Jangan silap undi calon ‘tin kosong’

Jangan silap undi calon ‘tin kosong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JADI, apa pun jawatan yang kita pegang hari ini, sedarlah ia hanya sementara.” Seolah-olah tahu beliau akan pergi menghadap Ilahi dalam masa terdekat, inilah antara nasihat dititipkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub semasa sesi Towhall Pesta Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) 2023 di Sintok, Kedah, Julai lalu.

Benar sekali, semuanya adalah sementara. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dua hari selepas pesanan tersebut dititipkan.

Pemergian Allahyarham secara tiba-tiba bukan sahaja meninggalkan kenangan, jasa dan legasi selaku seorang menteri, tetapi juga merupakan satu peringatan kepada kita semua tentang ajal maut serta ketentuan Ilahi. Saya terkedu membaca berita tersebut kerana ia mengingatkan saya akan peristiwa pemergian ayah, lima tahun lalu. Paginya ayah saling bergurau bersama sahabatnya yang berkunjung ke rumah, namun petangnya ayah tiba-tiba dikejarkan ke hospital. Setelah itu, satu demi satu organ dalaman ayah berhenti berfungsi dan kurang 48 jam selepas itu, ayah pergi meninggalkan kami.

Begitu pantas semuanya berlaku. Sehinggakan jiran kami menyangka ayah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kerana mereka berbual-bual pada sebelah pagi sebelum ayah dimasukkan ke hospital.

Kejadian tersebut menjadi peringatan besar bagi saya bahawa kehidupan di dunia hanyalah sementara. Kita harus sedar, tidak ada manusia yang dapat melawan takdir Allah walau sehebat mana pun diri mereka.

Maka, janganlah kita bersikap bongkak dan sombong dengan kedudukan, kuasa dan harta yang ada. Segala-galanya boleh hilang dalam sekelip mata sahaja, jika itulah kehendak Allah.

Hal ini harus diambil sebagai iktibar oleh semua pihak terutama mereka yang sedang memegang ataupun sedang berusaha untuk mendapatkan kuasa. Apatah lagi dalam suasana panas kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, di mana kata-kata kesat dan tidak sopan, menghina, memfitnah serta memaki hamun sudah menjadi amalan bagi sesetengah pihak untuk memikat pengundi.

Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Budaya politik Machiavelli hanya akan memporak-perandakan rakyat dan menghancurkan negara. Negara kita mempunyai undang-undang yang harus dihormati oleh semua pihak tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Kita juga hidup berlandaskan undang-undang agama. Sorakan penyokong tidak akan dapat menghapuskan dosa kita. Segala kuasa dan pengaruh yang kita ada hanyalah pinjaman dan boleh ditarik balik pada bila-bila masa.

SEMBUNYI TANGAN

Jangan sampai kita hidup mahu menongkat langit sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi kuasa. Rakyat sudah penat melihat para pemimpin berebut kuasa sejak lima tahun lalu. Ada pemimpin yang asyik berganti baju dan ada yang asyik berganti pentas politik. Ada yang asyik menyalahkan orang lain dan ada yang lempar batu sembunyi tangan.

Cakap-cakap politik tentang ada pemimpin yang mahu beralih angin dan menikam parti sendiri sentiasa kedengaran. Jika inilah sikap orang politik kita, apa akan jadi pada masa depan negara?

Rakyat harus berfikir panjang sebelum memilih pemimpin mana yang patut diundi. Cakap berdegar-degar, janji menggunung belum tentu boleh membantu meringankan beban rakyat. Menyenaraikan masalah tidak bermakna jika mereka tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut setelah memenangi pilihan raya. Rakyat mahukan pemimpin jujur, ikhlas, amanah, boleh dan rajin bekerja dan bukannya mereka yang hanya tahu menabur janji.

Menu Rahmah mungkin tiada maknanya kepada mereka yang berada tetapi amat besar ertinya kepada rakyat yang memerlukan pada kala harga makanan sedang melonjak naik dengan begitu ketara. Kenaikan gaji tidak bermakna jika pada masa sama harga makanan dan barang keperluan ikut naik. Benar, Menu Rahmah ialah langkah jangka pendek, namun sekurang-kurangnya dapat juga meringankan beban rakyat sementara menunggu sesuatu yang lebih besar. Semoga lebih banyak lagi inisiatif dapat meringankan beban rakyat yang kurang mampu akan terus dilaksanakan oleh kerajaan selepas ini.

Saya tertarik membaca laporan tentang nasihat pemimpin parti kepada calon muda agar menjaga etika dan jangan bersikap bongkak. Benar sekali kerana kini semakin ramai anak bangsa kita hidup berpandukan budaya yang mengangkat sifat angkuh dan tidak beretika. Mereka bukan setakat tidak segan berkelakuan tidak sopan dalam khalayak, malah begitu bangga dengan sikap ketidaksopanan mereka itu. Sikap sebegitu pula dipandang tinggi dan mereka yang lantang menentang peraturan dianggap seorang yang berani.

Malah kandungan sebegitu mendapat sambutan di media sosial dengan jumlah tontonan tinggi. Contohnya, mereka yang dengan megahnya menunjukkan kesombongan serta kebiadaban ketika membuat penilaian makanan di media sosial. Walaupun terdapat pihak mengecam perbuatan sebegini, namun ramai juga menikmatinya. Lantas ada yang membalas makian dengan penghinaan seolah-olah menghina itu bukan perbuatan biadab.

Begitu juga dengan sikap sesetengah orang politik, bangga apabila tidak menjaga adab dan etika. Malang sekali, apabila ramai pula yang menyokong sikap sebegini dan mentafsirkannya sebagai keberanian. Ke manakah hilangnya sifat malu serta ketinggian budi pekerti kita? Adakah ini yang dilihat sebagai kemajuan minda? Inilah masalahnya jika masyarakat tidak lagi dididik untuk menjaga maruah diri serta mengamalkan nilai yang betul dalam kehidupan mereka.

Jauhilah calon yang bersikap seperti tin kosong, kuat bunyinya namun tiada sebarang faedah. Anak muda harus berhati-hati agar tidak tertipu lagi oleh pelbagai janji kosong. Kita diberi akal dan kita mempunyai tatasusila serta adat, maka carilah pemimpin yang bermaruah.

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×