Muntah bila makan nasi, budak hanya jamah roti

Muntah bila makan nasi, budak hanya jamah roti

ALIFF Firas Abdul Rahman (kanan) menikmati roti di samping Nor Hayati Zainon dan adik-beradiknya di rumah mereka di Kampung Pegawai, Kubang Jawi, Kuala Kedah, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Seorang budak lelaki berusia lapan tahun dari Kampung Pegawai, Kubang Jawi, di sini tidak pernah menjamah nasi dengan hanya menjadikan roti putih untuk mengalas perutnya setiap hari.

Ibunya, Nor Hayati Zainon, 45, berkata, Aliff Firas Abdul Rahman yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu muntah sekiranya makan nasi walaupun sebutir.

“Saya pernah mendesaknya makan nasi ketika berusia dua tahun, terus dia muntah sampai pucat muka. Sejak itu saya tidak menyuruh dia makan nasi lagi. Setiap hari Aliff Firas hanya makan roti putih menggantikan nasi,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di sini, semalam.

Menurut Nor Hayati, dia dan suaminya, Abdul Rahman Abdullah, 46, pernah membawa Aliff Firas berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan rawatan tentang masalah anaknya itu.

“Doktor cakap itu biasa sahaja, perangainya akan berubah bila semakin besar. Sekarang sudah lapan tahun tetapi perangainya semakin menjadi-jadi,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia mula menyedari tabiat anaknya itu ketika Aliff Firas masih bayi apabila enggan makan bubur nasi ketika berusia setahun.

Katanya, mereka sekeluarga risau perkembangan dan kesihatan anaknya apabila tidak mengambil makanan seimbang.

Katanya, memandangkan pendapatan keluarganya yang agak terhad ditambah faktor kesihatannya turut menghidap kanser, sangat sukar bagi mereka menyediakan keperluan makanan kanak-kanak tersebut.

“Suami hanya kerja kampung sejak saya hidap kanser payudara ketika hamil anak bongsu. Sekarang sudah bedah tetapi sejak akhir-akhir ini selalu sakit, doktor kata mungkin sel kanser itu merebak ke tempat lain,” katanya yang mempunyai empat anak berusia 17 hingga tujuh tahun.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan kepada Nor Hayati melalui akaun Bank Islam, 02011021113598. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×