KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan menjadi antara 30 kuasa ekonomi terbesar di dunia dalam pelan komprehensif yang diumumkan kerajaan bagi memastikan kekayaan negara dikongsi semua lapisan masyarakat.
Rangka dan hala tuju Ekonomi Madani yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menggariskan enam penanda aras lain yang akan mengembalikan status Malaysia sebagai kuasa ekonomi ulung di Asia.
Pelan Ekonomi Madani yang dilancarkan Anwar turut menggariskan sasaran untuk menjadikan Malaysia antara 12 negara teratas dalam Indeks Daya Saing Global selain mencapai 45 peratus pendapatan tenaga kerja daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
Rancangan ekonomi itu turut menyatakan hala tuju ekonomi baharu dengan sasaran untuk dicapai sebelum 10 tahun.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia harus menjadi peneraju ekonomi Asia yang mana hasil dapat dinikmati rakyat terutama meningkatkan pendapatan yang lebih dua dekad hampir tidak berubah.
“Hakikatnya, kita telah terperangkap dalam kitaran ekonomi yang berbahaya, kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah dan kurang nilai daya saing.
“Kita perlukan sebuah wadah ekonomi yang tuntas dan segar. Kita perlukan sebuah kerangka ekonomi yang baharu,” kata Anwar ketika melancarkan Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat di sini semalam.
Tahun lalu, nilai ekonomi Malaysia mencapai AS$406.31 bilion mengikut angka rasmi Bank Dunia. Nilai ekonomi itu bagaimanapun hanya merangkumi 0.18 peratus daripada keseluruhan nilai ekonomi dunia dan meletakkan Malaysia di tangga ke 37 ekonomi terbesar di dunia.
Dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Malaysia di tangga keempat selepas Indonesia, Thailand dan Singapura berdasarkan angka tahun 2022. Pada 2021, Malaysia di tangga kelima di belakang Filipina.
Bagaimanapun kedudukan Malaysia semakin baik apabila diletakkan di tangga ke 27 ekonomi paling kompetitif berdasarkan laporan International Institute for Management Development (IMD) 2023.
Anwar menegaskan, Malaysia mampu mencapai sasaran muncul sebagai 30 ekonomi terbesar dunia tetapi perlu mempunyai minda global dan mengutamakan pengantarabangsaan ekonomi.
“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara empat hingga lima peratus. Namun jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan enam peratus,” katanya ketika membentang wawasan ekonomi pertama Kerajaan Perpaduan selepas menawan Putrajaya kira-kira lapan bulan lalu.
“Malaysia memerlukan satu kerangka ekonomi baharu yang lebih tuntas dan segar serta merangkumi setiap lapisan masyarakat setelah melihat kedudukan negara masih terperangkap dalam kitaran ekonomi berbahaya, kos tinggi, gaji rendah, keuntungan rendah dan kurang nilai daya saing,” katanya.
Kerajaan Perpaduan sebelum ini ditegur kerana tidak mempunyai pelan ekonomi konkrit oleh pembangkang ketika negara berdepan ekonomi dunia yang perlahan terutama dengan sembilan juta pengundi enam negeri akan memilih kerajaan baru.
Anwar berkata, struktur ekonomi Malaysia perlu dirombak untuk jadi peneraju di Asia dan Kerajaan Perpaduan akan umumkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP), bulan depan bagi memacu semula perindustrian dan pemangkin ekonomi baharu.
Katanya, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 juga akan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan kerajaan menilai dan menyusun keutamaan bagi mencapai sasaran ekonomi negara.
Anwar berkata, kerajaan komited melaksanakan pembaharuan supaya menjadi antara 12 ekonomi terbaik daripada segi daya saing dan ease of doing business dan mengkaji semula insentif pelaburan.
“Maka seharusnya diuar-uarkan ke seluruh pelosok dunia bahawa Malaysia terbuka dan bersedia menerima kehadiran para pelabur dan perniagaan,” katanya yang merujuk kepada pelaburan daripada Sumitomo Corporation, Tesla, Rongsheng dan Samsung Engineering.
Dalam pelan itu juga Malaysia akan meningkatkan pembiayaan memacu eksport, membangunkan Dasar Pembaharuan Pasaran Kewangan bagi menggalakkan pelaburan, meningkatkan daya saing pasaran modal, membawa lebih banyak penyenaraian syarikat dan melahirkan ‘unicorn’ tempatan baharu. –UTUSAN










