MUKADIMAH
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, DATUK SERI RINA HARUN ‘tidak lari’ biarpun dicalonkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dan bukan di kawasan dalam kampung halamannya, Daerah Sepang.
Walaupun ditolak pengundi kampung halaman sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tetap akur dengan keputusan parti mencuba nasib di kawasan lain.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AHMAD FADHLULLAH ADNAN, bekas menteri itu optimis dalam meraih sokongan pengundi dengan mempertaruh pengalamannya sepanjang dalam karier politik dan dan di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Komen Datuk Seri selepas dicalonkan di DUN Batu Tiga?
Barisan kepimpinan tertinggi telah buat keputusan berdasarkan pelbagai faktor untuk memutuskan calon bagi setiap DUN yang dipertandingkan. Sebagai ahli dan juga pemimpin parti saya dengan rendah diri dan penuh keinsafan, akur dengan keputusan kepimpinan untuk mewakili PN di dalam PRN kali ini.
Sebelum ini bertanding di Parlimen Sepang, kenapa tidak teruskan di DUN bawah Parlimen Sepang?
Dalam isu memutuskan calon, pelbagai faktor dan proses saringan dibuat secara terperinci dari pelbagai sumber. Saya percaya keputusan pihak kepimpinan tertinggi PN dan khususnya parti Bersatu adalah keputusan yang dikirakan terbaik antara yang baik-baik. Oleh itu, saya terima cabaran yang diberikan untuk bertanding di kawasan Parlimen Shah Alam iaitu DUN Batu Tiga.
Komen Datuk Seri selepas dijangka berdepan calon Parti Amanah Negara (Amanah), Danial Al Rashid Haron dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)?
Saya yakin sebagai seorang calon mewakili wanita, yang mempunyai pengalaman di dalam politik negara, negeri, serta sebagai mantan menteri, saya insya-Allah akan memberi khidmat yang terbaik khususnya kepada rakyat di dalam DUN Batu Tiga dan rakyat selangor jika diberi peluang.
Melalui pengalaman saya daripada dua kementerian KPLB dan KPWKM, sudah pasti pengalaman dalam pentadbiran termasuk susur galur proses dan prosedur akan membantu saya menyelesaikan isu utama yang saya juangkan iaitu ekonomi dan meringankan kos sara hidup rakyat DUN Batu Tiga khususnya golongan B40 dan M40.
Dalam PRU14, calon PKR, Rodziah Ismail menang DUN Batu Tiga dengan majoriti undi lebih 15,000, bagaimana Datuk Seri melihat cabaran kali ini? Mampu menang?
Bukan sahaja Batu Tiga yang mempunyai cabaran yang tinggi, tapi seluruh Selangor pun dianggap sebagai benteng PH (Pakatan Harapan). Tetapi saya percaya rakyat pada hari ini mahukan perubahan ini dan saya yakin mereka akan bangkit untuk menuntut perubahan itu bersama PN.
Pendapat Datuk Seri selepas ada yang mendakwa Bersatu akan mengharapkan akar umbi Pas untuk bantu berkempen kerana akar umbi Bersatu dikatakan tidak kuat?
Masing-masing parti mempunyai kekuatan sendiri dan mempunyai kelebihan serta penyokong yang tersendiri di kawasan-kawasan tertentu. Oleh itu saya lihat gabungan Pas dan Bersatu ini adalah satu gabungan yang saling memperkukuh antara satu sama lain yang akhirnya akan mengumpulkan bilangan pengundi yang besar.
Oleh itu, pandangan itu tidak relevan apabila kita lihat dalam konteks yang menyeluruh. Saya pasti gabungan PN akan terus meyakinkan rakyat untuk terus menyokong dan mengundi kami. – UTUSAN










