KALAU ikut gaya kempen pilihan raya yang dapat like sebulan dua ini, kelihatannya ‘masuk politik tak perlu cakap tinggi-tinggi’.
Cukup dengan licik berpolemik, retorik, campur ‘berani mati’ dengan sedikit fakta, hiduplah pemainnya. Dan dikusutkan lagi dengan politik Melayu yang bergaduh sepanjang masa – biarpun pilihan raya umum baru sahaja berlalu – pengundi pun jadi keliru, makin muak.
Itulah politik ikut acuan kita, sehinggakan rakyat negara tetangga Indonesia pun kerut kening. Negara kecil penduduk 32 juta ini lagi hebat gelora politiknya berbanding kami di Indonesia didiami manusia 300 juta ini, kata mereka.
Namun itulah realitinya kita di sini. Daripada 21 juta pengundi, kira-kira 60 ke 70 peratus masih gemarkan gosip, persepsi dan dambakan kontroversi. Untuk dapatkan fakta sebenar, malas. Fikiran mahu jalan pintas belaka. Sebab itu TikTok merajai kehidupan.
Sentimen pengundi kita sukar dibaca oleh mana-mana ahli politik untuk meraih sokongan. Apa lagi jika ahli politik atau calon pilihan raya itu seorang intelektual, ahli korporat atau bekas pegawai tinggi kerajaan.
Amat sedikit atau jarang-jarang jawab Allahyarham P. Ramlee untuk mereka yang berprofil tinggi ini boleh tajam dan berkilat bila masuk bertanding pilihan raya.
Kalau masuk bertanding pemilihan parti pun, belum pasti diterima, biarpun rakyat nampak bersih. Hanya seorang dua yang berjaya. Sebahagiannya yang ramai ini, nasib tidak menyebelahi. Tamsil pisau berkarat tadi menusuk badan sendiri ke dalam arena gelap.

ARAS TINGGI
Di masa lalu, ramai kalangan VIP yang masuk politik pakai payung terjun atau sekadar bidan terjun, cabarannya kuyup. Waima bawa pangkat menteri selaku calon pilihan raya pun kecundang akibat gagal peringkat awal lagi baca sentimen pengundi.
Dengan harapan jalan pintas mendaki hierarki, hasilnya indah khabar dari rupa. Demografi pengundi gagal dinilai sampai diri ‘ke laut’. Cuma harapkan seorang dua runner, diri tidak ke mana haluan politik.
Begitupun bagi ahli politik yang tekad mahu melihat politik Malaysia berada di aras tinggi jangan cepat putus asa. Ruang dan peluangnya tetap terbuka luas. Lima, 10 tahun atau barangkali 15 tahun lagi selepas era generasi otai berlalu. Harapan untuk melihat orang Melayu mengguna pakai asas politik dan piawaian pemikiran aras tinggi jangan terhenti hari ini.
Gaya, taktik dan kaedah dipakai segelintir ‘ayam sabung’ parti yang berbicara sampai ‘gajah pun boleh terbang’ sukar dibendung. Kelihatannya, dia boleh ‘belemoih’ dan ‘begelomiang’ dengan rakyat. Cumanya perlu beringat, ambil pengajaran daripada pengundi yang bila-bila masa boleh ‘kalih’ (tukar kerajaan negeri). Dan ini biasa berlaku di Kedah.
Kedah, sebuah negeri Malay Heartland dengan sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan majoriti Melayu. Budaya politik Kedah pula sinonim dengan 3P iaitu (Padi, Pondok dan Pas). Dalam erti kata lain, di mana ada padi, di situ ada pondok. Di mana ada pondok, di situlah pula adanya Pas.
Dari segi kesetiaan kepada parti, penyokong Pas dan UMNO dalam kalangan orang Melayu seimbang atau sama kuat. Justeru, undi penentu ditentukan oleh Melayu atas pagar dan undi bukan Melayu yang menjadi pengundi minoriti di kebanyakan DUN.
Calon-calon pilihan raya negeri itu kebiasaannya mestilah memiliki ciri-ciri bak kata orang Kedah – kelolo, hemoi, tak perongoih sebaliknya senang didampingi. Masih ingat tak lagi dengan penangan Datuk Othman Abdul dari BN mengalahkan giant killer Pas ketika itu, Mohamad Sabu di kerusi Parlimen Pendang pada 2013.
Antara faktor kuat Othman menang kerana dia tidak kekok untuk turun sampai ke kedohok apabila menghadiri majlis-majlis kenduri termasuk kenduri dari penyokong Pas selain sikap bersahajanya yang disenangi ramai.
Biar pun begitu, bagi sebahagian besar ahli politik di kebanyakan negeri, mereka berpendirian lebih elok jika sesuatu yang ‘membuak’ itu pecah di perut dari pecah di mulut. Dalam perut ada rimau, keluarkan sahaja bunyi kambing. Tetapi persoalannya adakah itu yang mampu memenangkan partinya?
Bagi seseorang ahli politik untuk berangan-angan tinggi bukanlah perkara ganjil atau satu kesalahan. Malah ahli politik tanpa angan-angan tinggi bukanlah ahli politik namanya. Bila dapat betis hendakkan paha, dapat paha hendakkan badan pula. Ini naluri manusia biasa, apa lagi dalam politik.
Cuma daya dorong ini harus dikawal dengan kukuh melalui personaliti atau sahsiah berserta dengan sistem nilai berimbang.
KENA LEKUK
Kepada pengundi, barangkali ada iktibar boleh dikutip dari salah satu kisah sang kancil. Dalam satu kejadian, sang kancil memberitahu buaya-buaya dalam sungai yang ia diarahkan oleh Raja Sulaiman untuk membilang kesemua buaya dalam sungai itu. Ini bagi membolehkan Raja Sulaiman memberikan mereka hadiah.
Maka beraturlah buaya itu di sepanjang sungai – dari tebing sebelah sini, sampailah ke tebing sebelah sana. Sang kancil pun melompat ke atas belakang buaya-buaya itu sambil menyanyi:
“Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk. Empat, lima, enam dan tujuh, lapan, sembilan dan 10, 11, 12 dan 13. Ekor kalian jangan melibas, 14, 15 dan 16, perintah Raja Sulaiman ditunaikan lekas.”
Akhirnya sang kancil berjaya menyeberangi sungai. Lalu ia berkata: “Wahai buaya-buaya semua, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu? Sekarang kamu bersurailah!” Tatkala itu, barulah buaya tahu bahawa mereka telah ditipu.
Dalam kemelut politik Malaysia hari ini siapa agaknya yang kena lekuk? – UTUSAN











