RAMAI yang tidak menduga timbulnya satu faktor baharu dalam kemelut politik hari ini, yakni seorang ‘maharaja’ ala tradisi China di sebuah negeri utara Semenanjung. Ada yang terkejut khususnya mereka yang datang dari kelompok sebuah parti yang dianggap stabil.
Tiada perebutan itu dan ini. Rupa-rupanya ‘dalaman ada pertengkaran’ – dakwaan terkini. Ia kononnya berikutan keputusan pahit politik dalam pilihan calon parti yang tidak menyenangkan diri beberapa individu berkenaan.
Jika tidak mana mungkin ada dakwaan tersebut. Sudah terantuk baharu tengadah. Agak terlambat. Tetapi biar lambat daripada tiada langsung, bak kata perpatah Inggeris. Sekurang-kurangnya sempat membangkitkan kesedaran akan kepalsuan serta kepura-puraan seorang ‘maharaja’ yang pandai menyorokkan kuku, satu taktik terkenal dalam amalan perang saraf tradisi China.
Ini mencerahkan mengapa ramai yang enggan menegur orang-orang kayangan seperti ini. Bagai cerita kanak-kanak Inggeris berjudul Pakaian Baru Sang Maharaja, semua rakyat gementar menyatakan yang benar bahawa maharaja tersebut hanya berpakaian dalam kerana pakaian baharu yang dimaksudkan sekadar khayalan belaka!
Mujurlah ada seorang kanak-kanak berani membuat teguran tersebut demi keluhuran dan ketelusan. Bukan seperti dewasa yang banyak kerenah untuk berterus terang dalam menyatakan hak. Cukup lantang bercakap, tetapi dalam bab hak, hati sekecil kuman!
Maka ‘maharaja’ terus bermaharajalela apabila kepentingannya terancam. Kuku dan taringnya mula tertonjol. Politiknya turut terseret seenak selera mencontohi ajaran ‘maharaja’ tua terdahulu.
Antaranya, berlagak seolah-olah tahu semua. Pantang disanggah walaupun dalam lingkungan tindakan demokratik yang diakui, khuatir akan padahnya. Mudah memecat dan menyisih tanpa usul periksa. Hatta, ‘maharaja’ berjaya mengumpul kelompok kekuasaannya. Namun, mutakhir ini ada seorang aktivis politik seangkatan, sejak berdekad lamanya, mula menyangkal.
Ini menyentuh soal takrifan ‘maharaja’ dalam satu ceramah tentang peristiwa 13 Mei 1969. Mengikut aktivis tersebut, ia ‘tempang.’ Berbaur perkauman dan menuding jari ke sana ke mari menabur rasa dan sangka buruk sesetengah pihak. Ada pula yang melihatnya sebagai satu dakyah pilihan raya untuk menakut-nakutkan.
Apa pun, sekutu yang taat ‘maharaja’ terus selesa dengan harapan mendekati lagi hati sanubari ‘maharaja’ – walaupun dahulu seteru ketat, yakni lebih mementingkan diri bukan lagi jutaan rakyat yang terkesan akan dakyah politik sempit.
Tekaan langkah ‘maharaja’ tersebut tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk terus berkuasa. Cara menghalalkan matlamat. Sungguhpun aktivis tersebut seangkatan pra-1960-an, pengalamannya yang dihurai satu per satu cukup memberi pencerahan kepada ‘suasana kusut’ yang direka ‘maharaja.’ Ternyata huraian dihidangkan berbeza dengan versi yang dianggap tempang tadi.
KETEMPANGAN?
Hal ini lumrah dirasai ramai. Khususnya sebagai seorang pelajar di negeri tersebut, kesannya sudah pun terbiasa. Malah sebelum itu pun, semasa dibangku sekolah lagi terutama selepas penceraian negara di selatan Semenanjung pada pertengahan 1960-an. Bahangnya bak disambar petir turut terasa hasil sebuah parti baharu berusia setahun jagung.
Ambangnya seakan-akan merangkumi seluruh negara dalam kerangka merebut kuasa. Ketempangan cukup melata. Jika dahulu sebagai parti lawan, kini sebagai tali barut. Dahulu tunjuk taring dan kuku, kini sorok kedua-dua supaya mudah keliru. Dahulu sosialisme, kini bersulam kapitalis. Dahulu benci rasuah, kini bergelumang dengan pengamal tegarnya.
Dahulu pingat darjah disisih, kini didakap rapi. Dahulu juara bebas bersuara, kini pilih bulu tetapi lidah tetap bercabang, umpama munafik. Lebih pintar pula bermuka-muka berselindung di sebalik telunjuk ‘maharaja’ yang bengkok sejak awal lagi. Sekali air bah, sekali pantai berubah!
Yang pasti, semua ketempangan perlu perbetulkan segera, terutama rekaan minda berbisa. Memetik aktivis politik berkenaan, “Apa yang saya garap ini bertujuan meluruskan benang kusut milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Tanah Melayu.
“Saya ingin memberi pencerahan tentang apa yang berlaku suatu ketika dahulu. Membuka DNA (asid deoksiribonukleik) sejarah Tanah Melayu hingga kita berhadapan dengan DNA politik yang kita hadapi sekarang.”
Ia adalah usaha untuk merungkai ‘suasana kusut’ yang dikatakan sebagai ‘suasana pra-13 Mei’ – tetapi tidak lengkap, tempang. Bahkan pada hematnya, DNA politik yang berlaku sekarang akan mengulangi sejarah pembelotan bersama kuasa penjajahan Inggeris.
Maka, sebelum satu lagi bah melanda kencang dalam masa terdekat, jangkaan ‘suasana kusut’ yang sengaja dilakarkan wajar dihindar secepat mungkin daripada berlaku di mana sahaja. Yakni ramalan ‘maharaja’ dan zuriatnya tidak lain satu lagi mainan minda untuk agenda tersendiri kembali berkuasa.
Masanya sudah tiba untuk semua ini dihentikan. Segera. Tiada lagi ketika untuk berpura-pura untuk satu bangsa, satu negara untuk semua. Tiada tempat untuk sesiapa yang tempang nalurinya. Hindari bahaya. Pilih dengan bijak. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











