Gementar tetapi tiada gentar – Nurul

Gementar tetapi tiada gentar – Nurul

NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Gementar, namun tidak sesekali gentar.”

Demikian kata Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjong Karang, Nurul Syaz­wani Noh yang pertama kali menyertai pilihan raya dan akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang.

Jelas anak perempuan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar itu, perasaannya kini bercampur baur menjelang hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) esok.

Nurul Syazwani, 35, berkata, dia bersyukur dan terharu diberi peluang oleh kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding buat kali pertama dalam karier politiknya.

“Sudah pasti saya sedikit gementar kerana bakal menggalas tanggungjawab besar apatah lagi menandingi calon lawan yang juga top gun parti tersebut.

“Namun, jiwa ini tidak pernah gentar kerana berpegang kepada prinsip mahu terus menabur bakti kepada rakyat Tanjong Karang seperti bapa saya (Noh),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

DUN Permatang antara kerusi tumpuan apabila bekas Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Tanjong Karang itu bakal berdepan saingan Ketua Cabang PKR Tanjong Karang yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Selangor, Mohd. Yahya Mat Sahri.

Dalam pada itu, beliau sudah membuat persiapan rapi jentera sejak Ramadan lalu dan mahu berusaha memanfaatkan kepercayaan parti bagi memenangi kerusi berkenaan 12 Ogos ini.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dan kita turut mendapat sokongan daripada bekas-bekas ahli parti lawan. Bagi saya, lawan tetap lawan demi khidmat dan bakti kepada rakyat terutama melibatkan soal kebajikan, pendidikan dan ekonomi setempat.

“Perjuangan ini juga berbekalkan semangat bapa saya yang enam penggal menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang sebelum ini. Saya bertekad meneruskan legasi mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Permatang dimenangi calon PKR, Rozana Zainal Abdidin dengan majoriti 1,158 undi selepas menewaskan Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN) dan Muhammad Jafaruddin Sheikh Daud (Pas).

Proses penamaan calon bagi kerusi itu akan diadakan di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Tanjong Karang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×