Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) alternatif pembelajaran norma baharu.
Sepanjang PdPR, guru, pensyarah dan pelajar berada dalam persekitaran kediaman masing-masing.
Lokasi berbeza namun matlamatnya sama dalam proses menuntut ilmu. Berikut antara etika ketika mengikuti PdPR secara dalam talian:
Salam – Menjadi kebiasaan pelajar memberi salam kepada guru dan pensyarah sebelum sesi mula pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan universiti. Kebiasaan ini harus menjadi amalan biarpun ia kini berlaku secara maya. Budaya memberi salam seperti Assalamualaikum atau selamat sejahtera perlu terus dibajai.
ON – Kamera video depan perlu berada dalam keadaan on. Dalam keadaan norma baharu setiap kali pelajar memasuki kelas dalam talian, mereka pasti akan menekan butang kamera video hadapan kepada off. Ini adalah satu perlakuan sangat tidak beretika. Sebagusnya, pelajar perlu berada dalam keadaan bersedia di hadapan peranti sebelum memasuki kelas dalam talian dan perlu duduk dalam keadaan selesa sepanjang sesi berlangsung.
MUTE – Pastikan suara dalam keadaan mute. Ia bagi memastikan penyampaian guru tidak terganggu oleh ‘suara-suara tambahan’ sewaktu kelas dalam talian sedang berlangsung. Hal ini banyak berlaku di kelas dalam talian melibatkan murid sekolah rendah. Oleh itu, ibu bapa harus memainkan peranan dalam memastikan anak mereka fokus dengan melakukan pemantauan berkala untuk menjadikan sesi PdPR berjalan lancar.
KEMAS – Bersemuka secara maya tidak menghalang seseorang pelajar itu berpakaian cantik dan kemas. Ramai pelajar beranggapan tiada keperluan berpakaian lengkap kerana tiada orang yang akan lihat dan menilai cara pemakaian semasa PdPR berlangsung. Tanggapan berkenaan adalah salah. Berpakaian bersesesuaian dan kemas semasa sesi PdPR perlu menjadi alaman. Apabila kita berpakaian kemas, kita akan bermotivasi untuk melakukan perkara yang baik. Penampilan diri dapat memberikan aura positif terutamanya pelajar yang hendak menimba ilmu sama ada di sekolah atau menara gading.
MENDENGAR – Mendengar arahan dan memberikan tumpuan penuh kepada penerangan diberikan guru atau pensyarah. Ada dalam kalangan pelajar yang tidak mengetahui arahan diberikan oleh guru atau pensyarah kerana tidak fokus dan tidak mengendahkan arahan kerana menganggap sesi PdPR tidaklah begitu penting. Ilmu akan bermanfaat jika kita mempunyai semangat waja dalam menimba ilmu pengetahuan.
INTERAKSI –Beriteraksilah dengan guru atau pensyarah. Komunikasi dua hala di dalam kelas dapat memberikan persekitaran pembelajaran lebih baik. Peranan pelajar bukan sahaja mendengar, sebaliknya harus mempunyai penglibatan tinggi seperti bertanyakan soalan, memberikan pendapat dan maklum balas. Interaksi berkesan antara pelajar dengan guru atau pensyarah, akan menjadi lebih efektif dan berkesan.
————
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).









