ATURAN hukuman jenayah syariah perlu dilihat semula. Takat hukuman sedia ada RM5,000, atau penjara tiga tahun, atau enam kali sebatan. Semuanya berlandaskan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 1984 (Akta 355).
Pun begitu, denda menjadi hukuman utama bagi kesalahan jenayah syariah kemudian dituruti oleh penjara dan sebat. Ini kerana hakim lebih memilih untuk mengenakan hukuman denda khususnya bagi kesalahan kali pertama yang sabit dengan pengakuan.
Sejak 2000, beberapa negeri telah melakukan pindaan terhadap enakmen kesalahan jenayah syariah. Kelak nanti, apabila pindaan kepada Akta 355 menjadi kenyataan, pindaan kepada enakmen tersebut perlu dilakukan lagi bagi meningkatkan hukuman sedia ada pula. Harapannya agar semua negeri akan bersatu-padu untuk menyelaraskan peruntukan kesalahan dan hukuman yang akan dipinda nanti.
Salah satu aspek yang wajar dipertimbangkan adalah tentang perletakan aturan hukuman. Sebatan wajar menjadi hukuman utama bagi kesalahan tertentu sama ada digabungkan dengan denda atau penjara.
Sebagai contoh, bagi kesalahan zina, qazaf dan minum minuman yang memabukkan, hukuman sebatan didahulukan, diikuti denda atau penjara.
Jumlah kesalahan yang boleh dikenakan hukuman sebat dan jumlah sebatan juga perlu ditambah.
Setakat ini, hukuman sebatan hanya diperuntukkan kepada enam kesalahan di bawah enakmen kesalahan jenayah syariah. Bagi tiga kesalahan iaitu zina, qazaf dan minum minuman yang memabukkan, jumlah sebatan maksimum boleh dipertingkatkan kepada 100 kali bagi zina, 80 kali bagi qazaf dan 40 kali bagi kesalahan minum minuman yang memabukkan sekiranya memenuhi semua syarat pembuktian dan pensabitan.
Bagi kesalahan lain, jumlah sebatan maksimum tidak boleh melebihi 40 kali. Hakim boleh menggunakan budi bicara untuk mengenakan jumlah sebatan ini. Kaedah-kaedah sebatan pula ada diperuntukkan di bawah enakmen tatacara jenayah syariah.
Di samping itu, terdapat juga prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara bagi pesalah syariah yang telah dilancarkan kerajaan pada 2021. SOP ini penting kerana suatu ketika dahulu, terdapat beberapa pelaksanaan hukuman sebat syariah di luar mahkamah yang telah pun dilaksanakan – empat kes di Tawau, Sabah dan satu di Terengganu.
TUKANG SEBAT WANITA
Di Tawau, sebatan dilaksanakan di Dewan Terbuka Mahkamah Tinggi Syariah, manakala di Terengganu di Dewan Bicara, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu dengan disaksikan lebih 150 orang. Hukuman enam kali sebatan itu dilaksanakan oleh dua orang tukang sebat wanita dari Penjara Kajang.
Ekoran insiden ini, terdapat banyak bantahan dan kecaman yang membidas tindakan pelaksanaan sebatan syariah di luar penjara. SOP pelaksanaan hukuman sebatan di luar penjara bagi pesalah syariah ini mungkin dapat memperelokkan lagi pelaksanaan hukuman ini.
Selain itu, hukuman penjara bagi pesalah syariah pula perlu direalisasikan sekiranya mahu pemenjaraan dikenakan oleh hakim bagi kesalahan-kesalahan tertentu khususnya yang memerlukan pemulihan akidah dan akhlak dalam tempoh tertentu.
Bagi kesalahan berkaitan akidah, hukuman penjara berserta pemulihan akidah perlu dikenakan. Penjara yang dimaksudkan ini ialah penjara di bawah Jabatan Penjara dan modul pemulihan disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama negeri-negeri. Terdapat beberapa negeri yang mempunyai pusat pemulihan akidah atau pusat dakwah, namun ia tidak menepati kehendak undang-undang sebagai pusat tahanan bagi pesalah syariah.
KECIL
Bagi kesalahan berkaitan akidah, adalah mustahak hukuman ditumpukan kepada pemulihan akidah. Justeru, pemenjaraan berserta dengan program pemulihan amat diperlukan.
Di samping itu, dengan adanya Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954 (Akta 461) yang telah dipinda pada 2021, wujud peluang untuk pelaksanaan hukuman alternatif di luar tembok penjara bagi pesalah yang dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun. Hukuman alternatif ini sesuai dengan konsep keadilan pemulihan.
Hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat membolehkan mahkamah mengenakannya kepada pesalah yang dirasakan hukuman tersebut sesuai dengan kesalahan dilakukan, iaitu kesalahan jenayah kecil. Ini juga adalah satu langkah yang tepat bagi mengurangkan masalah kesesakan di dalam penjara. Garis Panduan Perintah Kehadiran Wajib Bagi Pesalah Syariah juga telah disediakan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sejak 2021. Ia juga sesuai untuk kesalahan syariah yang ‘kecil.’ Bagaimanapun, aspek ini agak di luar daripada semangat pemerkasaan yang diharapkan daripada Akta 355.
Meskipun akan timbul isu birokrasi membabitkan bidang kuasa, bajet dan sebagainya, namun kerjasama di antara agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebenarnya amat diperlukan agar suatu sinergi pelaksanaan hukuman penjara dengan lebih berkesan dapat disempurnakan. Justeru, pindaan kepada enakmen kesalahan jenayah syariah perlu dilakukan dengan mengenal pasti kesalahan- kesalahan apakah yang sesuai dikenakan hukuman penjara dengan kombinasi perintah pemulihan akidah atau akhlak. – UTUSAN
Profesor Madya Dr. Siti Zubaidah Ismail ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah & Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










