KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) bersama sekutunya Pakatan Harapan (PH) yakin merampas Terengganu pada pilihan raya negeri (PRN), Ogos ini.
Presiden BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Terengganu adalah negeri swing state seperti buaian yang ada masanya BN berada di atas dan adakalanya parti itu di bawah.
Katanya, namun beliau yakin pakatan BN dan PH mampu merampas pemerintahan pada PRN kali ini berdasarkan kerjasama erat kedua-duanya melakukan persiapan untuk pilihan raya itu.
“Meskipun jentera PH tidak ramai di Terengganu, BN memberi jaminan akan membantu untuk memastikan kemenangan di 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Jangan risau walaupun PH ada lima kerusi bertanding (di Terengganu) pada PRN nanti, kita BN akan berjuang habis-habisan membantu seperti mana jentera PH membantu BN di negeri-negeri yang lain.
“Rakyat Terengganu mesti mengambil peluang pada PRN, 12 Ogos ini untuk menukar kerajaan negeri pimpinan Pas kepada Kerajaan Perpaduan demi mendapatkan pemimpin yang lebih adil dan menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh.
“Inilah masa yang sangat sesuai untuk tukar kepimpinan negeri, jangan jadi seperti Kelantan kerana selepas 33 tahun pun Pas memerintah masih tidak mampu selesaikan masalah air.
“Terengganu adalah sebuah negeri ‘swing state’ seperti buaian, kadang-kadang kita di atas, kadang di bawah dan kalah ketika ini, namun perasaan saya di hari Jumaat, penghulu segala hari kuat menyatakan bahawa BN dan PH akan ambil alih Terengganu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Perpaduan Madani dan pelancaran jentera perpaduan peringkat negeri Terengganu di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, kemenangan itu boleh dicapai dengan syarat penjelasan mesti disampaikan kepada akar umbi oleh jentera BN dan PH.
“Sampaikan semua maklumat yang diceritakan oleh penceramah-penceramah pada hari ini kepada rakyat agar mereka tahu semua kisah yang sebenarnya,” ujarnya.
Selain itu, beliau menambah, kepincangan agihan bantuan banjir yang berlaku di beberapa tempat di Terengganu membuktikan pemimpin Pas tidak adil.
“Ini berlaku di Seberang Takir dan Kemaman kerana mangsa banjir tidak mendapat bantuan seperti yang dijanjikan.
“Saya Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, bantuan banjir yang diagihkan, ada yang tidak sampai kepada mangsa banjir, kalau jadi kerajaan, bantuan mesti adil tidak kira mangsa banjir penyokong UMNO atau Pas,” katanya. – UTUSAN










