pascasiswazah sewaktu berpindah ke kampus tetap di Sintok pada 1990.
Terkini, UUM mempunyai 30,567 pelajar termasuk 2,812 pelajar antarabangsa dari 48 negara dengan 24,720 bagi peringkat sarjana muda, 5,847 pascasiswazah dan 384 asasi, selain 1,147 staf akademik dan 1,744 staf pentadbiran.
Penubuhan PKKN ini tidak syak lagi akan menyerlahkan lagi objektif utama UUM yang paling menonjol, iaitu sebagai Pusat Rujukan Pengurusan, selain sebagai Pemacu Pendidikan Pengurusan dan Pemangkin Pembangunan Wilayah Utara di mana sebelum ini pun telah menunjukkan pencapaian amat memberangsangkan.
Antara pencapaian utama UUM sebagai Pusat Rujukan Pengurusan sebelum ini ialah menandatangani 132 memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bersama industri dan universiti luar. Selain itu, UUM juga memperoleh lebih RM10 juta dana daripada komuniti dan jaringan industri dalam tempoh tiga tahun terakhir; 4,452 projek penyelidikan dalam tempoh 11 tahun terakhir; RM150 juta dana penyelidikan untuk tempoh 12 tahun terakhir dan 113 projek melibatkan kajian kes syarikat, perniagaan dan organisasi dalam tempoh lima tahun terakhir.
Semoga dengan lebih mantapnya kedudukan UUM sebagai Pusat Rujukan Pengurusan akan membantu kerajaan mengangkat martabat negara dalam bidang tadbir urus dan tatakelola. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Seksyen Media, Unit Komunikasi Korporat, Universiti Utara Malaysia (UUM).










