PETALING JAYA: Selepas enam hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), semua parti yang bertanding mula melancarkan tawaran manifesto mengikut negeri masing-masing.
Dua gabungan parti terbesar iaitu Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan calon di semua 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan telah mengumumkan dasar-dasar mereka melalui manifesto bagi meraih sokongan 9.7 juta pengundi.
Semua parti yang bertanding telah merangka menifesto masing-masing yang diharapkan dapat mempengaruhi para pengundi untuk memilih calon mereka.
Persoalannya mampukah ia mempengaruhi pengundi membuat keputusan pada pilihan raya di enam negeri ini terutama selepas terdapat insiden gagal dilaksanakan termasuk istilah manifesto bukan kitab suci selain janji-janji yang digariskan tidak berpijak di bumi nyata.
Misalnya PH-BN Selangor di bawah ‘Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor’ menggariskan lima teras utama dan 53 tawaran berjanji.
Antaranya adalah 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi untuk generasi muda, mewujudkan jaringan laluan rel Aliran Transit Massa (MRT) dan Aliran Transit Ringan (LRT) menghubungkan Klang ke Kuala Selangor dan Tanjong Karang ke Sabak Bernam dan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji sebanyak RM2,000 kepada 3,000 jemaah muassasah kali pertama.
Selain itu, PN di Kelantan pula mengemukakan 18 inisiatif dan salah satunya adalah pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (TAPS).
Namun sejauh mana janji-janji pilihan raya itu mampu menawan hati pengundi menjelang hari pengundian 12 Ogos, ia terletak kepada penilaian mereka sama ada ingin menjadikannya sebagai faktor untuk memilih calon dan parti atau sebaliknya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, secara umumnya manifesto tidak menjadi perhatian pengundi kerana mereka masih melihat kepada sentimen isu-isu semasa yang berlaku sepanjang kempen PRN.
Sebaliknya kata beliau, hanya pengundi yang bijak akan melihat tawaran janji terlebih dahulu sebagai panduan ketika pemilihan calon dan parti.
“Di Malaysia, tidak banyak dalam kalangan pengundi mengambil peduli tentang manifesto sebelum pengundian. Sebaliknya mereka hanya ambil kisah tawaran itu selepas parti dan calon menang pilihan raya dan berjaya bentuk kerajaan.
“Kegagalan calon dan parti untuk menunaikan janji akan menyebabkan pengundi melakukan undi protes dalam pilihan raya akan datang manakala pihak lawan pula menjadikan bahan serangan politik,” katanya.
Sejak minggu lalu, PH-BN dan PN telah menawarkan janji pilihan raya menerusi pembentangan manifesto yang dirangka berdasarkan enam negeri masing-masing.
Sehingga kini, Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang telah selesai membentangkan manifesto daripada PH-BN dan PN.
Lima negeri lain seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan dijangka berbuat demikian dalam minggu ini.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali, hanya pengundi atas pagar khususnya di kawasan bandar masih melihat manifesto sebagai panduan manakala pengundi tegar tidak menjadikannya sebagai rujukan kerana mengundi mengikut calon dan parti.
Katanya, malah ada pengundi tidak kisah jika manifesto gagal ditunaikan asalkan parti mereka menang dalam pilihan raya.
Justeru, beliau berpandangan meskipun setiap parti berlumba-lumba membuat pelbagai janji pilihan raya, pengundi akhirnya melihat kepada isu dan sentimen semasa.
“Oleh itu, ia menjadi punca kegagalan calon dan parti untuk melaksanakan janji pilihan raya kerana merangka manifesto tidak berpijak di bumi nyata.
“Tanpa mengambil kemampuan dan kedudukan kewangan, akhirnya mereka mengabaikan janji-janji selepas menang pilihan raya sekali gus menghakis kepercayaan para pengundi,” katanya.
Sehubungan itu beliau menjelaskan, setiap parti perlu merangka manifesto dengan berpijak di bumi yang nyata dan berdasarkan kemampuan masing-masing bagi mengelakkan menjadi bahan ketawa jika gagal ditunaikan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, meskipun manifesto tidak diikat dengan undang-undang, namun parti dan calon boleh meletakkan akur janji pilihan raya sebagai satu dokumen yang boleh dipantau oleh rakyat.
Katanya, parti dan calon boleh berbuat demikian jika mereka mempunyai iltizam sebagai langkah pembaharuan perjalanan politik agar mengelakkan janji-janji pilihan raya menjadi polemik dan persoalan dalam kalangan rakyat sehingga pilihan raya seterusnya.
“Ini (akur janji) memerlukan keazaman politik jika parti dan calon benar-benar ingin menunaikan manifesto. Jika mereka gagal, rakyat boleh menghukum dengan undi protes ketika proses pengundian kelak.
“Tiada mustahil boleh ada satu undang-undang manifesto pada masa akan datang, memandangkan masih belum ada lagi setakat kini. Tetapi sejauh mana usaha ini dapat direalisasikan, terserah kepada ahli politik dan calon untuk mahu ia dikuatkuasakan atau sebaliknya,” katanya.- UTUSAN










