SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mula melakukan kerja-kerja pembersihan jalan di sekitar lokasi nahas terhempas di Elmina, Seksyen U16, di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiga jentera bomba dikerahkan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.
Kerja-kerja pembersihan bermula pada 12.45 tengah hari melibatkan kira-kira 20 anggota bomba.
Setakat pukul 1 petang itu, lokasi pesawat peribadi Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang membawa 10 penumpang terhempas di Elmina, Shah Alam, petang semalam, masih ditutup kepada umum bagi memberi laluan kerja-kerja pencarian baki cebisan mayat mangsa dan pembersihan serpihan pesawat yang bertaburan.
Kerja-kerja pencarian baki cebisan mayat mangsa yang dipercayai masih berada di lokasi dan pembersihan serpihan bangkai pesawat giat dilakukan oleh pihak keselamatan dengan bantuan pelbagai agensi.
Antara agensi yang terlibat di lokasi kejadian adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pelbagai agensi lain berkaitan nahas udara.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kerja-kerja pembersihan bangkai pesawat dan pencarian baki cebisan mayat mangsa sudah pun mencapai 95 peratus.
Beliau menjangkakan kerja-kerja tersebut dapat diselesaikan tengah hari ini, namun, bergantung kepada proses siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di lokasi nahas.
“Kawasan pencarian merangkumi 11,000 meter persegi dari lokasi terhempasnya pesawat tersebut hingga kawasan terakhir serpihan ditemukan.
“Pencarian boleh dikatakan telah pun selesai 95 peratus, cuma kita sedang melakukan ‘touch up’ untuk bersihkan kawasan dan mencari jika masih ada cebisan mayat mangsa di sekitar, mungkin di bawah kereta dan sebagainya,” katanya pada sidang media pagi ini.
Dalam nahas ngeri pukul 2.40 petang semalam itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.
Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.
Antara penumpang pesawat yang maut adalah Exco Pahang dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang. – UTUSAN











